خطبه جمعة
KEPERCAYAAN KEPADA NIKMAT DAN AZAB KUBUR PENENTU KEIMANAN
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ
وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ
أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ رَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .
اَمَّا بَعْدُ, عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Saudara sidang Jumaat Sekelian,
Terlebih dahulu saya mengajak saudara-saudara dan diri saya sendiri untuk mempertingkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah. Semoga kita akan mendapat kejayaan dan keselamatan di dunia dan di akhirat. Hanya dengan ketaqwaan sahajalah akan menyelamatkan diri kita dari ditimpa azab neraka Allah di alam akhirat dan azab kubur di alam barzakh yang disediakan oleh Allah kepada semua manusia baik yang mempercayainya mahupun yang mengingkarinya.
Sidang Jumaat Sekelian,
Salah satu ciri orang yang bertaqwa adalah beriman kepada perkara ghaib. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 1-3 :
الم(1)ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ(2) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ(3)
Ertinya :
Alif Lam Mim. Itulah kitab yang tidak ada keraguan di dalamnya yang menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman dengan perkara ghaib dan mendirikan sembahyang dan membelanjakan apa yang kami rezekikan.
Beriman kepada perkara ghaib ialah mempercayai perkara-perkara yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera manusia, yang diberitakan kepada kita oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadis nabi yang sahih seperti perkhabaran mengenai Syurga, Neraka, Hisab, Nikmat dan Azab Kubur dan sebagainya. Umat Islam wajib percaya kepada perkara-perkara ghaib apabila sudah nyata diberitakan oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. dan inilah aqidah yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Baru-baru ini satu makalah dalam sebuah majalah yang terkenal telah mempertikaikan kebenaran dan kewujudan azab kubur kerana kononnya tidak disebut di dalam Al-Quran secara muktamad. Manakala hadis-hadis yang menerangkan perkara tersebut pula dikatakan sebagai hanyalah Hadis Ahad yang tidak berdosa jika tidak dipercayai. Logik akal juga dikatakan tidak akan menerima wujudnya azab kubur kerana konon berlaku ketidakadilan dalam tempoh masa berada di dalam kubur di antara mereka yang telah lama mati sebelum kiamat dengan mereka yang mati beberapa sejurus sebelum kiamat berlaku. Kaedah mengazab mayat yang tidak dapat dikuburkan kerana berbagai sebab juga menjadikan azab kubur menjadi seolah-olah dongengan kosong yang tidak dapat difikirkan oleh akal.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Dalam Surah Hud ayat 124 Allah berfirman :
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى(124)
Ertinya :
Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanku maka sesungguhnya dia akan menghadapi satu kehidupan yang sempit Dan di Hari Kiamat kami akan himpunkan mereka dalam keadaan buta.
Imam At-Tabari dalam mentafsirkan perkataan (مَعِيْشَةً ضَنْكَ ) iaitu kehidupan yang sempit dalam ayat di atas, telah menukilkan sebuah hadis yang juga disebut dalam kitab beliau (اَلتَّذْكِرَةٌ ) seperti berikut :
قَالَهُ أَبُوْ سَعِيْد اَلْخُدْرِيْ وَعَبْدُاللهِ بْنُ مَسْعُوْد, وَرَوَاهُ أَبُوْ هُرَيْرَةَ مَرْفُوْعًا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يُضِيْقُ عَلَى الْكَافِرِ قَبْرَهُ حَتَّى تَخْتَلِفَ فِيْهِ أَضْلاَعُهُ, وَهُوَ الْمَعِيْشَة ُالضَّنْكِ.
Ertinya :
Kata Abu Said Al-Khudri dan Abdullah Bin Mas'ud dan meriwayatkannya juga oleh Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W : Disempitkan kubur orang kafir sehingga berselisih tulang rusuk mereka dan itulah kehidupan yang sempit.
Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya pula menjelaskan :
وَقَالَ أَيْضًا حَدَّثَنَا أَبُوْ زَرْعَة حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيْد حَدَّثَنَا حَمَّاد بْنُ سَلْمَة عَنْ مُحَمَّد بْنُ عَمْرُو عَنْ أَبِيْ سَلْمَة عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ لَهُ مَعِيْشَةً ضَنْكًا قَالَ " عَذَابُ الْقَبْرِ "
Ertinya :
Dan katanya juga diriwayatkan kepada kami oleh Abu Zar'ah, Abu Walid, Hammad Bin Salmah, Muhammad Bin Amru, Abi Salmah dan Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W ditanya tentang perkataan " maka sesungguhnya dia akan menghadapi satu kehidupan yang sempit" maka sabda baginda : Azab Kubur.
Tafsir Jalalain juga menerangkan maksud perkataan tersebut sebagai :
وَفُسِّرَتْ فِيْ حَدِيْثٍ بِعَذَابِ الْكَافِرِ فِيْ قَبْرِهِ
Ertinya :
Dan ditafsirkan dalam hadis dengan azab bagi orang kafir di dalam kuburnya.
Sidang Jumaat Sekelian,
Jelaslah bahawa yang membuat tafsiran ayat-ayat di atas adalah para sahabat Rasulullah S.A.W yang amat memahami tentang tafsir dan pengertian Al-Quran. Jika para sahabat yang hidup disamping Rasulullah S.A.W, yang mengetahui sebab-sebab penurunan ayat Al-Quran, yang mendapat penjelasan secara langsung daripada Rasulullah S.A.W, mengenai isi kandungan Al-Quran dan pernah didoakan oleh Rasulullah agar diberi ilmu tentang tafsiran dan ta'wilan Al-Quran seperti Ibnu Abbas, kita nafikan kebenaran tafsiran mereka maka apakah kebenaran yang boleh diharapkan oleh tafsiran mereka yang terkemudian apatah lagi tafsiran orang awam dan penulis murahan yang ada pada hari ini. Apakah tafsiran para sahabat ini wajar kita remehkan dengan dakwaan ianya hanyalah tafsiran ulama' semata-mata yang tidak perlu dihormati dan diikuti. Abdullah Bin Mas'ud misalnya pernah menyatakan bahawa beliau menyaksikan wahyu turun kepada nabi dan mengetahui dalam peristiwa apa dan untuk maksud apa ia diturunkan.
Sidang Jumaat Sekelian,
Di antara hujjah yang dikemukakan oleh penulis tersebut adalah dengan mengatakan bahawa kebanyakkan hadis yang menerangkan tentang azab kubur hanyalah Hadis Ahad iaitu hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah rawi yang jumlah mereka tidak sampai ke bilangan mutawatir (مُتَوَاتِر) iaitu jumlah yang tidak memungkinkan mereka berpakat melakukan penipuan terhadap Rasulullah dan Hadis Ahad tidak salah untuk tidak ditaati dan tidak kufur jika diengkari. Sebenarnya keterangan hadis dan sunnah Nabi S.A.W mengenai sabitnya azab kubur amat jelas. Amat banyak hadis termasuk di dalam Sahih Bukhari dan Muslim yang menerangkan tentang azab kubur. Kita melihat bahawa hadis-hadis yang terlalu banyak yang menceritakan tentang azab kubur dan mempunyai maksud yang sama seumpamanya walaupun dengan perkataan yang berbeza-beza. Ulamak Hadis telah sepakat menyatakan bahawa jumlah dan bilangan Hadis Ahad yang banyak yang menceritakan sesuatu dengan maksud yang sama walaupun dengan perkataan yang berbeza-beza maka keseluruhan hadis-hadis tersebut dikira sebagai Hadis Mutawatir iaitu Hadis Mutawatir Maknawi ( حَدِيْث مُتَوَاتِرْ مَعْنَوِيْ ) yang wajib diyakini dan kafir jika diengkari. Ini bermakna hadis-hadis mengenai nikmat dan azab kubur ini adalah wajib diyakini dan mengingkarinya akan menjejaskan aqidah kita berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malah berkenaan dakwaan bahawa Hadis Ahad yang sahih tidak dapat mensabitkan aqidah, Syeikh Nasiruddin Al-Bani, ulamak hadis yang terkenal menegaskan bahawa dakwaan itu adalah batil. Malah imam mazhab yang empat tidak pernahpun berkata sedemikian.
Sidang Jumaat Sekelian,
Sebagai contoh kita perhatikan satu hadis riwayat Abu Hurairah :
327 حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ *
Ertinya :
Hadis Abu Hurairah (R.A) berkata : Sabda Rasulullah S.A.W apabila seseorang dari kamu berada dalam keadaan tasyahhud maka hendaklah berlindung dengan Allah daripada empat perkara dengan berdoa : Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganmu daripada azab Neraka Jahannam dan dari Azab Kubur dan dari fitnah semasa hidup dan selepas mati dan dari kejahatan fitnah Masihi Dajjal.
Hadis ini telah diriwayatkan dalam banyak sunan termasuk Sahih Bukhari, Muslim, Tarmizi, An-Nasai, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad Ibnu Hanbal dan Ad-Darimi.
Sidang Jumaat sekelian,
Imam Abu Hasan As-Syaari iaitu imam kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah menegaskan dalam kitab Ibanahnya bahawa sahabat-sahabat nabi adalah sepakat dan ijmak mengenai sabitnya azab kubur. Bahkan Ijmak ini juga dipersetujui oleh segolongan besar daripada golongan Muktazilah. Maka jelaslah mengikut Ahli Sunnah bahawa mereka yang mengengkari azab kubur adalah terkeluar daripada aqidah Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Jelaslah bahawa kebenaran dan kewujudan Azab Kubur sabit melalui nas Al-Quran, Hadis dan Ijmak. Ianya menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari dulu, kini dan selamanya. Perkara ghaib di alam barzakh tidak mungkin boleh dinilai oleh akal yang hanya terbatas jangkauannya di alam dunia. Alam rahim yang kita diami selama 9 bulan juga begitu sukar untuk digambarkan melalui akal fikiran jika kita memikirkan melalui suasana alam dunia sedangkan kita semua menerima dan meyakini kita telahpun menempuhinya. Walaubagaimanapun cara matinya seseorang manusia tidaklah sukar bagi Allah untuk membangkitkannya semula untuk menerima Azab di alam barzakh.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ فَإِنِ انْتَهَوْا فَإِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Ertinya :
Dan perangilah mereka habis-habisan sehingga tiada lagi timbul fitnah dan keraguan terhadap agama dan agama seluruhnya semata-mata bagi Allah. Dan jika mereka berhenti sesungguhnya Allah mengetahui segala perbuatan mereka.
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat sekelian,
Hanya orang yang tidak beriman sahaja yang tidak menerima kemampuan Allah untuk mengazab manusia di dalam kubur mereka walaupun jasad mereka tidak dikuburkan dengan sempurna. Firman Allah S.W.T:
كَلاَّ اِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِيَ(26) وَقِيلَ مَنْ رَاقٍ(27) وَظَنَّ أَنَّهُ الْفِرَاقُ(28) وَالْتَفَّتِ السَّاقُ بِالسَّاقِ(29) إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ(30) فَلاَ صَدَّقَ وَلاَ صَلَّى(31) وَلَكِنْ كَذَّبَ وَتَوَلَّى(32) ثُمَّ ذَهَبَ إِلَى أَهْلِهِ يَتَمَطَّى(33) أَوْلَى لَكَ فَأَوْلَى(34) ثُمَّ أَوْلَى لَكَ فَأَوْلَى(35) أَيَحْسَبُ الإِنْسَانُ أَنْ يُتْرَكَ سُدًى(36) أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِنْ مَنِيٍّ يُمْنَى(37) ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّى(38) فَجَعَلَ مِنْهُ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَاْلأُنْثَى(39) أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى(40)
Ertinya :
Tidak, jangan kamu salah sangka. Apabila roh telah sampai ke kerongkong (hampir mati) (26).
Ditanyakan kepada kamu : siapa yang boleh merawatnya (27).
Yakinlah kamu bahawa itulah saat perpisahan (28).
Maka bertemulah betis kiri dengan betis kanan (di dalam kubur) (29).
Kamu di halau kepada tuhanmu (30).
Maka dulunya (di dunia) mereka tidak percaya (ajaran Rasul termasuk Azab Kubur) dan tidak menunaikan sembahyang (31).
Tetapi mereka mendustakan Al-Quran dan berpaling dari kebenaran (32). Kemudian dia kembali kepada keluarganya dan berbangga diri dan bongkak (33). Lebih baik kamu bertaubat dan itu lebih baik (34).
Kemudian Lebih baik kamu bertaubat dan itu lebih baik (35).
Adakah 'manusia itu' menyangka bahawa dia akan dibiarkan begitu sahaja (Tanpa perlu bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya)(36).
Tidakkah dia itu dulunya hanyalah setetes mani yang ditumpahkan (37).
Kemudian menjadi segumpal darah dan dijadikan dengan sempurna(38).
Kemudian daripadanya dijadikan pasangan lelaki dan perempuan (39). Tidakkah yang demikian itu menjadi bukti bahawa Allah berkuasa menghidupkan mereka yang sudah mati (40)
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ, وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ.اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ اْلكَفَرَةَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ . اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ اْلكِتَابِ وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ.
Ya Allah berilah petunjuk kepada kami agar tidak kami terpedaya dengan perancangan dan tipu daya musuh-musuh Islam. Berilah kekuatan kepada kami untuk menentang keganasan dan kekejaman mereka. Satukanlah hati-hati kami untuk membebaskan dunia dari penindasan mereka.
Ya Allah kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayahmu terhadap raja kami, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah, Ghafarullahu Lahu.
اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ . فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرْوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ.
Disediakan Oleh :
Ustaz Rivai Batu Bara