HIJRAH ASAS KEMAJUAN NEGARA
الحمد لله القائل :
الَّذِينَ ءَامَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ(20)
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat Sekalian,
Semakin lama kita melangkah, semakin usia kita bertambah, semakin hampir kita menemui Allah. Samada kita menghayati Hijrah atau tidak, samada kita melakukan perubahan atau tidak, namun kita semua pasti akan menempuhi Hijrah. Hijrah dari alam dunia ke Alam Barzakh, hijrah dari Alam Barzakh ke Alam Mahsyar, hijrah dari Alam Mahsyar ke Alam Jaza’. Apa yang pasti kita semua telah menyediakan bekalan dan melakukan persiapan untuk menerima ganjaran atau pun persiapan dan bekalan bagi menerima penyiksaan. Kalau di dunia kita berbalah, mencari siapa yang benar dan siapa yang salah, namun di sana semuanya pasti terserlah. Semuanya akan tunduk kepada keputusan Allah S.W.T.
Sidang Jumaat Sekalian,
Hijrah bukan semata-mata permulaan tqwim bagi Umat Islam tetapi lebih merupakan satu langkah pertama bagi pembebasan Umat daripada kezaliman dan penindasan kepada keadilan dan kebebasan, daripada kehidupan jahiliah kepada kehidupan bertamaddun dan diredhai Allah, daripada Umat yang dihina dan sering mengalah kepada Umat yang digeruni, gagah dan bermaruah. Hijrah bukan bermatlamat melarikan diri dari tanah air tercinta tetapi merupakan satu pengorbanan yang besar bagi membentuk sebuah Negara Islam yang melaksanakan Hukum Allah sepenuhnya. Firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 172 :
إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ ءَاوَوْا وَنَصَرُوا أُولَئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَالَّذِينَ ءَامَنُوا وَلَمْ يُهَاجِرُوا مَا لَكُمْ مِنْ وَلاَيَتِهِمْ مِنْ شَيْءٍ حَتَّى يُهَاجِرُوا وَإِنِ اسْتَنْصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ إِلاَّ عَلَى قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Ertinya :
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan kepada muhajirin, mereka itu satu sama lain lindung melindungi. Dan orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah maka tidak ada kewajipan sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. Tetapi jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam urusan membela agama maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Sidang Jumaat Sekelian,
Rasulullah S.A.W telah menetapkan dan merintis strategi Hijrah sebagai asas mengatur rancangan dan memulakan langkah bagi menubuhkan sebuah pemerintahan dan negara yang berlandaskan Syariat dan berdaulat. Berbeza dengan kita hari ini yang hanya berhijrah ketika tersepit dan terhimpit dan dihijrahkan oleh ketua dan majikan apabila melakukan kesalahan. Hijrah bukanlah satu wasilah untuk melarikan diri dan mengaku kalah. Hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah al-Munawarah yang dilakukan dengan gagah dan penuh perancangan teliti yang menjelaskan misi dan tujuan risalah nubuwwah sebagai pembawa hidayah bukan pembawa padah. Rasulullah S.A.W amat mampu bagi membelasah dan membawa padah kepada Pemuda Musyrikin Mekah yang tertidur ketika mengepung rumahnya. Namun Rasulullah S.A.W mahu membuktikan bahawa tugasnya bukan sebagai pembunuh tetapi pembawa hidayah.
Sidang Jumaat Sekalian,
Rasulullah S.A.W telah memulakan perjalanan Hijrah dengan memerintahkan Saidina Ali b. Abi Talib tidur di katilnya bagi mengaburi mata Musyrikin Mekah supaya mereka beranggapan bahawa baginda masih ada di rumahnya. Ahli sejarah lebih banyak membincangkan mengenai kebenaran dan kepatuhan Saidina Ali terhadap arahan Rasulullah S.A.W tersebut. Satu hal yang mungkin kita lupa, apakah wajar Rasulullah S.A.W menyuruh sepupunya sendiri menyabung nyawa semata-mata untuk menyelamatkan dirinya sendiri, Suatu hal yang amat pasti, Rasulullah S.A.W bukanlah seorang yang suka mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Rasulullah S.A.W sebagai seorang Rasul pasti mengetahui bahawa Allah akan menjaga dan melepaskan Saidina Ali dari bahaya yang dihadapi. Mana mungkin Rasulullah S.A.W boleh meneruskan Hijrah sedangkan Saidina Ali terkujur kaku kerana mengantikannya di tempat tidur. Bagaimana Rasulullah S.A.W dan seluruh umat Islam mahu berhadapan dengan masyarakat jika sekiranya sepupu baginda yang masih remaja digunakan sebagai perisai bagi melindungi dirinya sendiri. Ini sebenarnya merupakan satu kaedah pentarbiyahan Rasulullah S.A.W terhadap sahabat-sahabatnya supaya memberikan sepenuh keyakinan dan sentiasa bertawakkal kepada Allah. Sahabat-sahabat dididik supaya yakin bahawa jika Allah yang memberikan perintah maka Allah jugalah yang akan memastikan kejayaannya. Tugas kita hanyalah melakukan perancangan bagi melaksanakan arahan-arahan Allah. Maka kita pada hari ini perlu meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap melaksanakan segala titah perintah Allah di samping berusaha mencari jalan bagi mengatasi kelemahan dan masalah yang di hadapi. Kita tidak boleh lagi terus dalam keadaan mencari alasan dan menzahirkan masalah-masalah yang akan dihadapi jika kita mahu melaksanakannya. Kita mesti yakin bahawa segala titah perintah Allah adalah yang terbaik bagi kita dan segala masalah yang dihadapi pasti mampu diatasi.
Sidang Jumaat Sekalian,
Rasulullah S.A.W melakukan Hijrah dengan meninggalkan Mekah al-Mukarramah tanah airnya sendiri menuju ke Madinatul Munarwarrah, tempat asing yang amat jauh dari tanah tumpah darahnya. Adakah ini bermakna Rasulullah S.A.W tidak cinta dan setia kepada negaranya. Sejarah menunjukkan bahawa Mekah adalah sebuah negara yang cukup maju dari segi ekonomi dan perniagaannya. Mekah juga amat terkenal dengan kesenian dan kebudayaannya. Tetapi Mekah amat tandus dengan kehidupan beragama dan peradaban sosialnya. Mekah bukanlah tempat yang sesuai bagi mengembangkan, apatah lagi melaksanakan undang-undang Islam. Ini menyebabkan Rasulullah S.A.W terpaksa meninggalkan Mekah al-Mukarramah, tanah air yang amat disayanginya bagi melaksanakan pemerintahan Islam. Jika sekadar untuk melakukan ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya maka tidak ada keperluan bagi melaksanakan Hijrah kerana semuanya boleh dilaksanakan di Mekah al-Mukarramah. Oleh kerana Madinah Al-Munawarrah mempunyai potensi bagi menerima pemerintahan Islam maka Madinah dipilih sebagai tapak bagi penubuhan Negara Islam yang pertama.
Sidang Jumaat Sekalian,
Rasulullah S.A.W pernah ditawarkan sebagai pemimpin di Mekah dengan syarat baginda meninggalkan agama. Baginda dengan tegas menolak tawaran tersebut kerana tidak ada maknanya mentadbir dunia jika terpaksa meninggalkan agama. Bagaimana baginda mahu meninggalkan agama sedangkan tanggungjawab utama manusia adalah menjaga agama. Ini menunjukkan kepada kita bahawa kejayaan kepada agama adalah merupaka keutamaan yang tertinggi. Kecintaan kita kepada perkara lain seperti kecintaan kepada negara, kecintaan kepada kuasa, kecintaan kepada keluarga, kecintaan kepada harta dan sebagainya wajib kita korbankan jika bertentangan dengan kehendak agama. Setelah kehendak agama diikuti barulah kita boleh kembali kepada apa yang kita cintai. Ini dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W yang akhirnya kembali semula ke Mekah al-Mukarramah pada pembukaan kota Mekah untuk melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam di Mekah dan menghancurkan jahiliah yang menghalang perlaksanaan Islam di muka bumi.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Hijrah tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa jihad, semangat dan kecintaan terhadap Allah. Apa maknanya kita menyambut sambutan Maal Hijrah jika di hari-hari yang mendatang hanya menjauhkan kita dengan Islam. Apakah ertinya kita menghayati sambutan Maal Hijrah. jika jihad masih disalah anggap dan menjadi satu istilah yang amat menakutkan. Apalah gunanya sambutan Maal Hijrah yang kita sambut jika perubahan yang ada hanyalah menunjukkan umat Islam bertambah lemah dan menjadi mangsa penindasan barat malah terus dihina dan dicerca dengan tuduhan sebagai pengganas dan pemecah-belah.
Sidang Jumaat Sekalian,
Hijrah mengajar kita bagaimana usaha Rasulullah S.A.W membentuk negara dan membina umat. Matlamat Hijrah adalah satu, iaitu mengambil teraju pemerintahan bagi membolehkan perlaksanaan syariat. Tetapi ini tidak akan berjaya jika umat Islam berpecah-belah. Rasulullah S.A.W telah menyatukan antara puak Aus dan Khazraj serta mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Intipati Hijrah ini terangkum dalam surah Al-Imran ayat 102 :
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاََ تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءَايَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Ertinya :
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam) dan jangan kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (di sebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat pertunjuk.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.