خطبـة جمعـة

ADAB- ADAB BERSELISIH PENDAPAT

اَلْحَمْدُ  للهِ  الَّذِيْ أَنْعَمَ عَلَيْنَا بِنِعْمَةِ  اْلاِيْمَانِ  وَاْلاِسْلاَمِ

اَشْهَدُ اَنْ  لا اله الا الله  وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

اَللَّهُمَّ  فَصَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَزُخْرِنَا وَمَوْلاَنَا مُحَمَّدٍ ابْنِ عَبْدِاللهِ وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ اَجْمَعِيْنَ.

اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ  اللهِ اِتَّقُوْا  الله َ اُوْصِيْكُم وَنَفْسِيْ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (البقرة : 213)

Ertinya :

“Pada mulanya manusia itu ialah ummat yang satu (menurut Agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutus Nabi-Nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga), dan pemberi amaran  (kepada orang–orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama-sama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang mengandungi keterangan yang benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan tidaklah mereka yang berselisih melainkan orang yang diberi kepada mereka Kitab Suci, sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas. Mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama mereka. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka dengan izin Allah. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya ke jalan yang lurus.  ”- Al-Baqarah : 213

 

Dahulu dalam lingkungan yang pertama, manusia merupakan satu ummat. Mereka hidup di atas satu agama dan satu kepercayaan serta satu kefahaman sahaja. Kemudian zaman itu pun  berlalu. Bilangan manusia telah berkembang menjadi ramai dan berpecah di merata-rata tempat. Di sini lah bermula lahirnya bakat-bakat kebolehan yang berbagai-bagai, minat dan cita-cita sehinggalah kepada melahirkan kepelbagaian fahaman dan pendapat serta pertikaian mazhab malah ia juga boleh membawa perpecahan yang sangat buruk, selain daripada berlakunya ketidakadilan, kezoliman, penipuan dan sebagainya. Perpecahan juga boleh terjadi dengan sebab- sebab perbezaan pendapat tadi.

 

Saudara kaum muslimin,

Di mimbar ini ingin dijelaskan satu prinsip umum bahawa tidak semua perpecahan itu tidak baik dan tidak semua perpaduan itu baik. Perpecahan untuk menentang kebatilan adalah dituntut manakala perpaduan untuk menegakkan kebatilan adalah dilarang. Di sudut yang lain, perbuatan sengaja mencari  perpecahan dengan sebab yang kecil atau sebab perbezaan  fahaman dan pendapat adalah suatu hal yang dibenci oleh Islam. Dalam Islam, perbezaan pendapat adalah suatu yang normal, sihat, serta perlu bagi mengatasi berbagai masalah dan menyelesaikan isu-isu dalam lingkungan di mana fikiran dan ijtihad manusia diperlukan sehinggalah sabda Rasulullah  s. a. w. :

                                                    اِخْتلاَفُ  أُمَّتِيْ  رَحْمَةٌ

“Perbezaan pendapat di kalangan ummatku adalah rahmat”

 

Walau bagaimanapun  perbezaan  dalam perkara-perkara yang sabit dengan Nas secara Qat’i mengenainya adalah ditegah oleh Syarak sepertimana hukum-hukum yang berkaitan dengan jenayah Syar’ie seperti Qisas, Hudud, hukum-hukum ibadah dan seumpamanya yang sabit hukumnya dalam Al- Quran.

Dengan sebab itu Allah menyebutkan kepada kita bahawasanya ia menurunkan bersama-sama Nabi itu kitab-kitab suci yang mengandungi ajaran yang benar untuk menjalankan hukum  di antara manusia tentang apa yang mereka perselisihkan itu. Penjelasan kitab ini bahawa ajaran yang benar” adalah simbolik kepada “hakim yang adil”.  Hakim yang adil adalah simbol  yang amat  penting untuk memisahkan asas-asas agama dari bidaah-bidaah yang dimasukkan oleh manusia ke dalam urusan agama.  Misalnya di dalam sejarah, telah terjadi suatu penyelewengan yang terus berkembang subur atas nama Islam seperti amalan bidaah, khurafat dan lain-lain sedangkan Islam tidak ada kena mengena dengan amalan tersebut walaupun ia terus menerus berlaku dan dihayati pula oleh orang ramai. Sebenarnya sesuatu yang diamal dan dihayati oleh orang ramai tidaklah semestinya menjadi hukum Islam.

 

Saudara  kaum muslimin sekelian,

Perbezaan pendapat bukanlah perkara baru, tetapi ia sudah wujud semenjak dari zaman sahabat, zaman tabi’in sepertimana

berlakunya perbezaan mazhab-mazhab dalam Islam termasuklah zaman empat mazhab terkemuka sehinggalah ke hari ini.

Kesemua aliran mazhab seperti mazhab Hanafi, Syafei, Maliki, Hambali dan Daud Zohiri  itu walaupun  mereka memiliki

pendapat-pendapat yang berbeza dalam masalah furu’ tetapi  perbezaan pendapat tadi tidak pula sampai berlaku perpecahan

yang buruk sebagaimana tragedi yang ada pada hari ini. Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam sabdanya:

لاَ تَجْتَمِعُ  أُمَّتِيْ  عَلَى  الضَّلاَلَةِ

Tidak akan sepakat ummatku atas perkara yang sesat ( dalam Agamanya )

 

Saudara kaum muslimin,

Bagi mempastikan bahawa perbezaan pendapat antara ummat tidak membawa kepada perpecahan yang buruk maka perlulah diingat perbahasan mengenai perkara khilafiah hendaklah berlaku dalam suasana baik dan harmoni serta memelihara dan menjaga adab masing-masing. Di antara adab yang perlu diperlihara ialah:

 

1.     Meraikan pandangan orang lain walaupun tidak sehaluan dan sealiran dengan pandangan kita. Sebagai contoh, kita ambil dari peristiwa di zaman Imam Syafei, di mana pernah satu ketika beliau berkunjung ke Madinah lalu dijemput untuk menjadi imam sembahyang subuh oleh penduduk di situ. Dalam sembahyangnya, beliau tidak membaca doa Qunut. Sesudah sembahyang pengikutnya bertanya kenapakah beliau tidak berqunut lalu beliau menjawab sebagai menghormati budaya kaum di sini.

2.     Perbezaan tersebut hendaklah dalam skop lingkungan yang dibenarkan oleh Islam. Ia tentunya dalam masalah furu’ seperti hukum membaca doa qunut, talqin, tahlil dan lain- lain

3.     Bersedia menerima pandangan yang betul dengan jujur dan adil, tanpa ada rasa prejudis  dan prasangka buruk

4.     Perbezaan yang tidak membawa kepada perbalahan dan perpecahan dengan sebab fanatik dan taksub

5.     Tidak mudah melebel seseorang dengan lebel-lebel tertentu dengan tujuan merendah-rendahkan pandangan mereka seperti tuduhan sesat, wahabiah,  kaum muda  dan seumpamanya.

6        Menggunakan perkataan-perkataan baik yang dapat memberi keyakinan dan kepercayaan ketika berhujjah  sebagaimana  firman Allah dalam surah Al- Nahl ayat 135:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ (النحل: 125)

 “Serulah ke jalan tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmah bijksana dan nasihat pengajaran yang baik, serta berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik”

 

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Terkadang, golongan yang menyampaikan mesej kebenaran, oleh kerana mereka menggunakan pendekatan yang tidak tersusun, tidak berdisiplin dan tidak berhikmah menyebabkan perjuangan dan seruannya ditolak. Sebaliknya berlaku pula, di mana golongan yang salah atau sesat, tetapi oleh kerana pendekatan yang digunakannya secara tersusun, rapi dan teliti, maka pandangan dan perjuangan golongan itu dilihat sebagai indah dan baik serta diterima oleh manusia walaupun pada hakikatnya pandangan tersebut menyeleweng dari landasan sebenar. Seorang sahabat yang terkemuka iatu Saidina Umar r.a. berkata:

اَلْحَقُّ  بِلاَ  نِظَامٍ  يَغْلِبُهُ  الْبَاطِلُ  بِالنِّظَامِ

Perjuangan untuk menegakkan kebenaran tanpa  sistem  akan dapat  dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun rapi.

Dalam dunia ini juga kita melihat bagaimana golongan penyesat berjaya mempertahankan kesesatan mereka apabila kesesatan itu didokong dengan bersistem dan teratur,  di samping mereka mengambil kesempatan dari kelemahan lawan untuk mempertahankan kebatilannya, sehingga manusia melihat yang benar itu batil dan batil itu benar, yang amanah dikatakan khianat dan khianat pula dikatakan amanah. Sabda Rasulullah.s.a.w.  lagi dari riwayat Abu Hurairah r.a katanya:

سَيَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ  يُصَدَّقُ فِيْهَا اْلكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيْهَا الصَّادِقُ وَيُخَوَّنُ فِيْهَا اْلأَمِيْنَ  وَيُؤْتَمَنُ فِيْهَا اْلخَائِنُ اَوْ كَمَا قَالَ.

“Daripada Abu Hurairah r. a. bahawasanya Rasulullah s. a. w. bersabda; akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus ( kemarau panjang )  dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar pula dikatakan dusta”.

 

Untuk itu  saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Seperti yang dinyatakan bahawa fanatik dan taasub adalah tidak sesuai dalam adab khilafiah. Oleh itu golongan yang hendak mencari sesuatu kebenaran sepatutnya tidak melihat siapakah yang berkata dan bagaimana ia disampaikan tetapi  lihatlah pada apa yang dikatakannya sebagaimana kata- kata hikmah Saidina Ali  r. a.

اُنْظُرْ مَاذَا قَالَ وَلاَ تَنْظُرْ مَنْ قَالَ

Mudah- mudahan sedikit sebanyak dari penjelasan yang dapat diberikan dalam mimbar khutbah pada kali ini dapat memberi manfaat kepada diri kita bersama, khususnya untuk mencari jalan keluar dari kemelut perpecahan yang hanya merugikan kebenaran Islam, sebaliknya menguntungkan kebatilan musuh

 بَـارَكَ اللَّـهُ لِى وَلـَكُمْ فِى الْـقـُرْأَنِ الْـعَـظِـيْـمِ وَنـَفـَعَـنِى وَاِيـَّاكُمْ بـِاْلاَيـَاتِ وَالـذِّكـْـرِ الْـحَـكِـيْـمِ, وَتـَقـَبَّـلَ مِـنِّى وَمِـنـْكُمْ تِـلاَوَتـَهُ اِنـَّهُ هُـوَ الـسَّـمِيْـعُ الْـعَـلـِيْمُ. اَقـُوْلُ قـَوْلِى هَـذَا وَاَسْـتَـغْـفِـرُ اللَّـهَ الْـعَـظِـيْـمَ لِى وَلـَكُمْ وَلِـسـَائِـرِ الْـمُـسْـلِـمِـيْـنَ وَالْـمُـسْـلِـمَـاتِ وَالْـمُـوْءمـِنِـيْنَ وَالْـمُـوْءمِنـَاتِ فـَاسْـتـَغـْفـِرُوْهُ اِنـَّهُ هُـوَ الْـغَـفـُوْرُ الـرَّحِـيْـمُ.

 

Disediakan Oleh :

 Imam Mohd Ridzuan Zaidin

 

 

                     

Hosted by www.Geocities.ws

1