خطبة جمعة

PERLAKSANAAN  UNDANG-UNDANG ISLAM MENJAMIN KESEJAHTERAAN UMMAH

 

الحمد لله الَّذِيْ هَدَانَا لِهذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْ لاَ أَنْ هَدَانَا الله, أَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى محمد وَعَلَى الِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِيْنَ اِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

أََمَّا بَعْدُ, يَا اَيُّهَا الَّذِيْنَ امَنُوْا اتَّقُوْا الله حَقَّ تُقَاتِهِ , وَلاَ تَمُوْتُنَّ اِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

          Marilah kita berazam bersungguh-sungguh untuk meningkatkan taqwa kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadat dan menjauhkan sama sekali laranganNya. Hanya dengan taqwa sahajalah yang akan menyelamatkan kehidupan kita di dunia dan akhirat.

    Suatu perkara yang menjadi perbincangan umat Islam kini ialah berkenaan kaedah perlaksanaan undang-undang Syariah dalam masyarakat. Perkara ini perlu diperjelaskan kerana dalam keghairahan membincang dan menyebarkannya mungkin seorang itu rosak Akidah Islamiahnya, kerana perkara yang membolehkan seorang itu rosak Aqidah Islamiahnya ada tiga : iaitu kerana lidah atau pertuturan yang bercanggah dengan syarak, perbuatan mensyirikkan Allah dan iktikad atau kepercayaan yang salah terhadap syariat Allah.

 Sidang Jumaat Sekalian,

          Marilah kita merenung sejenak kepada pesanan Rasulullah S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Thobroni dalam kitabnya al-Kabir dengan suatu sanad yang baik berbunyi dari Ibnu Abas R.A katanya S.A.W bersabda :

 لَحَدٌّ يُقَامُ فِى اْلأَرْضِ أَحَبَّ اِلى أَهْلِهَا مِنْ أَنْ يُمْطِرُوْا أَرْبَعِيْنَ صَبَاحًا

Ertinya :

Suatu hukuman hudud yang dilaksanakan di bumi dengan haknya, lebih disukai dari hujan empat puluh pagi.

 

          Di dalam hadis tersebut Rasulullah S.A.W telah meninggalkan kepada kita suatu wasiat, pesanan dan nasihat yang sangat penting dan wajib diamalkan oleh umat Islam untuk menegakkan masyarakat bersih, bukan sahaja bersih tubuh badan, pakaiannya dan perkara-perkara yang lahir. Bukan sahaja bersih rumahnya, lorong-lorong dan tempat tinggalnya tetapi yang lebih penting daripada itu ialah bersih akhlaknya dan peribadinya. Perangai dan akahlaknya mestilah dibersihkan daripada mungkar dan maksiat serta perkara-perkara yang berdosa. Di antara cara untuk membersihkan masyarakat daripada maksiat itu ialah dengan membenteras maksiat dan kemungkaran itu dengan hukum Allah, di antaranya ialah dengan Hukum Hudud, hukuman ciptaan Allah yang Maha Mengetahui. Dialah yang mencipta manusia, menjadikan manusia dan segala perkara yang berhubung dengan manusia, maka Dialah yang Maha Mengetahui cara untuk membersihkan kehidupan manusia daripada kekotoran yang boleh menjejaskan diri mereka, jasad mereka dan roh mereka. Dialah yang lebih mengetahui tentang kaedah membersihkan kehidupan manusia supaya tidak dinodai oleh perkara yang membawa akibat buruk di dunia dan akhirat.

          Oleh itu Allah menurunkan hukum-hukum kepada manusia, menerangkan perkara yang baik dan perkara yang buruk. perkara yang baik dihalalkan, perkara yang buruk diharamkan. Perkara yang baik di namakan perkara yang makruf dan perkara yang buruk dinamakan mungkar.

 Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

          Allah S.W.T bukan sahaja meletakkan garis panduan yang menjelaskan sejelas-jelasnya perkara-perkara yang baik dan perkara-perkara yang buruk, di dalam senarai halal dan haram, di dalam senarai taat dan maksiat, di dalam senarai perkara-perkara yang diwajibkan, yang sunat, yang makruh, yang diharamkan dan yang diharuskan. Di sanalah Allah S.W.T memerintahkan manusia supaya menyuruh perkara yang baik dan mencegah kemungkaran, samada terhadap umat, individu, secara masyarakat dan negara. Di dalam al-Quran terlalu banyak ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan supaya umat Islam menegakkan perkara yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar. Begitu juga dengan hadis-hadis Rasulullah S.A.W . Allah S.W.T meletakkan sifat umat yang berjaya yang mendapat kemenangan di dunia dan akhirat apabila umat itu menjalankan tugas amal makruf dan nahi mungkar. Allah S.W.T berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 104 : 

أعوذبالله من الشيطان الرجيم

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ(104)

Ertinya :

Dan hendaklah ada di kalangan kamu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyeru yang makruf dan mencegah kemungkaran, merekalah orang-orang yang beruntung.

 

Sidang Jumaat Sekalian,

          Menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran itu hendaklah dengan setegas-tegasnya mengikut kedudukan manusia, martabat mereka dan kemampuan mereka sebagaimana yang dihuraikan oleh Rasulullah S.A.W dalam sabda baginda :

مَنْ رَأى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَاِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ            رواه مسلم 

Ertinya :

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, jika tidak mampu dengan lidahnya, jika tidak mampu dengan hatinya dan demikian adalah selemah-lemah iman.

           Para ulamak mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan tangan ialah menguatkuasakan hukum Allah S.W.T, Undang-undang Allah S.W.T iaitu dengan Hudud terhadap penjenayah zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, merompak ,riddah dan murtad. Hukum Qisas terhadap penjenayah bunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seseorang seperti mencederakan mata, hidung atau telinga dan hukum takzir terhadap penjenayah kesalahan Hudud dan Qisas yang tidak cukup bukti seperti khalwat, perbuatan-perbuatan yang boleh menganggu ketenteraman awam seperti tipu, judi, rasuah, mengedar dadah, salah guna dadah dan lain-lain.

          Menegakkan hukum Allah S.W.T adalah menjadi kewajipan yang besar, tujuannya untuk melahirkan masyarakat Islam yang menjadi contoh kepada kepada seluruh manusia. Kita tidak akan dapat menunaikan kewajipan menyuruh perkara yang baik dan mencegah kemungkaran. Oleh itu kita mestilah bersungguh-sungguh untuk menegakkan dan mempastikan Hukum-hukum Allah dapat dilaksanakan dengan sempurnanya.. Kerana apabila kita tidak menegakkan Hukum Allah S.W.T bermakna kita menggalakkan berlakunya maksiat yang mencemarkan masyarakat Islam. Setiap orang Islam wajiblah yakin kepada perintah Allah S.W.T itu, yakin kepada Hukum Allah S.W.T, Hukum yang paling adil, yang dapat menyelesaikan masalah masyarakat. Orang yang tidak yakin kepada hukum Allah S.W.T bermakna tidak yakin kepada Allah S.W.T dan tidak percaya kepadanya.

          Umat Islam hendaklah menyedari dan memahami hakikat perkara ini sekiranya mereka mahu menegakkan keperibadian mulia sebagai umat Islam, umat yang bersih, umat yang selamat di dunia dan akhirat. Firman Allah S.W.T  dalam Surah Al-Ahzab ayat 36 : 

أعوذبالله من الشيطان الرجيم

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَللاً مُبِينًا

Ertinya :

Dan tidak patut seseorang yang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah S.W.T dan Rasulnya memutuskan sesuatu perkara di dalam urusan mereka lalu mereka membuat pilihan yang lain daripada diputuskan oleh Allah S.W.T dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.

 

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

 

 Disediakan oleh

A.F Al-Ustaz Mustafa Bin Haji Jaafar

Pegawai Tadbir Agama

Daerah Batu Gajah

Hosted by www.Geocities.ws

1