خطبة جمعة
MENGEMBELENG USAHA PEMBANGUNAN WAKAF
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ يَوْمٌ لاَ بَيْعٌ فِيهِ وَلاَ خُلَّةٌ وَلاَ شَفَاعَةٌ وَالْكَافِرُونَ هُمُ الظَّالِمُونَ – البقرة (254)
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Saudara Sidang Jumaat Sekalian,
Khutbah hari ini akan membicarakan mengenai seruan kepada pembangunan wakaf sebagaimana yang disarankan oleh Islam.Firman Allah dalan surah Al-Baqarah ayat 261 :
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (261)
Maksudnya :
Bandingan mereka yang membelanjakan hartanya di jalan Allah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, setiap tangkai mengandungi seratus biji. Dan Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang di kehendakinya dan Allah maha luas rahmatnya lagi maha mengetahui.
Berdasarkan kepada ayat di atas adalah jelas bahawa Allah menyeru hambanya melakukan kebajikan melalui harta-harta yang ada pada kita demi pembangunan ummah. Ia memberi ruang kepada semua individu untuk membuat kebajikan terrtentu dan digunakan bagi tujuan tertentu. Sesungguhnya tujuan murni ini akan memperolehi pahala yang besar di sisi Allah.
Wakaf dari segi bahasa bermaksud harta yang diwakafkan atau harta yang ditahan atau dihalang. Manakala dari segi syarak bermaksud tegahan daripada transaksi pada asal harta yang mana harta tersebut boleh diambil manfaat dari harta tersebut untuk tujuan kebajikan dari awal harta tersebut diwakafkan sehinggalah akhirnya. Wakaf juga dikenali sebagai sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan pahalanya dari masa ke semasa selagi ianya dapat dimanfaatkan. Ini dapat difahami melalui hadis Nabi :
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَيُّوبَ وَقُتَيْبَةُ يَعْنِي ابْنَ سَعِيدٍ وَابْنُ حُجْرٍ قَالُوا حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ هُوَ ابْنُ جَعْفَرٍ عَنْ الْعَلاَءِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الإِ نْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Ertinya :
Daripada Yahya bin Ayub dan Qutaibah iaitu Ibnu Said dan Ibnu Hujrin berkata meriwayatkan kepada kami oleh Ismail anak kepada Jaafar daripada A'la'i daripada bapanya daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda : Apabila mati manusia maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara : Sedekah jariah,ilmu yang dimanfaatkan dan anak-anak yang saleh yang mendoakannya.
Walau bagaimanapun wakaf mestilah dilakukan dengan tujuan kebajikan dan bukan atas dasar kerosakan dan maksiat. Wakaf adalah kepada Allah dan matlamat akhirnya bagi wakaf adalah bagi mendekatkan diri kepada Allah. Allah adalah pemilik sebenar alam dan seluruh harta kekayaan di dunia ini sedangkan manusia hanyalah pemegang amanah dan pentadbir sahaja. Manusia akan dipertanggung jawabkan bagi semua amanah ini. Manusia akan disoal dan diazabkan jika jurang dan khianat kerana tidak melaksanakan dan menyempurnakan amanah ini seperti yang dikehendaki oleh Allah. Dalam masa yang sama jika mereka berjaya menunaikan dan memelihara amanah ini manusia akan diberi ganjaran yang amat besar dari Allah dan akan hidup bahagia di dunia dan akhirat. Harta wakaf hendaklah dimanfaatkan oleh mereka yang diamanahkan dan segala penyalah gunaannya hendaklah disekat.
Sidang Jumaat Sekalian,
Menurut syarak rukun wakaf ada empat perkara :
1. Wakif iaitu orang yang mewakafkan harta.
2. Maukuf iaitu harta yang diwakafkan di mana harta yang sedia ada mempunyai manfaat dan kekal fizikalnya dalam tempoh yang lama seperti harta alih seumpama kereta, kitab, peralatan masjid, saham-saham dan sebagainya dan harta tak alih seperti tanah dan bangunan.
3. Maukuf alahi ialah penerima wakaf yang terdiri daripada orang atau badan yang boleh menikmati faedahnya daripada wakaf tersebut. Penerima wakaf tidak boleh terdiri daripada golongan yang memusuhi Islam.
4. Lafaz wakaf (sighah) iaitu samada secara lisan, tulisan dan isyarat yang menunjukkan maksud wakaf. Contohnya lafaz wakaf adalah seperti : Saya wakafkan rumah ini untuk tujuan kebajikan kerana Allah.
Sidang Jumaat Sekalian,.
Terdapat beberapa bentuk wakaf yang boleh dilakukan seperti berikut :
1. Wakaf Am iaitu mewakafkan harta bagi tujuan kebajikan Islam semata-mata tanpa ditentukan sebarang tujuan khusus.
2. Wakaf Khas iaitu mewakafkan harta bagi tujuan sesuatu kebajikan secara khusus seperti bagi tujuan masjid,surau,kubur dan sebagainya. Wakaf ini tidak boleh digunakan bagi tujuan selain yang diniatkan.
3. Wakaf Musytara' iaitu mewakafkan harta bagi tujuan kebajikan secara bersama oleh beberapa orang.
4. Wakaf Kaki iaitu mewakafkan harta bagi tujuan kebajikan dengan cara pengurusan wakaf membeli keseluruhan harta dan pewakaf membayar harga mengikut sukatan tertentu yang dikehendakinya.
Sidang Jumaat sekalian,
Setiap harta wakaf adalah dilarang daripada dijual, disedekah,diwarisi dihibah (diberi kepada orang lain). Ibadah wakaf menjanjikan pahala yang berterusan, meningkatkan syiar Islam dan mampu membangunkan taraf hidup umat Islam. Wakaf mendukung konsep takaful, kerjasama dan tolong menolong sesama Islam. Allah berfirman dalam surah al-Imran ayat 92 :
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Ertinya :
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai kebajikan dan kebajikan sebelum kamu mendermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan Allah maha mengetahui segala yang kamu nafkahkan.
Sidang Jumaat Sekalian,
Allah menyatakan bahawa kesempurnaan sedekah dan kebajikan yang kita lakukan adalah dengan cara kita membelanjakan apa yang kita sayangi dan kasihi. Ini dapat mengikis sifat bakhil dan kedekut yang ada dalam diri kita. Masyarakat hari ini sering mencari sesuatu yang sudah tidak mahu dipakai lagi atau pun sesutau yang sudah cacat dan rosak untuk disedekahkan.
Sidang Jumaat Sekalian,
Sejarah membuktikan keberkesanan wakaf sebagai pemangkin kemajuan umat Islam. Sebagai contoh universiti al-Azhar merupakan hasil wakaf yang paling berjaya sehingga kerajaan Mesir pernah berhutang dengannya bagi membiayai keperluan negara. Allah berfirman dalam surah al-Muzammil ayat 20 :
وَءَاخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الأَْرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَءَاخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاَةَ وَءَاتُوا الزَّكَاةَ وَأَقْرِضُوا اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا
Ertinya :
Dan yang lainnya mengembara di muka bumi kerana mengharapkan kurniaan Allah, sebahagian lainnya berperang di jalan Allah. Maka bacalah apa yang mudah daripada ayat-ayat Allah, berilah zakat dan berilah pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (wakaf).
Allah juga berfirman dalam surah al-Maidah ayat 12 :
لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلاَةَ وَءَاتَيْتُمُ الزَّكَاةَ وَءَامَنْتُمْ بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا لأَكَفِّرَنَّ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلأَدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأََنْهَارُ
Ertinya :
Sesungguhnya jika kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, kamu percaya kepada rasulku, kamu bantu mereka dan kamu beri pinjam mereka dengan pinjaman yang baik (wakaf) maka aku akan mengampunkan kejahatan-kejahatan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya.
Sidang Jumaat Sekalian,
Urusan wakaf di negeri ini diamanahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Masyarakat sering menuding jari membidas Majlis yang dikatakan gagal menggunakan kutipan zakat dan wakaf bagi membangunkan umat Islam. Namun haruslah diingat bahawa fungsi asal zakat dan wakaf bukanlah bagi memajukan umat. Ia hanya memberi kemudahan dan menjadi pelengkap kepada Sistem Kewangan Negara. Oleh itu Allah menetapkan asnaf tertentu yang layak menerimanya dan tidak digunakan bagi tujuan pelaburan yang sebenarnya menjadi tanggungjawab Perbendaharaan Negara. Namun usaha meningkatkan pengurusan wakaf dan membangunkan tanah-tanah wakaf sentiasa diteruskan walaupun kebanyakan tanahnya terlalu kecil dan kurang ekonomik bagi dibangunkan. Oleh yang demikian marilah kita merenung ke dalam diri kita apakah kita memilih yang terbaik bagi diwakafkan dan disedekahkan.
Sidang Jumaat Sekalian,
Marilah kita sama-sama membangunkan ekonomi umat Islam agar kita dapat menguasai kewangan dunia dan mengubah system ekonomi masa kini yang berasaskan riba yang dilaknat Allah. Sesungguhnya perjuangan kita masih belum selesai dan terlalu banyak onak dan duri yang perlu ditempuhi. Apa yang penting kita jangan menuding jari tetapi mulakanlah dengan diri sendiri.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Disediakan oleh
Mohamad Syahril Bin Zainol
Pegawai Baituilmal Khas
Daerah Hulu Perak