خطبة جمعة
KEMAKMURAN NEGARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA PENGGUNA DAN PENIAGA
الحمد لله القائل:
هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لَكُمْ مِنْهُ شَرَابٌ وَمِنْهُ شَجَرٌ فِيهِ تُسِيمُونَ (سورة النحل : 10)
والصلاة والسلام على مَنْ قال : اَلنَّاسُ شُرَكَاءُ فِيْ ثَلاَثَةٍ : فِىْ الْكَلإِ وَالَماءِ وَالنَّارِ اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ الذي حَذَّرَنَا من التَبْذِيْرِ حَتَّى الْمَاءَ على شَاطِىءِ اْلأَنْهَارِ وَالبِحَارِ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَلَّذِىْ عَلَّمَنَا أَنَّ خَيْرَ اْلأُمُوْرِ أَوْسَطُهَا فى الأَعْمَالِ وَالإِخْتِيَارِ,
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ أُولِى الْفَضْلِ وَالإِخْتِيَارِ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Sama-samalah kita mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dengan menurut segala titah perintahnya kerana sifat orang mukmin yang sejati ialah ketaqwaanya kepada Allah akan sentiasa meningkat dan kemaksiatan sentiasa dijauhi dan ditinggalkan.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Khutbah hari ini ingin mengajak kita semua merenung tentang peranan kita sebagai pengguna dan hubungannya dengan kesejahteraan Negara. Apabila kita sebut tentang "Pengguna", ianya merangkumi setiap aspek kehidupan harian kita. Setiap manusia, fitrahnya ia berhajat kepada sesuatu yang lain seperti ingin menggunakan barangan atau perkhidmatan termasuk sumber-sumber dari alam ciptaan Allah S.W.T untuk meneruskan kehidupannya yang sementara di dunia ini. Allah S.W.T telah menciptakan pelbagai benda di dunia ini seperti tumbuh-tumbuhan, bahan galian, binatang ternak dan sebagainya untuk manusia menggunakannya samada dalam bentuk asal atau dijadikan barangan lain demi untuk kesejahteraan hidupnya di dunia yang sementara ini.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 80 :
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنْ جُلُودِ اْلأَنْعَامِ بُيُوتًا تَسْتَخِفُّونَهَا يَوْمَ ظَعْنِكُمْ وَيَوْمَ إِقَامَتِكُمْ وَمِنْ أَصْوَافِهَا وَأَوْبَارِهَا وَأَشْعَارِهَا أَثَاثًا وَمَتَاعًا إِلَى حِينٍ
Maksudnya :
Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal, dan ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak, khemah-khemah (tempat berteduh), yang kamu dapati ringan (dibawa kemana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti, dan (ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan (untuk kamu gunakan) hinggalah ke suatu masa .
Sidang Jumaat Yang Mulia,
Segala-gala yang dijadikan oleh Allah S.W.T di dunia ini adalah supaya kita mentaati perintahnya serta mensyukuri nikmatnya. Dalam kehidupan hari ini, kadang-kadang kita memerlukan antara satu sama lain untuk menunaikan kehendak dan keperluan kita. Pengguna dalam pasaran memerlukan pengguna untuk memasarkan barangan perkhidmatan mereka. Justeru itu, urusan jual beli yang beretika dan berteraskan iman dan taqwa akan mendatangkan keberkatan dan seterusnya memberikan manfaat yang besar kepada negara. Allah S.W.T seringkali memerintahkan kita agar berlaku adil kepada semua, lebih-lebih lagi dalam urusan perdagangan Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 8 :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah S.W.T, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hamper kepada taqwa dan bertawakkal kepada Allah S.W.T, sesungguhnya Allah S.W.T maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Allah berfirman lagi dalam surah al-An'aam ayat 152 :
وَلاَ تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلاَّ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لاَ نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُون
Maksudnya :
Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan yang adil. Kami tidak memberatkan seorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu) dan perjanjian (perintah-perintah) Allah S.W.T hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah S.W.T perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhinya).
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Suasana pasaran ekonomi moden masakini semakin rumit. Pelbagai jenis barang, jenama, kegunaan dan sebagainya memerlukan setiap pengguna mengetahui atas apa yang dibelanjakannya di pasaran. Dengan yang demikian ilmu kepenggunaan dan maklumat tentang pasaran harus menjadi perisai kepada setiap pengguna supaya haknya sebagai pengguna dapat dipelihara dan keperluannya dapat dipenuhi.
Kadangkala di dalam urusan jual beli di pasaran banyak penipuan dan penyelewengan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keuntungan duniawi. Dalam hal ini pengguna sebelum membuat keputusan seharusnya menyelidiki dahulu hal-hal tersebut agar dapat mengelakkan kerugian setelah membeli apa-apa barangan keperluannya.
Firman Allah dalam surah al-Hujarat ayat 6 :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Maka jelaslah betapa pentingnya maklumat yang benar dan tepat dalam setiap keputusan yang akan dibuat khususnya dalam aspek kepenggunaan. Kebijaksanaan yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada manusia merupakan satu nikmat dan kebaikan yang merupakan satu keistimewaan dan kebaikan yang seharusnya digunakan untuk manafaat umum. Allah S.W.T berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 269 :
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُولُو اْلأَلْبَابِ
Maksudnya :
Allah memberikan nikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakinya dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberi kebaikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Melalui kebijaksanaan dan maklumat yang dimiliki inilah, sebagai umat Islam menyebarkannya untuk kesejahteraan orang lain merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kerana sifat orang Islam yang paling baik ialah keupayaannya menyelamatkan saudaranya melalui perkataan dan tindak tanduknya. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
" Diriwayatkan daripada Abu Musa R.A Katanya : Aku bertanya; Wahai Rasulullah S.A.W apakah sifat orang Islam yang paling baik ? Rasulullah S.A.W bersabda : Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya ". Sahih Muslim : 59
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Sebagai pengguna dan peniaga kita perlu melengkapkan diri bagi menangani masalah yang berlaku dalam pasaran dengan berusaha dengan menimba ilmu pengetahuan berkaitan dengan ekonomi dan kepenggunaan. Sifat tamak haloba peniaga dalam menjalankan urusniaga akan menghilangkan keberkatan manakala sikap suka membazir juga turut memberikan kesan yang buruk kepada diri sendiri. Keadaan ini sebenarnya mempunyai hubungkait dengan keadaan ekonomi sesebuah negara. Apabila Allah S.W.T menarik keberkatannya dari rezeki yang dikurniakan kepada sesuatu kaum akibat keingkaran mereka maka fenomena inflasi sebenarnya bukanlah akibat kepincangan system ekonomi itu sahaja tetapi ianya adalah akibat dari perbuatan manusia itu sendiri. Dengan itu kesejahteraan hidup di sesebuah negara sangat bergantung kepada ketaatan kita kepada Allah S.W.T berpandukan amalan Rasulullah S.A.W. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 36 :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاَ مُبِينًا
Maksudnya :
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah S.W.T dan Rasulnya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidak harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat hukum Allah S.W.T dan Rasulnya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas dan nyata ".
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Aliran maklumat dalam pasaran kadang-kadang dicetuskan hanya untuk mendapat keuntungan semata-mata. Banyak iklan-iklan mengelirukan dan kadangkala wujud kenyataan-kenyataan yang sengaja direka-reka untuk melariskan jualan. Peniaga yang beriman kepada Allah S.W.T dan Hari Akhirat tidak harus menjual barangan yang boleh memudaratkan pengguna apatah lagi jika mereka sendiri tidak pasti kenyataan yang berkaitan dengan barangan yang digembar-gemburkan itu adalah benar. Ini hanya menguntungkan sebelah pihak dan merugikan pengguna yang tidak mengetahui perkara yang sebenar. Pihak penjual seharusnya sedar bahawa tiada keberkatan dari rezeki yang didapati dengan cara sedemikian. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya : Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : Sumpah itu penyebab larisnya barang dagangan, tetapi menghapuskan keberkatannya dalam keuntungan. Sahih Muslim : 3014
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Dalam melalui kehidupan sebagai pengguna barangan dan perkhidmatan serta sumber-sumber alam ciptaan Allah S.W.T, Rasulullah S.A.W telah menunjukkan contoh contoh tauladan untuk dijadikan ikutan. Penggunaan yang mengikut nafsu serta kehendak hati yang tidak pernah mengenal erti puas adalah sangat bertentangan dengan sunnah Rasulullah S.A.W sebagai seorang muslim, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempamerkan akhlak terpuji sebagai pengguna kepada pengganut agama-agama lain. Allah berfirman dalan surah al-A'raaf ayat 181 :
وَمِمَّنْ خَلَقْنَا أُمَّةٌ يَهْدُونَ بِالْحَقِّ وَبِهِ يَعْدِلُونَ (181)
Maksudnya :
Dan di antara orang-orang yang kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberikan petunjuk dengan kebenaran dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
Oleh yang demikian, pengguna yang telah dilengkapi dengan maklumat yang didapati melalui bacaan, ceramah, kuliah dan sebagainya haruslah menyebarluaskan maklumat tersebut kepada masyarakat agar sifat adil dapat bertapak kukuh di dalam ekonomi dan pastinya akan menambahkan keberkatan dan kesejahteraan kepada masyarakat dan negara. Kepada golongan kanak-kanak dan remaja, ibu-bapa harus mendidik anak-anak mereka dengan tentang kepenggunaan di samping pendidikan yang mereka terima di sekolah. Di rumah mereka ini seharusnya diberi galakan supaya bersifat qanaah, berjimat cermat, menghormati hak orang lain dan lain-lain sifat terpuji yang terdapat dalam amalan Rasulullah S.A.W.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Pengguna yang bermaklumat dan beramal dengan ilmu yang dimilikinya adalah satu aset kepada negara. Individu yang sebegini perlu berada di segenap lapisan masyarakat agar dapat menjadi contoh kepada orang lain dan sebagai sumber rujukan bagi masyarakat setempat. Adalah menjadi tanggungjawab bagi seorang muslim agar sentiasa memberi peringatan kepada orang lain khususnya bagi perkara yang mendatangkan kebaikan. Kepada manusia yang sedemikian Allah S.W.T menjanjikan ganjaran yang amat besar baginya di dunia dan di akhirat. Allah berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 162 :
لَكِنِ الرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ مِنْهُمْ وَالْمُؤْمِنُونَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَالْمُقِيمِينَ الصَّلاَةَ وَالْمُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالْمُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أُولَئِكَ سَنُؤْتِيهِمْ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya :
Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman, sekeliannya beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu (al-Quran) dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu kepadamu, khasnya orang-orang yang mendirikan solat dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta beriman kepada Allah dan Hari Akhirat: mereka itulah yang kami akan berikan pahala (balasan) yang amat besar.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Segala ilmu yang ada di dunia ini datang daripada Allah S.W.T dan bagi kita kaum muslimin sumber rujukan kita adalah al-Quran dan Hadis. Justeru itu, ilmu kepenggunaan yang menekan amalan-amalan terpuji, sifat-sifat mulia dan menghormat hak orang lain merupakan satu cabang ilmu yang berguna untuk mencapai kehidupan yang bahagia dan sempurna di dalam sebuah negara. Firman Allah di dalam surah al-Anfal ayat 24 :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ(24)
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah dan sambutlah seruan Allah dan Rasulnya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan hidup kamu sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadanya kamu akan dihimpunkan.
Dengan izin Allah S.W.T melalui amalan-amalan yang mulia dan diredhai olehnya berdasarkan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W sesebuah negara akan dirahmati dan diberkati sekiranya seluruh masyarakat mentaati perintah Allah S.W.T dan mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W di dalam menjalani kehidupannya sudah pasti Allah S.W.T akan memelihara diri dan Negara kita dari sebarang bencana dan ancaman dari luar dan dalam negara kita yang tercinta.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Kisah-kisah tentang umat-umat yang terdahulu yang telah dihancurkan oleh Allah S.W.T akibat dari keingkaran mereka kerana terlalu mengikut hawa nafsu di dalam kehidupan mereka telah merugikan diri dan negara mereka sendiri. Dengan yang demikian, kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, sebagai umat yang terbaik haruslah sentiasa menjalaankan tanggungjawab kita untuk menimba ilmu dan belajar dari pengalaman supaya kita sendiri mampu untuk menyelamatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara kita dari bencana semasa di dunia dan dari azab neraka semasa di akhirat nanti dengan ilmu yang kita miliki. Firman Allah dalam surah al-Ankabuut ayat 43 :
Maksudnya :
Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Disediakan oleh
Kementerian Dalam Negeri
Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia