خطبة جمعة
KEMEROSOTAN KEIMANAN PUNCA MASALAH UMAT
الحمد لله القائل : إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ, أَلاَ ِللهِ الدِّيْنُ الْخَالِصُ . اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Berdasarkan keterangan al-Quran, manusia sebelum dibangkitkan Nabi Muhammad S.A.W berada dalam kemusnahan dan kehancuran. Lantas mereka diselamatkan dengan corak kehidupan yang baru berlandaskan syariat Islam. Manusia yang berada di dalam kegelapan kufur lalu diterangi dengan cahaya iman. Dari pengabdian diri kepada makhluk, kepada pergantungan dan penyerahan diri kepada Allah S.W.T. Dengan hidayah dari Allah dan pertunjuk dari Nabi Muhammad S.A.W, suatu perubahan besar berlaku ke atas masyarakat jahiliah ketika itu, berubah dari masyarakat yang sering berbalah dan bermusuhan kepada penyatuan umat serta berkasih sayang. Masyarakat Islam Arab Jahiliah menerima perubahan yang begitu besar hingga menjadikan mereka sebaik-baik umat dan hidup dalam suasana sejahtera. Firman Allah dalam Surah Al-Imran ayat 11 :
Ertinya :
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia.
Umat Nabi Muhammad S.A.W di zaman kebangkitan Islam, bukan sahaja disifatkan sebagai sebaik-baik umat, malah disebut sebagai umat yang berpandangan positif. Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 139:
Maksudnya :
Dan janganlah kamu merasa hina dan janganlah berdukacita, kamulah yang lebih tinggi, jika kamu beriman (kepada Allah).
Sidang Jumaat Sekalian,
Untuk menjadi manusia dan umat yang terbaik serta dinilai mulia oleh Allah S.W.T, kita wajib melakukan perubahan sikap ke arah kepatuhan kepada titah perintah Allah serta penyerahan diri sepenuh kepada Allah. Keingkaran dan kedurhakaan kita terhadap perintah Allah dan Rasulnya akan mengundang masalah dan bencana dalam kehidupan di dunia ini, bahkan di akhirat nanti pula akan menerima azab yang setimpal dan sewajarnya daripada Allah.
Kaum Muslimim Yang Dimuliakan,
Suatu hakikat yang tidak dapat kita nafikan hari ini bahawa umat Islam sedang berhadapan dengan berbagai masalah. Antaranya yang ketara dibincangkan ialah soal perpaduan dan perpecahan, soal kelembapan ekonomi, soal kemerosotan mutu pelajaran, masalah budaya Islam dan barat, keruntuhan akhlak penyalahgunaan dadah dan isu-isu keganasan yang dikaitkan dengan Islam dan organisasi Islam. Semua masalah dan isu-isu tersebut sebenarnya adalah berbangkit dari masalah iman dan taghut atau hasil godaan syaitan dan sekutunya termasuklah manusia yang bersifat jahiliah. Lantaran itulah, Allah mengutuskan para Rasul untuk menyelesaikannya sebagaimana firmannya dalam surah al-Nahl ayat 63 :
Maksudnya :
Dan sesunguhnya kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat untuk menyeru mereka supaya menyembah (menyerah diri) kepada Allah sahaja dan hendaklah menjauhkan diri daripada taghut.
Persoalan iman adalah persoalan pokok yang menjadi punca kepada segalanya. Rasulullah diutuskan untuk menjelaskan persoalan dengan sebaik-baiknya, untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Allah berfirman dalam surah Al-A'raf ayat 69 :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى ءَامَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَاْلأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Ertinya :
Jika sekiranya penduduk negeri-negeri (di dunia) beriman dan bertaqwa (kepada Allah) pasti kami (Allah) melimpahkan berkat (rezeki dan sebagainya) dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakannya (kufur terhadap ayat-ayat kami), maka kami siksa mereka disebabkan perbuatan mereka sendiri.
Oleh kerana persoalan pengukuhan iman secara menjauhi taghut yakni menghindarkan diri dari tidak bersekongkol dengan syaitan dan sekutunya termasuklah golongan manusia yang ragu dengan kesempurnaan Syariat Islam sudah dipandang remeh dan tidak mendapat tempat dalam senarai masalah umat, maka lenyaplah masalah itu ditimbun oleh masalah lain. Kerana itu untuk menimbul dan mengukuhkan keimanan, perlulah ianya sentiasa digarap, dibajai dan dikawal daripada mudah dipengaruhi oleh musuh. Antara musuh utama kepada Islam iaitu ialah syirik dengan segala cabangnya, kufur dengan segala keadaannya dan maksiat dengan segala selok beloknya.
Sidang Jumaat Sekalian,
Islam yang diimani oleh manusia kini banyak yang boleh dipersoalkan tentang sejauh mana kefahaman mereka. Apakah Islam itu boleh diubah sesuai mengikut selera dan peredaran zaman. Cubalah kita renungi firman Allah dalam Surah Al-Akraf ayat 175 - 177 :
وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي ءَاتَيْنَاهُ ءَايَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ(175)وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى اْلأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ(176)سَاءَ مَثَلاً الْقَوْمُ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَأَنْفُسَهُمْ كَانُوا يَظْلِمُونَ(177)
Ertinya :
Dan bacakanlah mereka berita yang telah kami berikan kepadanya ayat-ayat kami (pengetahuan tentang isi al-Quran) kemudian daripada ayat-ayat itu lalu diikuti oleh syaitan, maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. Dan kalau kami kehendaki, sesungguhnya kami tinggikan darjatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderong kepada dunia dan menurut hawa nafsu dengan rendah, maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dihulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya juga. Demikian itulah perumpamaan orang yang mendustaka ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah agar mereka berfikir. Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.
Masalah kejahilan umat Islam kini terhadap Aqidah Islamiah yang dianutinya merupakan punca utama timbulnya berbagai-bagai masalah yang lain. Dari kejahilan itu ditimbulkan tanggapan dan pegangan yang berbeza-beza terhadap Islam. Dari situ timbullah perselisihan dan pertelingkahan yang kadang-kadang membawa perpecahan dan permusuhan. Lantaran kerana itu juga, penghormatan kepada ulamak dan ilmu-ilmu Islam yang disampaikan secara ikhlas oleh mereka yang tidak lagi diambil perhatian, malah ada pula yang sanggup memperlekehkan dan menghina mereka.
Sidang Jumaat Sekalian,
Satu lagi perkara yang seharusnya kita fikirkan berbangkit dari berbagai perkara tersebut ialah kemungkinan kemurkaan dan kutukan Allah S.W.T. Hal ini telah berlaku kepada umat-umat terdahulu. Oleh itu tidak mustahil ianya sedang menimpa umat kini dan akan datang, lantaran kerana kedegilan dan ketidakyakinan terhadap syariat Islam. Kita diberi al-Quran jalan lurus, tetapi memilih jalan bengkang-bengkok semata-mata kerana mengikut pujukan hawa nafsu. Oleh itu, saya menyeru tuan-tuan hadirin sekalian, marilah kita membuka mata zahir dan mata hati kita untuk kembali menghayati keindahan Islam dan SyariatNya serta terus yakin dengan peringatan dan janji-janji Allah sebagaimana yang terkandung di dalam wahyuNya dan Sunnah Rasulnya. Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 371 :
فَأَمَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَيُوَفِّيهِمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدُهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَأَمَّا الَّذِينَ اسْتَنْكَفُوا وَاسْتَكْبَرُوا فَيُعَذِّبُهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَلاَ يَجِدُونَ لَهُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلاَ نَصِيرًا(173)
Maksudnya :
Maka adapun orang-orang yang beriman dan beramal saleh, Allah akan menyempurnakan pahala (balasan) mereka dank an menambahkan limpah kurnianya kepada mereka. Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah akan berlaku sombong takbur, maka Allah akan menyiksa mereka dengan azab siksa yang tidak terperi sakitnya dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang lain dari Allah yang akan menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Disediakan oleh
A.F Al-Ustaz Haji Mustafa Bin Haji Jaafar
Pegawai Tadbir Agama
Batu Gajah