Ibadah Berteraskan Ilmu

اَلْحَمْدُ ِلله ِالَّذِيْ أَنْعَمَ عَلَيْنَا ِبنِعْمَةِِ اْلإِيْمَانِ وَاْلإِسْلاَمِ. وَأَوْجَبَ عَلَيْنَا طَلَبَ الْعِلْمِ وَسِيْلَةً لِلتَّقْوَى وَتَرْبيَةً لِلأَمَانَةِ فِىْ اْلعَمَلِ وَالنَّجْوَى وَاْلكَلاَمِ.

أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ ِالاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ رَسوْلِكَ مُحَمَّدٍ أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَاْلمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى الِهِ وَاَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ .

اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 

 Saudara kaum muslimin sidang jumaat yang dirahmati Allah,

          Pada Hari Jumaat yang penuh berkat ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada saudara-saudara sekalian agar kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan segala titah perintahnya dan menjauhi segala tegahannya. Sesungguhnya ganjaran yang besar akan menanti orang-orang bertaqwa. Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal ayat 29:

 يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ (الأنفال :29)

Maksudnya:

Jika sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan kamu (keupayaan untuk) membezakan (antara kebenaran dengan kebatilan) dan juga akan dihapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta kamu akan diampunkan (dari dosa-dosa kamu) dan sesungguhnya Allah memiliki kelebihan yang teramat banyak”.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

          Ilmu adalah teras sistem nilai Agama Islam dan ianya menduduki tempat yang amat tinggi. Penekanan kepada ilmu dalam ajaran Islam amat jelas. Ianya dapat dilihat melalui sumber asas agama iaitu al-Qur'an dan ajaran Nabi Muhammad S.A.W. (sunnah). Penekanan kepada pembacaan, sebagai wahana penting dalam usaha memperolehi ilmu pengetahuan merupakan perkara pokok yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad (S.A.W.) yang bersifat ummi. Ini sekali gus  menjadikannya kunci ilmu pengetahuan yang diikitiraf oleh Allah melalui firmanNya di dalam Surah al-'Alaq, ayat 1-5 yang berbunyi:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ(1)خَلَقَ الإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ(2)اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ(3)الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ(4)عَلَّمَ الإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ(5)

Bermaksud:

Bacalah (Wahai Muhammad!) Dengan nama Tuhanmu yang menjadikan, Menjadikan insan daripada segumpal darah. Bacalah: Dan Tuhanmu Maha Pemurah Yang mengajar insan dengan pena. Dia mengajar insan sesuatu  yang tidak mereka ketahui.

 

          Menuntut ilmu adalah merupakan tanggungjawab ke atas setiap individu Muslim. Nabi Muhammad S.A.W. telah menyatakan dalam satu hadis yang masyhur akan kewajipan ini:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Ertinya :       Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas Muslim

.

          Setiap Muslim hendaklah berusaha seberapa boleh mengetahui sebanyak mungkin bidang-bidang ilmu pengetahuan. Ini adalah supaya dia dapat menjalani kehidupannya dengan baik dan sempurna seperti yang dituntut oleh Islam. Dalam masa yang sama ianya dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Islam amat menitikberatkan tentang kepentingan ilmu disamping menyanjung dan mengiktiraf orang-orang yang berilmu. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 18 yang berbunyi: 

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّهُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ(آل عمران :18)

Maksudnya:

Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Para Malaikat dan orang-orang yang berilmu, juga menyatakan yang demikian itu. Tak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,

          Islam amat menganjurkan umatnya untuk menimba ilmu seberapa banyak yang mungkin mengikut kemampuan diri masing-masing. Apa sahaja ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada dirinya dan masyarakatnya di dunia dan di akhirat. Namun demikian sebagai seorang Islam, ilmu yang paling asas perlu kita ketahui ialah ilmu keagamaan terutama sekali ilmu yang berkaitan dengan ibadah. Setiap ibadah yang kita lakukan perlulah berteraskan ilmu pengetahuan dan kefahaman. Cuba kita fikirkan sejenak, apakah yang perlu ada pada diri seseorang pekerja sebelum ia memulakan suatu projek sama ada daripada cetusan ideanya ataupun merupakan arahan dari pengurusnya. Sudah semestinya projek yang ingin dibuat perlu ada objektif yang hendak dicapai. Begitu juga sudah tentunya seseorang pekerja itu ingin menghasilkan suatu projek yang bermutu tinggi. Untuk menghasilkannya ia perlu kepada ilmu yang berkaitan dengan projek tersebut. Sesebuah projek itu tidak akan berjaya tanpa fokus tertentu dan arah yang hendak dituju. Dan fokus tersebut perlu kepada ilmu pengetahuan untuk memandu diri ke arah yang ingin dituju.

          Begitu juga dengan ibadah. Saya yakin bahawasanya tiap dari kita yang hadir ini tahu dan sedar bahawa kita dijadikan di dunia ini sebagai hamba Allah s.w.t. Hamba yang mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Antaranya ialah melakukan ibadah. Sebagaimana firmanNya dalam surah Az-Zariat ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالأِنْسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ (الذاريات : 56)

Maksudnya:

Dan tidaklah Aku (Allah) menciptakan segala jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada Ku.

 

          Apabila kita tahu dan faham tujuan kita dijadikan di dunia ini adalah untuk menyembah Allah s.w.t. dan mendapat keredhaanNya. Maka setiap perkara yang kita lakukan perlu ada ilmu dan kefahaman. Dengan kefahaman terhadap apa yang dilaksanakan barulah kita dapat menghayatinya dan melakukan ibadah tersebut dengan penuh bermakna. Seperti solat, kita bukan setakat melakukan solat secara fizikal tetapi dalam masa yang sama kita megetahui apakah tujuan solat dan memahami setiap tutur kata yang kita lafazkan dalam solat.Setiap lafaz perkataan yang diucap mempunyai makna yang mengagungkan Yang Maha Esa sebagai tanda pengabdian kita kepadaNya. Apabila kita memahami apa yang kita lafazkan di dalam solat, maka kita pasti akan mudah menghayati setiap pergerakan kita di dalam solat juga.

          Begitu juga kalau kita berpuasa. Kita tidak melakukannya semata-mata melihat orang lain berpuasa. Atau melaksanakannya untuk merasa lapar dan dahaga sahaja Akan tetapi kita melakukannya dengan penuh penghayatan dan memahami makna sabar, disiplin diri mengawal emosi dan nafsu yang terkandung dalam ibadah puasa. Kita juga perlu sedar dan faham bahawa setiap kebaikan merupakan ibadah. Itu merupakan antara keunikan dan keistimewaan Islam. Ibadah menurut pandangan Islam tidak hanya terlaksana dengan hanya menunaikan rukun Islam yang lima sahaja. Pengertian ibadah amat luas sekali, ia merangkumi setiap tutur kata kita, setiap tindak tanduk kita, bahkan setiap apa yang kita lintaskan di dalam hati dan fikiran kita. Semuanya dinamakan ibadah kepada Allah, selagi mana kesemuanya itu dilaksanakan kerana Allah dan tidak bertentangan dengan hukum-hukum Islam yang ditetapkan olehnya. Ini termasuklah berbuat baik sesama manusia, berlaku adil, menolong antara satu sama lain dalam melakukan kebaikan dan berbagai-bagai lagi. Sekiranya kita lakukan semua ini dalam erti kata kita faham bahawa ianya merupakan nilai-nilai Islam yang murni yang perlu kita lakukan dan menjadi contoh kepada masyarakat yang lain, maka ianya juga merupakan ibadah.

          Kalau Islam menganjurkan umatnya untuk berlaku ihsan, kita seharusnya menjadi umat yang pertama mempraktiskan ihsan dalam kehidupan kita. Kalau Islam menganjurkan umatnya bersikap toleransi, maka kita juga harus mempraktiskan sikap toleransi dalam kehidupan seharian dan muamalah sesama manusia terutama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.Namun dalam mengamalkan nilai-nilai tersebut juga perlu dipandu oleh landas-landas yang bersesuaian dengan syarak. Ini semua memerlukan kepada ilmu pengetahuan dan kefahaman dalam aspek-aspek tersebut.  

Sidang Muslimin yang berbahagia,

          Ibadah yang kita lakukan sekiranya berteraskan ilmu akan menghasilkan ibadah yang berkualiti. Sebagai seorang Islam, kita tidak hanya perlu menitikberatkan persoalan ibadah dari segi kuantiti. Kita juga perlu mengutamakan kualiti ibadah yang kita lakukan. Kalau kita lakukan ibadah dengan kuantiti yang besar tetapi mempunyai kualiti yang rendah, ia hanya suatu perbuatan yang tidak bermutu. Ia tidak ubah seperti menghasilkan barang-barang yang banyak tetapi tidak bermutu. Tidak akan ada orang yang mahu membelinya ataupun tertarik dengannya.

          Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama meningkatkan mutu ibadah kita agar menjadi lebih baik untuk hari-hari yang seterusnya. Pohonlah pertolongan dan hidayah Allah s.w.t. agar diberi kekuatan, kesabaran dan keteguhan iman dalam perjuangan ini.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

  

دسدياكن اوليه :

علي صوبري

 

Hosted by www.Geocities.ws

1