خطبة جمعة

 

BERSEGERA SEBELUM TERLAMBAT

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ خَلَقَ السَّموَاتِ وَالأَرْضَ وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ وَالنُّوْرَ ثُمَّ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُوْنَ

اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

قال الله تعالى :

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ(27)

Maksudnya :

    Dan serukanlah manusia untuk mengerjakan haji nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datangnya dari segenap ceruk rantau yang jauh.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

    Kita baru sahaja merayakan Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban. Sebahagian kita masih lagi berada di tanah suci kerana menunaikan haji. Setiap umat Islam yang memenuhi syarat hendaklah menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Menyempurnakan haji adalah satu perkara yang penting kepada kita, yang mengakui dirinya sebagai seorang muslim. Junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W pernah mengingatkan kita melalui sabdanya :

 مَنْ مَلَكَ زَادًا أَوْ رَاحِلَةً تَبْلُغُهُ إِلَى بَيْتِ الِلهِ اْلحَرَامِ وَلَمْ يَحُجَّ فَلاَ عَلَيْهِ أَنْ يَمُوْتَ يَهُوْدِيَّا أَوْ نَصْرَانِيًّا

 

 

Maksudnya :

Sesiapa yang memiliki bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitul Haram, tetapi tidak menunaikan hajinya maka kematiannya pasti sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.

Alangkah baiknya jika Fardhu Haji ini dapat kita tunaikan dalam keadaan tubuh badan yang sihat dan cergas. Kesihatan kita sentiasa berubah, selalu sahaja uzur apabila usia semakin meningkat. Oleh itu apabila berkemampuan menunaikannya, kita tidak perlu menunggu sehingga usia tua lantaran maut tidak memilih usia seseorang. Alangkah sedihnya mereka yang meninggal dunia dalam keadaan kaya-raya, mewah dan berupaya menunaikan haji tetapi masih bertangguh untuk menunaikan haji tanpa sebarang uzur syarie. Ingatlah bahawa tuntutan Allah agar menunaikan farhu haji bukanlah seperti tuntutan nafsu kita untuk melawat tempat-tempat peranginan dan sebagainya. Tuntutan haji merupakan satu perintah yang mesti ditunaikan apabila cukup kemampuan. Jangan pula ada yang tidak mahu menunaikannya dengan alasan belum sampai seru kononnya, sedangkan seruan Allah dan Rasul sentiasa disampaikan kepada kita.

Sidang Jumaat Sekelian,

Fadhilat menunaikan haji amat banyak. Antaranya sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W dari Abu Hurairah :

مَنْ حَجَّ الْبَيْتَ وَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُق رَجَعَ كَيَوْمٍ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya : 

Sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedang dia tidak mengeluarkan kata-kata keji dan melakukan perbuatan yang kurang sopan juga tidak membuat fasiq (caci memaki) maka dia akan terlepas dari dosa-dosanya sebagaimana anak-anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya.

Sabdanya lagi yang bermaksud :

    Tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya menuju jihad Fi Sabillah, kemudian jatuh dari kenderaan dan dipijak oleh binatang atau mati dengan apa cara sekali pun, maka ia dikira mati syahid. Dan tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya dengan niat mengerjakan haji ke Baitullah kemudian ia mati sebelum menyempurnakan hajatnya, maka Allah mewajibkan untuknya syurga.

Abu Al-Laith As-Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah b. Ibad R.A berkata : Kami di Mina bersama Nabi Muhammad S.A.W tiba-tiba datang rombongan dari Yaman, lalu mereka berkata, beritakan kepada kami Fadhilat Haji Ya Rasulullah. Jawab Nabi Muhammad S.A.W baiklah. Tiap-tiap orang yang keluar dari rumahnya dengan niat haji atau umrah, maka tiap langkahnya gugurlah dosa-dosanya dari badannya sebagaimana gugurnya daun kering dari pohon. Maka apabila telah sampai ke Madinah dan memberi salam lalu berjabat tangan kepada ku, dijabat tangan oleh malaikat. Maka apabila telah sampai di ZulHulaifah lalu mandi sunat ihram maka Allah menyucikan dari semua dosanya. Kemudian jika ia memakai pakaian baru untuk ihram, Allah membaharui baginya kebajikan dan bila mengucapkan          (لبيك اللهم لبيك, لبيك وسعديك  ) langsung dijawab  oleh Allah (أَسْمْعُ كَلاَمَكَ وَأَنْظُرُ اِلَيْكَ) yakni aku mendengar kata-katamu dan melihat padamu, maka apabila telah sampai di Mekah dan Tawaf serta Sa’I di antara Safa dan Marwah maka Allah menuang baginya kebaikan. Lalu ketika wuquf di Arafah dan gemuruh suara berdoa. Maka Allah membanggakan kepada malaikat dan berfirman yang bermaksud : Wahai malaikat dan penduduk langit, tidakkah kamu melihat hambaku yang datang dari seluruh pelusuk alam yang jauh dalam keadaan yang terurai dan berdebu. Mereka telah mengorbankan harta dan benda, maka demi kemuliaan dan kemurahanku, aku akan memaafkan orang-orang yang berdosa dan melepaskan mereka dari dosa sebagaimana anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya. Demikian pula apabila telah melontar jumrah dan mencukur rambut lalu Tawaf Ifadah iaitu ziarah.  Maka ada seruan dari Arash, kembalilah, kamu sudah diampunkan semua dosa-dosamu dan perbaharuhilah amal perbuatanmu. Nabi sendiri pernah berdoa :

اَلَّلهُمَّ اغْفِرْ لِلْحَاجَّ وَلِمَنْ اِسْتَغْفَرَ لَهُ اْلحَاجُّ

Maksudnya :

Ya Allah, ampunilah bagi orang-orang yang melakukan ibadat haji dan bagi orang yang dimintakan ampun oleh orang yang berhaji.

Saudara Sidang Jumaat Sekelian,

Allah telah menetapkan bahawa sesuatu itu ada yang melebihi yang lainnya. Sebagai contoh kelebihan manusia sesama manusia bergantung kepada yang paling bermanfaat (berguna kepada manusia) sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W :

أَحْسَنُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya :

Sebaik-baik manusia ialah yang paling berguna kepada manusia itu sendiri.

Di samping Allah menjadikan kelebihan di antara sesama manusia, Dialah juga yang menetapkan kelebihan yang tertentu pada tempat tertentu. Allah melimpahkan berkatnya terhadap Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarrah dari segala tempat yang lain di dunia ini seperti sabda baginda Rasullulah S.A.W :

صَلاَةٌ فِىْ مَسْجِدِىْ هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيْمَا سِوَاهُ اِلاَّ الْمَسْجِدَ اْلحَرَامَ

Maksudnya :

Sekali sembahyang di masjidku (Masjid Madinah) lebih baik dari seribu kali sembahyang di tempat lain kecuali di Masjidil Haram.

Sidang Jumaat Sekelian,

Kita lebih bercita-cita melawat tempat-tempat lain berbanding Mekah al-Mukarramah. Kita cukup selesa mengunjungi rumah-rumah manusia berbanding rumah-rumah Allah. Wang dan harta yang kita kumpulkan kita habiskan bagi melancung di atas muka bumi Allah sedangkan rumah Allah dan tanah haram Allah tidak dikunjungi. Adakah ini tandanya kita mensyukuri nikmat-nikmat Allah dan beradab sopan dengan Allah.

Sidang Jumaat Sekelian, 

Kita tidak boleh terus mengambil sikap suka bertangguh dalam melakukan kebaikan. Allah berfirman dalam surah al- Maidah ayat 47 :

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا ءَاتَاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ(48)

Maksudnya :

Dan kalau Allah mengkehendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu) tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumba lah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal saleh). Kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

Rasulullah S.A.W juga bersabda :

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ , فَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ , غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ , صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ , حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Maksudnya :

Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara : muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati.

Sidang Jumaat Sekelian,

    Umat Islam hari ini banyak ketinggalan dalam segala hal kerana suka bertangguh. Kita menangguhkan untuk berlajar kerana mahu bekerja hingga akhirnya kita langsung tidak menyambung pelajaran. Kita sering menangguhkan kerja-kerja kita untuk dibuat pada hari esok sedangkan lebih banyak tugas yang menanti kita pada esok hari. Kita sering menangguhkan untuk bersedekah bagi mengumpulkan wang supaya dapat bersedekah dengan lebih banyak akhirnya kita langsung tidak bersedekah. Kita sering menangguhkan perlaksanaan perintah-perintah Allah untuk memastikan kesempurnaan perlaksanaannya hingga akhirnya kita langsung tidak melaksanakannya. Kita masih terus memohon penangguhan ajal di hadapan Allah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 10 :

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ(10)

Ertinya :

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat ini) akan merayu dengan katanya “ Wahai tuhanku ! Alangkah baiknya kalau engkau  lambatkan ajal matiku kesuatu masa sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang saleh”.

 

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

  Disediakan oleh

A.F Al-Ustaz Zahrimfuddin Bin Ahmad Zubir

Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Perak

Hosted by www.Geocities.ws

1