خطبة جمعة

 

PENENTANGAN TERHADAP KEKEJAMAN ISRAEL

 اَلْحَمْدُ ِلله الَّذِيْ فَرَضَ الْجِهَادَ عَلَى الْمُسْلِمِيْنَ وَأَعْطَاهُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا عَظِيْمًا دَرَجَاتٍ مِنْهُ وَمَغْفِرَةً وَرَحْمَةً, وَكَانَ الله غَفُوْرًا رَّحِيْمًا, اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 

Sidang Jumaat Sekalian,

          Ramai dari kalangan kita telah melupai bahawa tarikh 15hb. Januari telah diisytiharkan sebagai hari perpaduan umat Islam menentang kekejaman Israel. Tujuan kita memperingati hari tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada umat Islam seluruh dunia supaya menatap kembali peristiwa pahit yang dialami oleh negara dan rakyat Palestin dan mengambil pengajaran serta iktibar daripada peristiwa tersebut, di mana sebuah Negara Islam telah terlucut kekuasaannya dan dirampas oleh orang yahudi laknatullah dengan menubuhkan kerajaan Israil akibat dari perpecahan umat Islam.

 Tuan-Tuan Kaum Muslimin Yang Dirahmati Allah,

          Perlunya kita mengenangkan kembali sejarah ini bukan semata-mata untuk mengutuk keganasan Israel dan penyokong-penyokongnya terhadap rakyat Palestin, tetapi yang perlu kita insafi ialah masjid suci Baitul Maqdis yang terletak di bumi Palestin yang menjadi jantung hati umat Islam sedunia ini telah dirampas dan jatuh ke tangan yahudi terkutuk itu. Masjid Baitul Maqdis yang lebih masyhur di dalam al-Quran dengan nama Masjid Aqsa adalah kiblat umat Islam pada tahun yang pertama hijrah dan tanah haram yang ketiga setelah tanah haram Makkatul Al-Mukarramah dan Madinatul Al-Munawarrah dan ia merupakan tempat persinggahan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W di dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Kini Masjidil Aqsa dan bumi Palestin telah ternoda kesuciannya, sedangkan setiap umat Islam seluruh dunia adalah bertanggungjawab mempertahankan setiap inci tanah tersebut daripada sebarang pencerobohan. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini, tanah suci yang disanjung-sanjung dan diagung-agungkan itu telah dicerobohi semula dengan penuh kekejaman oleh rejim Yahudi Israel yang terkutuk. Maka sekali lagi kita umat Islam seluruh dunia berkewajipan untuk berjihad dengan harta benda, jiwa dan ilmu pengetahuan dengan menggunakan seluruh kepandaian yang ada untuk mengembalikan kesucian dan kebebasan terhadap Tanah Haram Bailtul Maqdis itu dari cengkaman orang-orang Yahudi. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Saf ayat 10-12 :

 

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (10)  تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (11)   يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْ خِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (12)

 Ertinya :

Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih, iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan jiwamu, itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, nescaya Allah akam mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adnin, itulah keuntungan yang besar.

 Saudara Sidang Jumaat Sekalian,

          Dari siri perjuangan Rasulullah S.A.W dan para sahabat, pastikan kita dapat mengambil banyak contoh pengajaran tentang betapa tingginya semangat jihad yang ditunjukkan oleh mereka dalam menghadapi musuh di antaranya, ketika sampai berita kepada Rasulullah S.A.W bahawa tentera Rom bersiap sedia untuk melancarkan serangan hebat ke atas tentera muslimin, kebetulan di waktu itu mereka sedang menghadapi kesulitan kerana kemarau panjang. Baginda Rasulullah S.A.W telah memberi perangsang dan galakan kepada para hartawan muslimin supaya membantu menyiapkan kelengkapan tentera. Ketika itu tampil Saidina Othman ibnu Affan menghulurkan seribu dinar dan 300 ekor unta lengkap dengan penunggangnya. Saidina Omar Al-Khattab menyerahkan separuh dari hartanya, manakala Saidina Abu Bakar pula mengorbankan semua hartanya sehinggakan Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya, wahai Abu Bakar adakah tidak kamu tinggalkan sesuatu untuk keluargamu. Katanya aku tinggalkan kepada mereka Allah dan Rasul, Berikutnya tampillah para sahabat lelaki dan perempuan berlumba-lumba menghulurkan harta benda mereka menurut kemampuan masing-masing. Begitulah semangat pengorbanan, semangat jihad yang dibuktikan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W di dalam menghadapi musuh. Oleh itu kita sebagai umat Islam yang merasa bertanggungjawab terhadap pencabulan kehormatan Islam yang dilakukan oleh kaum yahudi ini haruslah tampil untuk menghulurkan bantuan dan sokongan terutamanya berupa wang ringgit kepada rakyat Palestin dalam menghadapi kekejaman dan keganasan kaum Yahudi laknatullah. Di samping itu marilah kita membanyakkan doa semoga Allah mengurniakan ketenangan jiwa dan keteguhan iman kepada mereka yang sedang berjihad menghadapi serangan Yahudi terkutuk dan berjaya menewaskan mereka dengan bantuan dan pertolongan tentera Allah dari langit yang tidak dapat dilihat dari mata.

 Tuan-Tuan Yang Berbahagia,

          Kita sebagai umat Islam di negara ini harus insaf dan menjadikan peristiwa ini sebagai pengajaran yang besar, bahawa sebenarnya perpecahan di kalangan kita sesama Islam terutamanya yang berpunca dari kejahilan terhadap akidah Islamiah, hasad dengki, fitnah memfitnah, hina menghina dan propaganda-propaganda yang bertujuan menimbulkan kebencian sesama umat Islam adalah sesuatu yang amat merugikan, tidak menguntungkan kita umat Islam, tetapi lebih banyak memberi keuntungan kepada musuh-musuh Islam. Ajaran Islam amat mencela sifat dan perbuatan tersebut. Sepatutnya penyakit-penyakit seperti ini hendaklah dijauhi Perpecahan yang sedang kita alami sekarang ini hendaklah segera dicari jalan penyelesaiannya, supaya sebarang fitnah dapat dihapuskan dan diharapkan umat Islam khususnya di negara ini akan kembali menjadi satu umat yang bersatu padu dan menjadi semulia-mulia umat serta pemimpin terbaik kepada umat-umat yang lain. Oleh itu, marilah kita menyuluh diri mencari kesalahan sendiri dan segera membetulkannya. Kembalilah kepada menghayati dan mengamalkan ajaran Islam yang suci dan menjauhkan diri dari bahaya perpecahan dan sengketa yang akibatnya merugikan kita dan menguntungkan pihak musuh terutamanya orang-orang Yahudi dan Nasrani yang sentiasa menunggu saat perpecahan kita umat Islam.

 أعوذبالله من الشيطان الرجيم

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ(120)

 

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

  Disediakan oleh

A.F Al-Ustaz Haji Mustafa Jaafar

Pegawai Tadbir Agama

Daerah Batu Gajah

Hosted by www.Geocities.ws

1