KHUTBAH 13  

 

MENGENALI PERKARA YANG DIHARAMKAN

الحمد لله القائل : قُلْ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ لَكُمْ مِنْ رِزْقٍ فَجَعَلْتُمْ مِنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ ءآللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

اَشْهَدُ اَنْ لاَ اِلهَ اِلاَّ اللهَ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنـَا مُحَمَّدِ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ . اَمَّا بَعْدُ , فَيَا ايها المسلمون إتقوا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُوْنَ

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita selalu di ingatkan agar menjahui larangan Allah atau biasanya disebut sebagai apa yang diharamkan oleh Allah. Walau bagaimanapun apakah semua kita benar-benar mengetahui dan mengenali apakah yang diharamkan oleh Allah dan apakah panduan kita dalam mengenalinya. Sumber utama bagi kita ialah al-Quran dan Hadis. Perkara yang diharamkan oleh Allah bukanlah hanya sejenis tetapi terbahagi kepada 2 bahagian yang utama.

Bahagian atau jenis pertama adalah (حرام لِذَاتِه ) atau haram kerana zatnya. Ini bererti sesuatu perkara atau perbuatan yang diharamkan oleh Allah kerana mengandungi keburukan dan kebinasaan pada zat benda atau perbuatan tersebut. Contoh perbuatan yang diharamkan kerana zatnya adalah seperti berzina, mencuri , meminum arak, makan babi dan sebagainya. حرام لِذَاتِه ini akan tetap haram walau apapun keadaannnya kecuali darurat.

Haram jenis kedua adalah حرام ِلغَيْره iaitu perbuatan atau benda yang pada asalnya tidak diharamkan malah kadang-kadang memang digalakkan tetapi menjadi haram kerana berlaku atau datang kepadanya sesuatu yang haram lalu ianya juga menjadi haram. Haram jenis kedua ini lebih banyak berlaku terutamanya pada masa sekarang ini dan kebanyakkan kita tidak menyedari pengharamannya. Contoh حرام ِلغَيْره ini adalah seperti sembahyang dengan kain yang dicuri, berjual beli selepas azan Jumaat dilaungkan, bersedekah dengan wang judi yang dimenangi dan membuat perniagaan menggunakan modal diambil daripada penipuan orang ramai. Semua perbuatan ini pada asalnya adalah harus malah digalakkan oleh Islam, tetapi oleh kerana kaitannya dengan sesuatu yang diharamkan maka perkara tersebut juga menjadi haram. Ini adalah kerana jika perkara ini dibiarkan maka manusia akan terus melakukan maksiat dan kezaliman bagi mencari kesenangan. Sebagai contohnya bagi yang tidak mempunyai modal untuk membuka perniagaan akan merompak dan menipu sehingga dapat mengumpul modal secukupnya lalu terus memungut hasil daripada perniagaan yang dikumpulkan. Setelah hasil keuntungan yang dikumpulkan dapat digunakan maka modal yang dirompak tadi boleh dipulangkan. Maka masyarakat akan mencari kekayaan dengan cara yang mudah. Sebagai contoh kita melihat sebahagian daripada kita yang cara hidupnya berubah setelah mendapat kedudukan di kalangan masyarakat sedangkan sebelumnya mereka hanyalah orang biasa. Alasan yang diberikan adalah segala kekayaan diperolehi daripada perniagaan yang dijalankan. Tetapi kenapakah perniagaan yang dijalankan tidak begitu menguntungkan sebelum mendapat kedudukkan ?

 

Sidang Jumaat Sekalian,

Al-Quran tidak hanya menggunakan satu cara dalam mengharamkan sesuatu. Terdapat berbagai jenis dan cara Allah mengharamkan sesuatu kepada manusia. Kita boleh mengenali hukum haram dalam al-Quran dengan lafaz “Haram” yang dinyatakan. Sebagai contoh dalam surah al-Baqarah : ayat 275 iaitu :

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَى فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ وَمَنْ عَادَ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ(275)

Ertinya :

Orang-orang yang memakan riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dan terhoyong-hayang kerana sentuhan syaitan itu. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba. Pada hal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan dari tuhannya lalu ia berhenti, maka apa yang telah diambilnya dahulu adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi maka mereka itulah ahli neraka , mereka kekal di dalamnya.

 

Selain daripada perkataan haram, Allah juga menggunakan perkataan “tidak dihalalkan” bagi menunjukkan pengharaman seperti firmannya dalam surah an-Nisa’ ayat 19 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا

Ertinya :

Wahai orang yang beriman. tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan cara paksa.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah juga menggunakan lafaz tegahan dan larangan dalam menunjukkan pengharaman. Allah mengharamkan unsur-unsur yang boleh menyebabkan berlakunya zina dengan menggunakan ungkapan tegahan sebagaimana firmannya dalam surah al-Isra’ ayat 32 :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Ertinya :

Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

 

Sidang Jumaat Sekalian.

Kadang-kadang Allah tidak menyebut perkataan haram, Allah tidak menafikan halalnya dan Allah tidak melarang melakukannya tetapi Allah memerintahkan kita menjauhinya seperti dalam surah al-Maidah ayat 90 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya :

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi,berhala dan menenung nasib adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya.

 

 

Sidang Jumaat Sekalian,

Dalam sesetengah ayat Allah mengharamkan sesuatu dengan hanya menyebutkan balasan buruk terhadap perbuatan tersebut samada balasan di akhirat. Dengan balasan yang dijanjikan maka dapatlah difahami bahawa perbuatan tersebut adalah diharamkan kerana balasan buruk, tidak akan dikenakan kecuali bagi perbuatan dosa yang diharamkan oleh Allah. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 10 :

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Ertinya :

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka menelan api kedalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala.

 

Allah juga berfirman dalam surah al-Maidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Ertinya :

Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka potonglah tangan mereka sebagai balasan dengan sebab apa yang telah mereka lakukan (juga sebagai) pencegahan dari Allah dan ingatlah Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.

 

Sidang Jumaat Sekalian,

Demikianlah indahya bahasa al-Quran dalam menjelaskan hukum-hukum Allah supaya di samping menerima maklumat manusia juga menggunakan akal fikiran. Apa yang penting kita mesti mempelajari ilmu-ilmu al-Quran jika mahu benar-benar memahaminya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Jangan kerana kejahilan dalam memahami ayat-ayat Allah menyebabkan kita menghukum mengikut pemikiran dan nafsu kita semata-mata sebagaimana yang berlaku di antara kita ada yang mengatakan bahawa tidak ada ayat yang mengharamkan judi dalam Kitab Allah hanya kerana tidak disebutkan perkataan haram secara jelas. Kita bimbang kerana menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah secara pasti dan diketahui di dalam agama secara dharurat boleh menjejaskan aqidah dan merosakkan iman kita kepada Allah.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

Disediakan Oleh :

Kamal Izat Bin Ahmed

Penolong Pengarah

Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Perak

Hosted by www.Geocities.ws

1