ISRA’ DAN MIKRAJ : SUMBER KEKUATAN IMAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ 

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ  

اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتَمُوْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

 Saudara Kaum Muslimin Sekalian,

Moga kita semua sentiasa dirahmati serta diberkati ALLAH. Bersama-samalah kita mengenangkan sejenak akan keadaan diri kita, dari segi keimanan kita kepada ALLAH dan RASULNYA, dan kepatuhan dan ketaatan kita kepada ALLAH dan RASULNYA. Jika kita dapati semakin hari semakin jauh kita dari ALLAH dan RASULNYA, maka segeralah kita kembali ke jalan ALLAH, segeralah kita bertaubat dan menuju ke jalan yang

diredhainya, segeralah kita memulakan perjalanan kita ke arah ketaqwaan kepada ALLAH. Adapun jika kita dapati bahawa semakin hari semakin bertambah ketaatan kita kepada ALLAH, segeralah kita memanjatkan kesyukuran kita kepada ALLAH, dan sentiasalah kita mengingati akan kasih sayang ALLAH pada hambanya, dan cinta RASUL kepada umatnya

 

Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra' :

سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ اْلمَسْجِدِ الْحَرَامِ إلَى الْمَسْجِدِ اْلأَقْصَاالَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا إنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ

Maksudnya :

Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

 

Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa Isra' dan Mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa ini telah menapis dan menyaring keimanan dan keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran risalah nabi Muhammad s.a.w. .   Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu peluang terbaik untuk melakukan operasi pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam. Ini berlaku semata-mata kerana peristiwa ini amatlah menongkah arus aqal manusia. Inilah gambaran yang akan berlaku apabila umat keliru dalam meletakkan sumber ambilan dalam membuat satu-satu kesimpulan. Umat Islam hari ini harus waspada dengan ledakan arus untuk meletakkan aqal mengatasi sumber Al Quran dan Sunnah. Islam tidak sama sekali menolak peranan yang dilakukan oleh aqal tetapi harus ditundukkan dengan bimbingan wahyu dan sunnah. Perkara  seperti inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh kita pada hari ini apabila usaha dalam melaksanakan semula semua sistem Islam maka di sana timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang seratus peratus yakin dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya. Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ianya tidak dapat dilaksanakan dengan mencari pelbagai alasan. Dan atas alasan kebebasan berfikir cuba mempengaruhi orang lain agar sama-sama ragu seperti mereka juga. Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam. Jika umat dahulu berasa pelik apabila nabi menceritakan tentang Isra’ dan Mikraj maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem hidup Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di negara ini pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah.

 

Sidang Jumaat Sekelian,

Kita harus mempelajari dari peristiwa ini bahawa Iman itulah merupakan kayu pengukur yang sebenarnya akan menentukan kualiti keislaman seseorang. Sesungguhnya, Imanlah yang membezakan Sayyidina Abu Bakar r.a. dan menempatkan beliau pada suatu kedudukan yang tidak dapat ditandingi oleh sahabat Rasulullah s.a.w. yang lain. Beliau lebih dikenali sebagai As-Siddiq yang bererti “yang membenarkan” kerana beliau terus percaya dan beriman dengan khabar dari Baginda Rasulullah s.a.w. ketika diceritakan peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah dari sehari ke sehari. Jika tekanan ini tidak disambut dengan kecekalan jiwa yang cukup hebat nescaya ia akan mematahkan semangat. Allah mengkehendaki agar perjuangan menegakkan keadilan Tuhan mestilah digalas dengan manusia-manusia yang berjiwa kental. Maka peristiwa ini telah memberikan suntikan semangat baru kepada Nabi SAW bahawa dalam menjalankan usaha memperbaiki masyarakat, baginda tidak pernah keseorangan sebaliknya sentiasa dibantu oleh Kekuatan Allah SWT dan sesungguhnya segala cabaran yang dihadapi oleh baginda telah terlebih dahulu di hadapi oleh Nabi-nabi terdahulu. Pengajaran penting bagi kita ialah janganlah kita sengaja mencari-cari sebab memusuhi usaha-usaha murni untuk memperkasakan semula jiwa-jiwa muda umat ini yang akan meneruskan perjuangan menegakkan hukum Allah SWT. Hakikatnya kita bukanlah memusuhi pendokong-pendokong kebenaran itu sahaja malah hakikatnya kita juga telah “mencipta” permusuhan dengan Penciptanya juga. Ambillah perhatian yang serius terhadap teguran kepada segala aktiviti hiburan dan hidup penuh berfantasia yang sudah tentu tidak membantu memperkasakan jiwa umat ini. Nasib umat Islam akan selama-lamanya tidak akan terbela apabila jiwa umatnya tidak kental dan tidak tahan diuji.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Umat ini perlu dibimbing untuk berhubung semula secara mesra dengan Penciptanya melalui ibadat solat iaitu hadiah terbesar yang dikurniakan kepada Nabi SAW dalam peristiwa ini. Ia merupakan jambatan untuk memperolehi semula sumber kekuatan menghadapi cabaran sezaman. Anak-anak muda janganlah dilekakan daripada membuat hubungan dengan Allah SWT melalui ibadat solat dengan dilalaikan dan dialihkan pandangan mereka kepada keseronokan membabi buta. Sedarkanlah mereka bahawa Nabi mereka telah diberi penghormatan untuk mengimami nabi-nabi lain dalam peristiwa Isra’ sebagai tanda bahawa kepimpinan dunia ini sepatutnya dikendalikan pemacunya oleh umat ini tetapi apabila hubungan mereka dengan Allah tidak mesra malah berkonfrantasi dengan Allah maka Allah akan merasakan kepada mereka sedikit akibat daripada keengganan mereka dan itupun rasanya sudah tidak tertanggung lagi. Umat ini ditindas merata-rata termasuklah di bumi Nabi diisrakkan pada malam itu iatu Masjidil Aqsa Palestin. Renungilah firman Allah dalam  ayat 286 penutup surah al-Baqarah yang merupakan ayat yang diterima oleh nabi semasa bertemu Allah pada malam Isra’ Mikraj selain daripada kewajipan solat lima waktu sehari semalam:

لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْراً كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ   

Maksudnya :

Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.

 

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 Disediakan Oleh :

AF Ustaz Zamri Bin Hashim

Hosted by www.Geocities.ws

1