KHUTBAH JUMAAT

 KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM

 

اَلْحَمْدُ لِلّهِ, اَلْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِىْ اَنْزَلَ عَليْنَا الْكِتَابَ وَلَـمْ يَجْعَـلْ لَهُ عِوَجًا.

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِيْنَ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

فيا عِبَادَ اللهِ اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تَُقَاتِهِ  وَلاَ تَمُوْتُـنَّ اِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

          Dikesempatan yang mulia lagi berkat ini saya ingin memberi ingatan kepada diri saya sendiri dan kepada tuan-tuan sidang Jumaat yang dirahmati sekalian agar terus menerus berada di dalam ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan amal soleh, kerana hanya dengan amalan soleh sahaja akan menjamin kejayaan di dunia dan kebahagian di akhirat.

Sidang Jumaat yang diberkati,

          Diantara peranan yang telah di bawa oleh Islam ialah membentuk manusia, sama ada itu dari segi orang perseorangan atau pun dari segi kemasyarakatan. Dari segi orang perseorangan, Islam telah menanam di dalam jiwa manusia dasar-dasar pengabdian diri kepada Allah s.w.t, iaitu dengan mematuhi segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya mengikut hukum-hukum halal dan haram, harus, sunat dan makruh yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t dan juga yang telah dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana itulah manusia mencapai mertabat kemuliaan yang tinggi, mempunyai nilai yang berbeza sesuai dengan sifat semula jadinya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Mereka menutup aurat kerana mereka mempunyai harga diri. Mereka menjaga maruah diri mereka, dan mereka makan makanan yang di halalkan oleh Allah s.w.t dan mereka mempunyai batas-batas yang tertentu. Di samping itu mereka juga mempunyai akhlak dan perangai yang dapat mengawal jiwa mereka sehingga mereka dapat menjadi anggota masyarakat yang layak mentadbir muka bumi ini dengan sebaik-baiknya. Sifat-sifat seperti ini adalah perlu untuk menjalinkan hubungan dengan Allah s.w.t, dan hubungan sesama manusia dan juga hubungan dengan bahan yang digunakan oleh manusia di atas muka bumi ini.

Saudara-saudara sidang Jumaat sekalian,

          Sesungguhnya Islam telah berjaya membentuk masyarakat yang berdasarkan keimanan kepada Allah S.W.T yang mana iman dan Islam telah dijadikan asas hubungan di antara satu sama lain sehingga manusia yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa dan puak yang terdiri daripada berbagai-bagai macam kabilah, yang dulanya berperang di antara satu sama lain yang mempunyai sempadan dan batas-batas geografi telah berjaya menjadi umat Islam yang hidup bersaudara di antara satu sama lain berdasarkan kepada asas persaudaraan Islam. Mereka telah menerima kenyataan yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t ;

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ - (ســورة  الـحـجــرات: 10)

Bermaksud ;

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

          Jadi berdasarkan kepada persaudaraan Islamlah mereka telah menerima Bilal Al- Habshi, Suhaib Al Rumi dan Salman Al Farisi sebagai saudara mereka yang satu, diterima menjadi anggota masyarakat yang tidak boleh di pisahkan di antara satu sama lain.

Saudara-saudara yang dirahmati dan dikasihi,

          Ajaran yang ditanam oleh Rasulullah s.a.w telah berjaya memimpin umat Islam walaupun di kawasan muka bumi yang luas, sehingga orang-orang Islam dapat menerima Imam Bukhari sebagai ulama yang diiktiraf oleh mereka. Imam Bukhari telah di terima oleh orang-orang arab walaupun beliau adalah berasal dari Asia Tengah. Orang-orang Melayu beliau menerima Imam Syafie sebagai pemimpin mazhab, walaupun Imam Syafie adalah berketurunan Arab dan orang-orang Arab pula dapat menerima Imam Abu Hanifah walau pun Imam Abu Hanifah berasal dari negeri bukan Arab.

          Itulah hubungan persaudaraan di antara umat Islam yang telah dijalinkan oleh ajaran Islam yang maha mulia. Islam telah mendekatkan hati-hati manusia yang ternyata tidak boleh didekatkan oleh sempadan geografi, dan tidak juga boleh didekatkan oleh harta benda.

لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ (ســورة الأنفـال: 63)

Bermaksud ;

          Kalau engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada dibumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatu padukan di antara (hati) mereka.

 

Saudara-saudara sekalian,

          Sesungguhnya kita telah disatukan oleh ajaran Allah s.w.t, sehingga Ibnu Batutah iaitu seorang pengembara yang terkenal yang berasal dari Morocco, yang telah mengembara ke seluruh dunia, walaupun ia berada di negeri China, namun ia merasakan bahawa ia berada bersama-sama dengan saudara maranya orang-orang Islam di Negeri China dan di mana sahaja bumi Islam yang dipijaknya.

          Itulah dia semangat persaudaraan Islam yang berjaya membentuk umat manusia yang terdiri dari berbagai-bagai bangsa dan kaum, terdiri dari bermacam-macam kabilah yang bertutur dengan berbagai-bagai bahasa serta menganut bermacam-macam adat. Hanyalah Islam yang telah dapat memandu mereka, hanyalah Islam yang menjadi satu-satunya kekuatan yang dapat membina kemanusiaan, yang dapat memberi kebahagiaan kepada manusia dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

          Keadaan ini dapat dikekalkan sehinggalah unsur-unsur yang asing dari Islam telah meresap masuk ke dalam jiwa umat Islam dan masyarakat Islam.

Saudara kaum muslimin sekalian,

          Apa yang dinamakan nasionalisma yang datang dari barat itu telah menghidupkan semangat kebangsaan Arab walaupun dengan tidak dibuangkan Islamnya. Nasionalisma telah juga menghidupkan semangat kebangsaan Afghanistan walaupun dengan tidak dibuangkan Islamnya. Nasionalisma telah juga menghidupkan semangat kebangsaan Melayu dengan tidak dibuangkan Islamnya. Namun di atas unsur-unsur nasionalisma inilah antara faktor penyumbang sehingga tumbangnya Khalifah Islamiah yang terakhir iaitu Kerajaan Osmaniah di Turki. Dosanya terletak ditangan umat Islam itu sendiri yang begitu gelojoh menerima semangat nasionalisma tidak terpimpin. Mereka mengaku masih menganut Islam tetapi mereka telah menjadikan Nasionalisma sebagai unsur-unsur yang penting didalam kehidupan mereka kononnya sebagai semangat untuk menentang penjajahan. Tetapi apa yang berlaku ialah semangat nasionalisma itu bukan ditanam sekadar untuk menentang penjajah malah digunakan untuk menumbangkan Khlifah Osmaniah yang menjadi benteng perlindungan umat Islam di zaman silam.

          Memang tidak dapat dinafikan bahawa nasionalisma ditiupkan untuk memerdekakan bumi Islam, namun oleh kerana ianya bukan daripada benih Islam dan Islam mengajarkan bahawa unsur akidah yang satu menjadi faktor penyatu umat walaupun datangnya dari berbagai-bagai bangsa. Tetapi nyatanya nasionalisma adalah benih dari barat, benih sekularisma, maka kita melihat bahawa nasionalisma yang hanyut itu, yang di hayati oleh umat Islam pada hari ini masih lagi mengekalkan bibit-bibit perpisahan agama dari kehidupan meraka. Ia memisahkan Islam daripada memainkan peranan untuk memimpin umat Islam ke arah melaksanakan Islam yang sebenarnya. Sesungguhnya, ulama telah memainkan peranan menentang segala pengaruh penjajahan yang datang ke bumi Islam, kerana mereka menganggap bahawa yang datang itu adalah musuh dengan tidak mengira bangsanya. Asalkan sahaja ia memusuhi Islam walaupun dari bangsanya sendiri. Sesungguhnya penjajahan telah berjaya melahirkan golongan nasionalisma bukan daripada kalangan orang yang melebihkan agama melebihi dari segalanya, tetapi telah melahirkan mereka dari golongan yang terdidik dengan didikan barat, yang datang dengan semangat kebangsaan, yang tidak ada semangat keislamannya, mengekalkan pramagtisma dan sekularisma. Golongan inilah kononnya memperjuangkan kemerdekaan yang bukannya untuk kemerdekaan umat Islam, tetapi adalah untuk mewarisi bumi dari penjajah barat bagi mengekalkan sistem mereka bagi mengekalkan perundangan mereka. Bagi mengekalkan dasar-dasar mereka dan bagi mengekalkan ideologi (fahaman) mereka dalam negara umat Islam. Sebagai Umat Melayu Islam di negara ini marilah kita menjadi satu umat yang saling sayang menyayangi, bantu-membantu, bela-membela antara satu sama lain bukan atas dasar kita satu bangsa semata-mata tetapi yang lebih utama dan dituntut adalah kerana kita semua satu akidah yang wajib tolong-menolong dan bantu membantu sesama kita. Umat Islam yang bukan berbangsa Melayu juga adalah saudara kita tidak kira sama ada dia orang Cina Muslim atau India Muslim ataupun bangsa-bangsa lain. Janganlah kita meletakkan kepentingan bangsa lebih dari kepentingan agama. Inilah keindahan Islam apabila dilihat dari sudut jalinan persaudaraan.

 

Saudara-saudara sidang Jumaat sekalian,

          Sesungguhnya Islam adalah merupakan satu ajaran yang tidak boleh dinodai,  satu ajaran yang suci lagi bersih, yang mempunyai kesegaran, walau pun Islam pernah di fitnah di beberapa masa yang lalu, ianya tidak mungkin difitnahkan berterusan kerana ianya adalah agama Allah yang sentiasa terpelihara dengan segala istilah yang kebal di dalam Al Quran, yang tidak boleh disadurkan dengan apa-apa fahaman sekalipun di atas muka bumi ini.

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا - ( ســورة الـمـائـدة: 3 )

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Disediakan oleh :

Imam Abdul Talib Haji Hashim

Imam Masjid Chemor

Hosted by www.Geocities.ws

1