Islam Hadhari
اَلْحَمْدُ ِللهِ القائل :
وَلاَ تَهِنُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ - آل عمران : 139
اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدَنـَا مُحَمَّدِنِ الْهَادِىْ اِلىَ الْحَقِّ وَاِلىَ الصِّرَاطِ الْمُسْتَقِـيْمِ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ. اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.
Saudara kaum muslimin yang berbahagia,
Islam adalah agama yang bersifat universal, bertamadun, fleksibel dan moden. Ia mengatasi batas-batas sempadan, budaya, geografi dan iklim. Sejarah memperlihatkan bahawa Islam pernah bangkit menjadi satu kuasa dunia yang digeruni oleh musuh. Kecemerlangannya terserlah di zaman Rasulullah s.a.w. di mana baginda berjaya mengukir kegemilangan Islam melalui beberapa kekuatan yang dibinanya. Di antaranya melalui kekuatan akidah, kekuatan syariat dan juga kekuatan akhlak. Baginda meletakkan bahawa ketiga-tiga kekuatan ini lebih utama daripada segala hubungan yang lain termasuklah hubungan kekeluargaan dan keturunan. Dalam erti kata lain baginda meletakkan kepentingan ukhrawi lebih bernilai dan utama daripada segala kepentingan duniawi Kemudian tradisi tersebut telah dapat diwarisi dan diteruskan oleh para sahabat dan generasi selepasnya.
Saudara kaum muslimin,
Kekuatan Islam bukan sahaja tersebar di semenanjung besar tanah arab ketika itu tetapi juga berkembang dan turut tersebar ke seluruh pelusuk dunia termasuk kerajaan Rom dan Parsi, serta beberapa buah negara Eropah, Andalus, Sepanyol dan China sehinggalah ke zaman Kerajaan Usmaniah Turki yang dipimpin oleh Salehudin Al-Ayubi di abad ke 12. Beliau berjaya membebaskan Kota Baitul-Maqdis daripada penjajah atas kekuatan akidah yang dibinanya. Kemudian kita melihat kekuatan Islam selepas itu menjadi hilang punca sehinggalah ke hari ini.
Saudara kaum muslimin,
Kenapakah kini Islam dilihat sebagai mundur, lesu dan lemah?. Kenapakah Islam tidak lagi bangkit menjadi kuasa besar dunia pada ketika ini seperti yang telah diukir oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat. Di manakah pejuang- pejuang Islam yang terkemuka.? Kalau dahulu nama-nama seperti Salehuddin al- Ayubi, Sultan Muhammad Abdul Fatih, Umar Hashim dan lain-lain digeruni kerana keberanian dan kehandalan mereka. Kita menanti kemunculan mujaddid-mujaddid yang akan dapat membangkitkan semula kecemerlangan Islam seperti di masa lampau. Apakah kerana Islam merupakan kumpulan minoriti. Jikalau kita membaca suatu perangkaan dan bancian menunjukkan sebenarnya umat Islam mempunyai jumlah umat yang begitu ramai berbanding bangsa lain, bahkan bilangannya mencapai jumlah 1.3 Billion manusia tetapi bilangan yang ramai itu nampaknya tidak memiliki apa-apa kesan terhadap perjuangan Islam. Mungkin inilah barang kali yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:
أَنْتُمْ كَثِيْرٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ
“Jumlah kamu ramai tetapi ramai kamu seumpama buih di laut, iatu boleh ditolak ketepi dan ketengah,yakni tidak ada pendirian dan pegangan serta bilangannya banyak tetapi tiada mempunyai kekuatan dan kualiti ”.
Sebenarnya kita tidak boleh menafikan bagaimana musuh-musuh Islam terus-menerus memerangi kita sejak zaman nabi lagi sehinggalah ke hari ini. Mereka terus memerangi Islam tanpa mengenal gencatan senjata walau satu saat sekalipun hingga ke masa kini. Gerakan Zionis antarabangsa dan gerakan Solib antarabangsa terus menerus merencanakan tindakan-tindakan yang jahat terhadap Islam. Mereka terus menyerang dan mengganyang Islam dan tidak pernah berhenti serta berdamai dalam mana-mana generasi sekalipun. Di antara tindakan nekad mereka ialah dengan menghancurkan negara Islam Turki kerana menganggap Turki adalah sebuah pengkalan utama ummat Islam. Justeru mereka berjaya merosakkan Khilafah Usmaniah Turki dengan membawa masuk isme-isme dan fahaman sekularisma mereka sehingga terbukti usaha mereka menemui kejayaan bila mana pemerintahan Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Attartuk telah mengasingkan Islam dari pemerintahan mereka dan mengambil fahaman sekularisma sebagai dasar pemerintahan mereka.
Saudara kaum muslimin,
Apa yang dapat disaksikan, kini ummat Islam menjadi bertambah lemah dan mundur berdasarkan senario yang berlaku pada hari ini. Keruntuhan dan kemusnahan yang berlaku bukan sahaja melibatkan keruntuhan akhlak tetapi juga keruntuhan akidah dan syariat. Ia berlaku di mana-mana. Di sana sini Islam menjadi pertikaian dan buah mulut orang ramai terutama dari golongan bukan Islam. Mereka menuduh dan melebel Islam dengan berbagai-bagai tuduhan dan tohmahan lantaran sikap dan pegangan sebahagian ummat Islam yang tidak berpegang teguh dengan ajaran agamanya dan menerima Islam menurut persepsi dan fahaman salah mereka.
Saudara siding Jumaat Sekelian,
Kelemahan ini berpunca apabila Islam dilihat hanya dalam sudut-sudut yang tertentu seperti mereka melihat Islam dari sudut material ( kebendaan ). Sesetengahnya pula sanggup membeli Islam dengan harga dunia dan kemewahan yang sedikit itu sehingga memperlihatkan seolah-olah Islam ini barang (spare part) yang boleh ditukar ganti atau dibeli. Sebenarnya Islam bukanlah mengkesampingkan urusan dunia atau menyisihkan dunia daripadanya tetapi sebaliknya mengiktiraf peranan dunia sekiranya pembangunan dunia itu diletakkan di bawah kekuatan Islam, Bukanlah berlaku sebaliknya, meletakkan dunia mengatasi kekuatan Islam. Saidina Umar menegaskan dalam kata-katanya yang cukup terkenal:
الإِسْلاَمُ يَعْلُوْا وَلاَ يُعْلَىْ عَلَيْهِ
“Islam itu tinggi dan tiada suatu yang lain lebih tinggi daripadanya.”
Persoalannya di manakah keunggulan Islam dan ketinggian Islam seperti yang disebut oleh kata-kata sahabat terkemuka Rasulullah s.a.w. di atas bila mana ummat Islam telah meletakkan kedudukan dunia itu di tempat yang tertinggi mengatasi ketinggian Islam. Lebih malang lagi apabila terdapatnya sebahagian daripada ummat Islam menolak Islam dan meninggalkan ajaran Islam serta hukum hakamnya, walaupun kita selalu melaung-laungkan pelbagai slogan tentang Islam yang terbaik, Islam moden dan Islam hadhari tetapi jauh daripada cuba menghayati ajaran Islam yang sebenarnya apatah lagi untuk melaksanakan ajaran-ajaran serta hukum hakam seperti mana terkandung dalam kitab suci Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
Sebenarnya Islam itu sifatnya moden, membangun dan bertamadun dan apa yang disebut sebagai Islam Hadhari itu hanya dapat dilihat apabila manusia menyanjung tinggi dan bersedia melaksanakan syariatnya dalam seluruh kehidupan kita di samping menolak mana-mana ajaran atau hukum hakam yang bercanggah dengan hukum peraturannya. Ini bermakna Islam itu maju dan membangun. Pembangunan dan kemajuannya hanya dapat dibuktikan bila mana manusia mengangkat kedudukan martabatnya di tempat yang sebenar. Tetapi Islam yang Hadhari itu akan tinggal nama sahaja bilamana ummat Islam melupakan ajaran dan hukum hakamnya apatah lagi seandainya ummat Islam menolak ajarannya dan mengambil ajaran lain yang kononnya dapat memberi kepuasan dan kesejahteraan kepada mereka.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْم, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.