KHUTBAH 16

KESUCIAN AL-QURAN

الحمد لله القائل : وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Kaum Muslimin yang Berbahagia,

Bertakwalah kepada Allah Taala pada setiap pegangan dan pandangan, sikap dan tutur kata , kerana yang demikian itulah ajaran al-Quran, ajaran suci dari Allah Taala. Jadikanah al-Quran itu sebagai pegangan hidup kerana sesungguhnya al-Quran sahajalah satu-satunya perlembagaan hidup bagi setiap mukmin. Al-Quran menjadi ubat dan penawar kepada kesesatan hidup manusia di samping rahmat dari Ilahi. Fahamilah bahawa mereka yang tidak beruntung dengan adanya al-Quran hanyalah orang-orang yang mengingkarinya dan yang tidak mendapat pertunjuk daripadanya. Binasalah mereka itu dan binasalah sesiapa yang tidak mahu berinduk kepada al-Quran dan beramal dengan ajaran al-Quran. Firman Allah Taala dalam surah al-Isra’ ayat 9 :

إِنَّ هَذَا الْقُرْءَانَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا

Ertinya :

Sesungguhnya al-Quran ini memberi pertunjuk ke jalan yang amat betul (Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang mengerjakan amal saleh, bahawa mereka akan beroleh pahala besar.

 

Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 82 :

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Ertinya :

Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan sebaliknya al-Quran tidak menambahkan apa-apa kepada orang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata.

 

Dalam memahami ayat-ayat itu Imam Muhammad Al-Raazi dalam tafsirnya Al-Fakhrurraazi menjelaskan bahawa al-Quran itu adalah penawar yang memang boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani dibahagikan kepada dua bahagian :

 

  1. Pertama ialah penyakit I’tikad yang batil dan sesat,
  2. Kedua ialah penyakit akhlak yang buruk.

 

Beliau menjelaskan seterusnya bahawa yang dimaksudkan dengan I’tikad yang batil dan sesat itu ialah pegangan yang salah terhadap masalah-masalah ketuhanan, kenabian, atau yang sehubungan dengannya di mana al-Quran itu lengkap dengan peraturan bagi jalan hidup yang benar, selaras dengan kehendak-kehendak Allah dan nabinya, serta qada’ dan qadar Allah Taala pada hidup ini. Maka orang-orang yang tidak berpandu ajaran al-Quran di dalam hidup ini adalah nyata menjadi orang-orang yang sesat jalan dan mereka inilah yang dimaksudkan sebagai orang-orang yang berpenyakit. Rohani mereka telah rosak dan ubat yang boleh menyembuhkan penyakit seumpama ini hanyalah al-Quran. Walau bagaimanapun al-Quran tidak menjadi ubat bagi orang-orang yang ingkar dan zalim. Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

مَنْ لَمْ يَسْتَشْفِ بِاْلقُرْآنِ لآ شَفَاهُ اللهُ

Ertinya :

Barang siapa yang tida dapat mengubati penyakitnya dengan al-Quran maka Allah Taala tidak akan menyembuhkan penyakitnya.

 

Berdasarkan kepada sabda inilah, maka penyakit-penyakit aqidah, keburukan akhlak dan berbagai penyakit masyarakat yang lain seperti tidak amanah, najis dadah dan arak, adalah merupakan penyakit-penyakit yang tidak mungkin dapat diubati dengan sebarang cara lain yang ada, selain daripada al-Quran yang perlu dibaca dan diamalkan. Selagi al-Quran itu tidak diamalkan dalam erti kata yang sebenarnya, maka semua penyakit itu tidak akan dapat disembuhkan lagi.

 

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

Ambillah perhatian terhadap amaran Rasulullah S.A.W terhadap apa yang berlaku jika al-Quran tidak diambil sebagai penyelesai masalah. Sabda Nabi Muhammad S.A.W :

 

عن ابنِ عُمر رضي الله عنه عن النبي (ص) قال : لا تَقُوْمُ السَّاعَةُ حًتَّى يَرْجِعَ الْقُرْآنُ مِنْ حَيْثُ نَزَلَ لَهُ دَويٌّ كَدَويِّ النَّحْلِ فَيَقُوْلُ اللهُ : مَا بَالُكَ ؟ فيقولُ : يا رَبِّ مِنْكَ خَرَجْتُ وَاِلَيْكَ أَعُوْدُ أُتْلَى فَلا يَعْمَلُ بِيْ أُتْلَى وَلا يَعْمَلُ بِيْ

Ertinya :

Tidak berlaku qiamat sehinggalah al-Quran itu kembali kepada Allah seperti mana ia datang. Kedengaran padanya dengungan seperti dengung suara lebah, lantas Allah Taala bertanya kepadanya marah : Kenapakah pula kamu kembali kepada aku ? Maka al-Quran menjawab : Wahai tuhanku, daripada mu aku datang dan kepada mu juga aku kembali, aku dibaca tidak diamalkan dan aku dibaca tidak diamalkan.

 

Kaum Muslimin Yang berbahagia,

Mengenai dengan apa yang telah yang diperkatakan oleh umum tidak lama dahulu, apakah kehilangan ayat-ayat al-Quran dari masyhaf itu di sebabkan oleh kesilapan atau tidak ? Itu bukanlah menjadi perhatian utama kepada kita, samada ia tersalah cetak atau tidak tersalah cetak. Yang jelas kepada kita sekarang, ia berlaku secara besar-besaran yang melibatkan beberapa buah negara, serta pula ayat-ayat dan baris-baris yang hilang di dalam al-Quran itu tidak sama tempatnya antara satu al-Quran dengan yang lain. Walau bagaimanapun kita tidak punya masa untuk membuat beberapa andaian dan kemungkinan, tetapi yang penting kepada kita ialah bahawa kehilangan tersebut bukanlah perkara mustahil dalam Islam kerana sebelum ini pun Islam telah punya dalil-dalil qat’i (قطعي) yang secara terang-terang menjelaskan bahawa Allah Taala akan menghapuskan al-Quran itu samada pada tulisannya mahupun juga pada ingatannya dari hati umat Islam. Kita umat Islam sepatutnya melihat dan memberi perhatian kepada peristiwa yang telah berlalu itu, bukan tujuan untuk pertengkaran atau untuk berdolak-dalik dari kenyataan yang ada, tetapi sebaliknya hendaklah dijadikan sebagai pengajaran dari Allah untuk kita supaya tidak melupakan al-Quran. Satu hal yang menjadi persoalan kepada kita, mengapakah ini semua boleh berlaku ketika mana sebahagian umat Islam sedang memperkatakan tentang isi al-Quran, mempertikaikan tentang hukum-hukum al-Quran. Ada yang mengatakan hukum al-Quran sudah lapuk dan tidak boleh dijadikan dasar undang-undang hidup. Banyak hukum-hukum Allah dalam al-Quran terutamanya dalam hukum hudud dan hukum syariah dipersenda-sendakan, dan ada yang seolah-olah sengaja menimbulkan syak, apakah hukum al-Quran itu munasabah atau tidak munasabah dengan kehendak kemanusiaan pada hari ini ? Rupa-rupanya mereka sudah tidak yakin lagi pada ajaran al-Quran. Di samping itu pula banyak risalah-risalah sebaran kristian dengan dakyah mereka, sepatutnya ancaman dan ajaran seumpama itu dijadikan pengajaran agar umat Islam di negara ini khususnya lebih mendidik diri untuk mendampingi al-Quran, bukan hanya sekadar untuk dibaca sebagai syiar semata-mata, bahkan lebih dari itu ialah mempertingkatkan usaha untuk mengamalkannya. Membaca al-Quran adalah satu ibadah yang tinggi nilainya, manakala mengamalkan isi kandungannya adalah suatu kewajipan yang tidak boleh dipertikaikan. Firman Allah dalam surah al-Qiamah ayat 18-21 :

فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْءَانَهُ ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُ كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَتَذَرُونَ الْآخِرَةَ

Ertinya :

Sesungguhnya kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaan (pada lidahmu) oleh itu apabila kami telah menyempurnakan bacaannya itu, kemudian sesungguhnya pada kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya. Sedarlah wahai orang-orang yang lalai (sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan sentiasa mencintainya (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habis, tidak menghiraukan (bekalan) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya).

 

 

Walaupun berbagai reaksi, pendapat dan pandangan masyarakat ramai terhadap fenomena kehilangan ayat-ayat al-Quran suatu masa dahulu, apapun hujah dan juga alasan yang diberikan, namun satu hakikat yang mesti diakui bahawa dunia ini sebenarnya telah tua usianya, serta tanda-tanda kehancurannyapun telah nyata. Bersama-sama dengan gelagat dan akhlak buruk sebahagian umat manusia, kehancuran dan kemusnahannya telah nyata dan semakin jelas. Qiamat adalah sesuatu yang pasti berlaku dan kedatangannya tidak memerlukan jemputan dan restu manusia yang pasti dunia ini sedang menuju kearah itu. Persoalan yang ada pada kita ialah apakah bekalan sudah mencukupi ? Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 86 :

وَلَئِنْ شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ ثُمَّ لا تَجِدُ لَكَ بِهِ عَلَيْنَا وَكِيلا

Ertinya :

Dan kalau kami kehendaki nescaya kami hilangkan (ambil) apa yang telah kami wahyukan kepada engkau, kemudian itu engkau tidak memperolehi pelindung apa-apa dari kami.

 

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

 

Disediakan Oleh :

Sheikh Mohd Nor Bin Mansor Al-Hafiz

Ketua Penolong Pengarah

Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Perak

Hosted by www.Geocities.ws

1