Bersatu Dan Berpecah

اَلْحَمْدُ لِلَّه, اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ هَدَانَا لِهَاذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِىَ لَوْ لاَ اَنْ هَدَانَا الله.  اَشْـهَـدُ اَنْ لاَ اِلـَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَـرِيْك َلـَه, وَاَشْـهَـدُ اَنَّ مُحَمـَّداً عَبـْدُهُ وَرَسُـوْلـُه, اَللَّهُـمَّ صَلِّ وَسَلمِّ وَبَارِكْ عَلىَ اِمَامِ اْلمتُـَّقِيْن, وَقَائِـدِ الدُّعَاةِ اْلمُجَاهِدِيْن, حَبِيْبِنـَا وَشَفِيْعِنَا مُحَمَّدٍ رَسُـوْلِ اللهِ  وَعَلىَ اَلِـه ِ وَصَحْـبِهِ وَمَنْ  تَبـِعـَهُ اِلَى  يَـوْمِ الـدِّيْن .

امـابعـد.  فَيـَا عِبَادَالله اتـَّقـُوْا الله وَاُوْصِيـْكُمْ  وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله  فَقَدْ فَازَ اْلمُتَّقُوْن. وَتَزَوَّدُوْا فَاِنَّ خَيْرَ الزَّادِ  التَّقْوَى.

Muslimin sidang Jumaat Sekelian,

     Rata-rata kedengaran suara sana-sini mengajak umat Islam agar bersatu padu serta meninggalkan perpecahan atas alasan untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah diukir di zaman silam. Namun sehingga ke saat ini ummat Islam masih belum bersatu. Persoalannya kenapakah penyatuan ummat ini masih belum menjadi suatu realiti dan  kenyataan?. Kenapakah berpecahan pula yang sering terjadi dan menjadi kenyataan, sedangkan ia adalah satu jenayah yang dimurkai Allah s.w.t. dan Rasulnya. Allah memberi peringatan dalam Al Quran seperti Firmannya dalam surah Al Baqarah ayat 251.

فَهَزَمُوهُمْ بِإِذْنِ اللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُدُ جَالُوتَ وَءَاتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمَّا يَشَاءُ وَلَوْلاَ دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الأَرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ – البقرة : 251

 “Oleh sebab itu mereka mampu mengalahkan Jalut dengan izin Allah. Dan Nabi Daud membunuh Jalut. Dan sesudah itu Allah memberikan kepada Nabi Daud kekuasaan, hikmah dan mengajarkannya apa yang dikehendakinya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia yang ingkar dan derhaka dengan setengahnya yang lain yang beriman dan setia nescaya rosak binasalah bumi ini tetapi Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada sekelian Alam”

 

Firman Allah lagi dalam surah Al An ‘am ayat 116,

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصُونَ – الأنعام : 116

 “Sekiranya kamu patuh dan taat kepada  kebanyakkan daripada manusia di atas muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Tiadalah yang mereka turut kecuali sangkaan mereka semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta ”.

 

Saudara kaum muslimin sekelian,

      Sebenarnya kebenaran dan keadilan selama-lamanya tidak pernah bersatu dengan kebatilan dan kezaliman. Ianya sebagaimana kita melihat golongan kufur, munafiq dan fasiq terus dengan kekufuran, kemunafiqan dan kefasiqan mereka, penjenayah terus menerus melakukan jenayah mereka, manakala golongan Islam dan beriman terus beramal dan berjuang untuk menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, maka sudah tentu  kedua-duanya tidak akan  bersatu selama-lamanya, melainkan satu golongan berpisah dari golongan mereka dan menggabungkan diri dengan golongan yang satu lagi demi menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

 

Saudara kaum muslimin,

      Seorang anak selama-lamanya tidak akan bersetuju dan akan bangkit menentang bapanya seandai bapanya menzaliminya dan tidak berlaku adil terhadapnya, walaupun menyedari bapanyalah yang selama ini memberi makan-minum, menyediakan pakaian dan pendidikan kepadanya. Dalam dunia kehakiman pula, kita melihat Pendakwa jarang sekali menyetujui hujjah-hujjah peguam bela bahkan mempertahankan pendirian mereka meskipun kadang-kadang menyedari bahawa kebenaran berada di pihak peguambela. Maka sudah tentu mereka tidak boleh bersatu sehinggalah keputusan diputuskan.

 

Saudara kaum muslimin,

          Ketahuilah orang-orang yang berada di atas landasan kebenaran akan terus menerus berjuang mempertahankan yang hak dan  mereka tidak akan tunduk dan berkompromi dengan kebatilan. Golongan ini memang ada di mana-mana sebagaimana baginda Rasulullah s.a.w. menegaskan akan ada satu golongan atau puak yang memperjuangkan kebenaran di akhir zaman sebagaimana hadis:

لاَ تَزَالُوْنَ  طَائِفَةٌ  مِنْ  أُمَّتِيْ  ظَاهِرِيْنَ  بِالْحَقِّ

Saudara  kaum muslimim sekelian,

          Marilah kita menggunakan pendekatan yang cukup mudah bagi merungkaikan perpecahan yang timbul ini dengan mengambil kaedah untuk mendapatkan pati ( isi ) maka perlulah dipecahkan kulit atau kepalanya seperti kata- kata pepatah:

Untuk mendapatkan sagu perlulah dipecahkan ruyungnya”

Maka perlu sebahagian kita berpecah dan memisahkan dirinya dari kumpulan, anutan dan kepercayaan mereka untuk menggabungkan diri dengan mereka yang sedang berada memperjuangkan kebenaran.

 

Saudara sidang Jumaat sekelian,

         Perpecahan di sini bukanlah bermakna musnah tetapi ia membawa pengertian dan simbolik yang penuh bererti kepada orang-orang yang berakal dan dapat memahami hikmah yang tersembunyi dan nyata itu. Perkara ini hanya dapat di sedari oleh orang-orang yang cerdik dan meletakkan wahyu dan akal di tempatnya yang sebenar. Bagi mereka tidaklah sukar untuk menyelesaikan konflik perpecahan yang timbul kerana jalan penyelesaian sememangnya telah terpampang di hadapan mereka. Untuk itu marilah kita menyelesaikan pertikaian ini dari mana-mana sudut sekalipun misalnya:

 

§        Bersatu dalam akidah yang satu yang mentauhidkan Allah s.w.t dan para rasulnya, dalam erti kata sebenar melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya di samping mendaulatkan hukumnya termasuklah menegakkan maaruf dan mencegah kemungkaran. Sebarang bentuk penyatuan selain daripada akidah yang sebenar hendaklah dipecahkan.

 

§        Kita bersatu dalam membina syariat Islam yang sebenar yang telah ditunjukkan oleh Rasul-rasul dan nabi-nabi serta kita menolak sebarang syariat yang menyeleweng dari landasan Islam yang sebenar.

 

§        Bersatu dari sudut akhlak yang dipimpin oleh baginda Rasulullah s.a.w. dan kita menolak mana-mana akhlak yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w. termasuk budaya atau cara hidup barat yang menyesatkan ummat Islam.

 

§        Bersatu dari sudut pemikiran Islam. Kita menolak mana-mana fahaman atau pemikiran yang tidak Islamik, termasuk fahaman-fahaman seperti Nasionalisme, Kapitalisme, Sosialisme, prakmatisme,  Liberalisme dan lain-lain.

 

§      Besatu dari segi tindakan yang diertikan dalam wehdatul jamaah. Iaitu beriltizam dengan satu jemaah Islam yang membawa dasar Islam yang syumul. Kita menolak mana-mana kumpulan jemaah yang tidak berlandaskan ciri-ciri ahli sunnah wal jamaah.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.        

 

Hosted by www.Geocities.ws

1