خطبة جمعة
MEMBINA TAMADDUN UMMAH
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ اَّلذِىْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّوْرِ, ثُمَّ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُوْنَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
ايها المسلمون, اتقوا الله اوصيكم واياى بتقوى الله.
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم.
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي اْلأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاَةَ وَءَاتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ سورة الحج اية (41)
Maksudnya :
Mereka yang kami mahu diberi kedudukan yang tinggi di muka bumi ini nescaya mereka mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran dan bagi Allah akibat segala urusan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kehendak ayat di atas mempunyai empat ciri, kiranya kita mahu duduk di tempat kemuliaan di muka bumi ini. Yang di maksudkan dengan kedudukan yang tinggi ertinya umat Islam adalah satu umat tempat rujukan umat-umat yang lain, demi untuk menyelesaikan masalah mereka. Umat Islam dijadikan sebagai pembimbing pada umat-umat lain. Umat Islam dijadikan contoh kepada umat-umat yang lain kerana pada umat Islam terdapat berbagai-bagai khazanah yang tidak ada pada mereka. Tetapi pada hari ini realitinya umat Islam yang lebih banyak merujuk kepada orang-orang kafir atau menadah tangan kepada mereka.
Ciri-ciri yang dimaksudkan adalah seperti berikut :
1. Perlaksanaan dan penghayatan sembahyang di dalam kehidupan seharian samada di dalam keluarga mahupun dalam masyarakat hendaklah diserlahkan di luar daripada sembahyang sebagai contohnya : Imam sebagai ketua, makmum sebagai orang-orang di bawah jagaannya. Imam mesti menunjukkan sikap yang adil kiranya mahu melambatkan sembahyangnya kerana menunggu makmum yang akan masuk kemudian. Imam tidak perlu membezakan makmum yang akan turut berjamaah bersama, samada ia berpangkat atau tidak kerana hendak melambatkan sembahyang itu. Inilah yang dikatakan keadilan. Sikap ini mestilah dihayati di luar daripada sembahyang terutamanya dalam melaksanakan kerjaya masing-masing.
2. Di dalam ibadat mengeluarkan zakat, ramai umat Islam tidak mampu melaksanakan ibadat ini kerana tahap ekonomi umat Islam terlalu rendah di sebabkan ekonomi kita bergantung kepada orang lain. Melalui ibadah ini bahawa kita perlu berusaha untuk mencapai ke tahap orang yang wajib mengeluarkan zakat bukan sahaja zakat fitrah bahkan zakat harta benda yang lain seperti zakat perniagaan, zakat haiwan ternakan dan sebagainya. Oleh itu kita sebagai orang Islam mesti mempunyai semangat untuk merealisasikan ibadah zakat ini, kita tidak mahu orang Islam hanya tukang membawa harta benda orang lain, atau tukang tunggu harta benda orang lain di gedung yang besar, yang paling menyedihkan umur sudah menjangkau tujuh puluh tahun masih lagi berpanas atau berembun menjadi pekerja orang lain di larut malam. Sepatutnya usia sebegini menumpukan perhatian terhadap keluarga dan peribadatan yang khusus. Oleh yang demikian kita mesti menyedarkan kepada generasi kini dan generasi yang akan datang supaya mereka mengikiskan hobi yang merugikan seperti asyik dengan hiburan, permainan-permainan yang melalaikan serta membazir wang ringgit. Mereka ini perlu diberi semangat agar tidak bergantung kepada orang lain dan percaya kepada diri sendiri.
3. Dalam soal menyeru kepada kebaikan, semua peringkat mestilah memainkan peranannya secara bersepadu, bukanlah satu satu pihak sahaja yang berperanan, manakala satu pihak menganjurkan kemaksiatan. Tiupan roh kebaikan perlulah dari peringkat kanak-kanak, jangan kita terlampau melebihkan nilai hiburan dan nilai permainan. Kiranya nilai ini diberi keutamaan, akibatnya bila kanak-kanak ini dewasa kelak sudah tentulah mereka asyik dengan hiburan dan permainan. Kita sebagai orang dewasa yang tinggal dalam satu kelompok masyarakat perlulah menjadi contoh terhadap anak-anak dan generasi-generasi muda dan mengamalkan nilai-nilai yang murni supaya budaya ingin mendalami ilmu pengetahuan menjadi budaya dalam masyarakat. Sekurang-kurangnya seminggu sekali budaya bergotong-royong dalam satu-satu pekerjaan dan amalan sembahyang berjamaah di setiap waktu. Program hiburan dan permainan yang mengasyikkan dan merugikan perlu dihindari, janganlah kita yang lebih dari generasi muda.
4. Jika dalam menyeru kepada kebaikan tadi perlu kepada bersepadu, maka dalam mencegah kemungkaran juga ianya perlu bersepadu di kalangan ibu-bapa, masyarakat, media massa dan sebagainya. Kita tidak mahu ada golongan yang menyeru kepada kebaikan, dalam masa yang sama ada golongan yang menyeru kepada kemungkaran.
Sidang Jumaat Sekalian,
Allah berfirman dalam surah al-A'raf ayat 96 :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى ءَامَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ(96)
Maksudnya :
Dan kalau sekiranya penghuni satu-satu kariah itu beriman kepada Allah nescaya Allah bukakan keberkatan ke atas mereka dari langit dan bumi. Tetapi mendustakan Allah. Maka Allah siksakan mereka dengan perbuatan mereka sendiri.
Allah menjelaskan dari ayat di atas bahawa Allah menjamin kiranya satu-satu kawasan beriman dan berpegang dan mendapat keberkatan dari Allah ertinya dengan rezeki yang melimpah ruah dan memperolehi kehidupan yang hebat dan mendapat keberkatan daripada rezeki itu kiranya tidak tunggulah di sebaliknya.
Di antara kesimpulan dari khutbah ini ialah :
1. Ibu-bapa dan orang dewasa adalah perlu menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak muda.
2. Ibu-bapa jangan sampai boleh dibeli oleh anak-anak dengan wang ringgit untuk menutup perkara kemungkaran.
3. Pendidikan yang seimbang perlu diberikan kepada anak-anak dari peringkat rendah hingga peringkat yang lebih tinggi.
4. Keyakinan kepada hukum-hukum Allah samada bertindak suruhan atau larangan adalah menjamin ketinggian martabat.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Disediakan oleh
A.F Al-Ustaz Haji Yunus Bin Alias
Pegawai Tadbir Agama
Daerah Bagan Serai
Jabatan Agama Islam Perak