MUHAMMAD PUTERA DUA PENYEMBELIHAN
الحمد لله القائل :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Bertakwalah kita semua kepada Allah dalam erti kata sebenar-benarnya dan janganlah kita dimatikan kecuali berada dalam keadaan Islam. Hanya dengan menyayangi Rasulullah SAW dan mengamalkan Sunnah dan ajarannya sahajalah kita dapat menjadi seorang Islam yang sempurna dan dapat mati dalam keadaan Islam.
Saudara Sidang Jumaat Sekalian,
Bulan Rabiul Awwal bukan sahaja bulan yang disambut semata-mata kerana kelahiran Rasulullah SAW sahaja. Namun ianya juga adalah tarikh sampainya Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrahnya dari Mekah ke Madinah. 12 Rabiul Awwal juga menjadi tarikh dimana Rasulullah SAW meninggalkan ummatnya kembali ke Hadrat Allah SWT setelah 23 tahun mendaulatkan Syariat Allah di muka bumi. Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada Hari Isnin, 12 Rabiul Awwal tahun Gajah. Kelahirannya disambut meriah oleh Bangsa Quraisy terutamanya keluarga Abdul Mutalib. Ketika Tsuwaibah, hamba kepada Abu Lahab menyampaikan berita agong itu kepada tuannya, maka berkatalah Abu Lahab : Jika benarlah apa yang engkau katakan maka engkau aku merdekakan. Lantas setelah Tsuwaibah dibebaskan kemudiannya beliau menjadi ibu susuan pertama kepada Rasulullah SAW. Firman Allah dalam Surah Al-An’am ayat 20 :
الَّذِينَ ءَاتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمُ الَّذِينَ خَسِرُوا أَنْفُسَهُمْ فَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ (الأنعام : 20)
Ertinya :
Mereka yang kami berikan Kitab, mengenalinya (Muhammad) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Adapun mereka yang merugikan diri mereka maka mereka tidak mahu beriman.
Sidang Jumaat Sekelian,
Nabi Muhammad SAW adalah keturunan Nabi Ismail yang dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim sebagaimana kisahnya yang sering kita dengar ketika menyambut Hari Raya Qurban setiap tahun. Namun kita jarang diingatkan dengan kisah kelahiran Rasulullah SAW turut diwarnai dengan kisah pengorbanan pada zaman datuknya Abdul Mutalib. Ketika beliau merasai kepayahan menggali telaga zam-zam akibat tiada anak yang dapat membantu kecuali seorang yang bernama Harith, maka beliau bernazar jika dikurniakan lebih dari 10 orang anak maka setelah dewasa akan dikorbankan seorang daripadanya. Setelah mendapat 12 orang anak dan ketika mana yang bongsunya bernama Abdullah berumur 24 tahun maka janji nazarnya terpaksa ditunaikan. Undian yang dibuat jatuh kepada Abdullah iaitu bapa kepada Rasulullah SAW. Akibat bangkangan seluruh masyarakat Quraisy ketika itu yang sememangnya menyayangi Abdullah maka akhirnya diganti dengan penyembelihan 100 ekor unta.
Sidang Jumaat Sekelian,
Setiap muslim mestilah mencintai Allah dan Rasulnya melebihi daripada cintanya kepada dirinya sendiri dan kepentingan-kepentingan lain. Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 24 :
قُلْ إِنْ كَانَ ءَابَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ (التوبة : 24)
Ertinya :
Katakanlah jika sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, pasangan-pasangan kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu sayangi daripada Allah dan Rasulnya serta lebih kamu sayangi daripada jihad fi sabilillah maka tunggulah Allah melaksanakan arahanNya, sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasiq.
Allah SWT juga berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 31 :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فاَتّبِعُونىِ يُحْبِبْكُمُ الّلهُ وَ يَغْفِرْلَكُمْ ذُنُوبَكُم
Bermaksud :
Katakanlah wahai Muhammad sekiranya kamu sayangkan Allah maka ikutilah aku nescaya kamu akan disayangi Allah dan akan diampuni dosa-dosa kamu.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Tidak ada cara lain untuk kita mengatakan bahawa kita cinta kepada Allah dan Rasulnya kecuali dengan mengamalkan segala ajaran Allah dan Rasulnya. Segala sambutan Maulidur Rasul yang kita anjurkan hanyalah semata-mata kaedah atau jalan bagi menyemai kasih sayang kita terhadap Rasulullah SAW. Ianya tidak lebih daripada apa yang dilakukan oleh Abu Lahab dan Kaum Quraisy yang membebaskan hamba dan menyembelih 100 seekor unta. Apa yang akan dinilai oleh Allah adalah sejauh mana kita mengamalkan ajaran Allah, ajaran Rasul dan sunnah-sunnah Rasul. Allah menyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah sebagai contoh terbaik dalam mengamalkan ajaran Allah sebagaimana FirmanNya dalam Surah Al-Ahzab ayat 21:
Bermaksud:
“Sesungguhnya bagi diri kamu pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh tauladan yang baik”.
Walaupun Rasulullah SAW sudah lama meninggalkan kita, contoh teladan yang baik ini masih dapat kita ikuti berdasarkan hadis nabi :
تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا أَبَدًا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِ اللهِ
Ertinya :
Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang mana kamu tidak akan sesat selamanya selama mana kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasulullah.
Sidang Jumaat Sekelian,
Tidak sukar untuk menerangkan mengenai Al-Quran kerana matan atau perkataannya ada bersama kita sehingga ke hari ini. Kita juga tidak asing dengan Kitab-Kitab Tafsir yang Muktabar sebagai panduan bagi memahami isi kandungan Al-Quran. Namun Umat Islam di Negara ini sering bertelagah dengan fahaman dan penggantungan mereka kepada Sunnah Rasulullah SAW. Pertelagahan ini akhirnya menyebabkan lahirnya golongan sesat yang menolak terus sunnah sebagai sumber hukum seperti golongan anti hadis. Selain itu kebanyakan Umat Islam di Negara ini masih kurang mengenali sunnah sehingga menyebabkan berlaku suasana yang tidak harmoni di kalangan masyarakat. Ada golongan yang meremeh-remehkan sunnah sehingga terlajak menghina Rasulullah, memperkecilkan sunnah dan dan sebagainya sehingga terjejas aqidah. Ada pula yang terlalu ketat dalam menghayati sunnah sehingga mempersalahkan malah sehingga mengkafirkan setiap orang yang tidak mengamalkan sunnah.
Hadiri yang dirahmati Allah,
Sunah Rasulullah SAW mempunyai berbagai bentuk dan berbeza-beza dari segi hukum mengamalkannya. Sunnah ditakrifkan oleh Ulamak sebagai :
Ertinya :
Segala apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW daripada perkataan, perbuatan ataupun penetapan baginda.
Dari sudut yang lain apa yang disandarkan kepada Rasullullah SAW ada kalanya mewakili kapasiti atau fungsi baginda sebagai Rasul atau Penyampai Wahyu, ada kalanya mewakili kapasiti atau fungsi baginda sebagai Ketua Negara, ada kalanya mewakili kapasiti atau fungsi baginda sebagai Ketua Hakim Negara dan ada kalanya mewakili kapasiti atau fungsi baginda sebagai manusia biasa.
Setiap kapasiti atau fungsi baginda samada sebagai Rasul, sebagai ketua Negara, sebagai Ketua Hakim Negara dan sebagainya adalah merupakan sunnah yang akan terikat kepada hukum Syariat samada Wajib, Sunat, Haram, Makruh dan Harus. Manakala kapasiti atau fungsi baginda sebagai manusia biasa seperti pakaian, cara makan dan rupa fizikal baginda hanya akan dikira sebagai sunnah yang diberi pahala jika disertai niat melakukannya bagi menunjukkan kasih sayang kita kepada Rasulullah SAW.
Hadirin Hadirat sekelian,
Istilah Sunnah Rasulullah adalah berbeza dengan pengertian sunat yang sering kita jumpa dalam perbincangan feqah. Sebahagian daripada Sunnah Rasulullah SAW adalah wajib dan berdosa jika dtinggalkan dengan sengaja. Ini merupakan sunnah terbesar yang dilakukan oleh Rasulullah merangkumi segala kewajipan yang mesti dilakukan oleh seseorang muslim, sebagai seorang pemimpim, sebagai seorang hakim dan sebagainya mengikut ketentuan Allah. Ini bermakna segala perintah Allah yang dilakukan oleh Rasullullah dan diperintahkan pula oleh baginda kepada Umat Islam melakukannya adalah merupakan sunnah yang diwajibkan. Kita wajib melakukan semua sunah Rasulullah SAW mulai daripada mengucap dua kalimah Syahadah, sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, Berzakat, Menunaikan Haji, Menunaikan Nazar, menuntut ilmu, bekerja mencari nafqah, membantu saudara yang memerlukan bantuan malah berjihad dan berperang di jalan Allah.
Sebahagian daripada sunnah Rasulullah SAW pula haram dilakukan seperti sunnah yang dikhususkan kepada baginda sebagai keistimewaan baginda menjadi Rasul. Ini termasuk perbuatan baginda berkahwin melebihi 4 orang dalam satu-satu masa, berpuasa secara berterusan tanpa berbuka dan sebagainya.
Sebahagian yang lain pula merupakan sunnah yang disunatkan kita melakukannya berdasarkan hadis-hadis Rasul yang menerangkan mengenainya.
Sidang Jumaat Sekelian,
Untuk memastikan kita dapat mengikut sunnah dan beramal dengan sunnah Rasullah SAW dengan tepat maka tidak ada jalan lain kecuali dengan mempunyai ilmu yang bertepatan dengan kehendak sunnah itu sendiri. Maka bersamalah kita memenuhi majlis pengajian di msjid-masjid dan surau-surau sebagai satu tanda kecintaan kita kepada sunnah dan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Disediakan Oleh :
Abdul Rashid Bin Md Din
Kolej Pengajian Tinggi Islam, 71-B, Jalan Chew Boon Juan, 30250 Ipoh, Perak