KHUTBAH 14

 

KEKEJAMAN TERHADAP SESAMA MANUSIA

اَلْحَمْدُ لله الْقَائِلِ: الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 

Saudara Sidang Jumaat Sekalian,

Bertakwalah kepada Allah Taala dengan sebaik-baik takwa dan janganlah hendaknya kita melakukan kekejaman, kezaliman dan penindasan terhadap sesama manusia kerana perbuatan dan tindakan sedemikian itu adalah seburuk-buruk perbuatan di sisi Allah Taala, serta bertentangan dengan kehendak semulajadi manusia yang hidup bermasyarakat, hidup beramai-ramai, di mana dalam kehidupan ini memang sikap saling memerlukan antara satu sama lain serta sangat-sangat digalakkan sekali demi untuk menuju kepada sesuatu kehidupan yang aman damai dan penuh keharmonian.

Sebenarnya di dalam kehidupan sehari – hari tiada siapa pun yang inginkan kezaliman dan kekejaman, apatah lagi kalau untuk sesama manusia. Umumnya setiap orang yang menyedari betapa perlunya hidup dalam keadaan rukun dan damai, kerana tanpa kerukunan dan kedamaian hidup, maka pastilah tidak akan ada sesiapa pun yang boleh mengecap hidup senang. Seorang pemimpin akan menghadapi masalah dalam pimpinannya, saudagar akan gelisah dengan pasarannya, serta pengguna akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan, semua itu pasti berlaku, bahkan menjadi satu lumrah alam kiranya sesuatu tempat ini telah tidak punya kedamaian lagi, orang yang kuat akan memerintah dengan bermaharajalela sedang yang lemah pula terus tertindas. Itulah kelaziman yang akan berlaku kiranya alam ini sudah tidak lagi mengikut peraturan Allah.

 

Sidang Jumaat Sekalian,

Kalau kita bertanya dan sesiapa pun boleh bertanya tentang kebiasaan hidup yang diperlukan oleh seseorang manusia, rata-rata semua orang akan menjawab bahawa mereka inginkan kehidupan yang bebas, tidak mungkin orang yang waras tidak mahu hidup bebas, tetapi yang menjadi persoalan di sini sejauh manakah kebebasan itu diperlukan? Dan apakah pula tujuan kebebasan itu? Serta apakah asas kebebasan yang di kehendaki .

Kebebasan yang membabi buta tanpa panduan dan bimbingan akan membawa hidup manusia seperti di alam haiwan, bahkan mungkin lebih teruk dari itu kerana haiwan yang telah kenyang perutnya tidak lagi menganggu tanaman , sedangkan sebaliknya manusia yang telah kenyang, kaya raya, tidak akan berhenti sekadar itu sahaja, malah ia pasti akan mencuba lagi untuk mendapatkan yang selebihnya, tidak kira dari mana sumbernya, tidak dapat dengan cara yang baik maka dengan cara yang buruk. Ia akan merampas, menipu dan akan melakukan berbagai-bagai kekejaman yang lain untuk mendapatkan hak orang lain. Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 179 :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

Ertinya :

Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam itu bahyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi dan mereka itulah orang-orang yang lalai.

 

Dari ayat ini antara lain dapat difahami bahawa orang yang lalai dari tanda-tanda keagungan dan kebesaran Allah yang sedia ada di sekeliling mereka, baik buruk, kaya miskin, gagah lemah dan berbagai lagi, mereka semua tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari itu, maka semua mereka disifatkan oleh Allah sebagai haiwan , bahkan lebih sesat darinya. Haiwan telah disediakan oleh Allah pada semula jadi menyedari tentang kebesaran dan keagungan itu dari Allah, sedangkan manusia itu Allah tambahkan pada mereka hati yang lebih boleh mengusai, mata yang punya penglihatan serta telinga yang punya pendengaran. Maka sekiranya pancaindera itu semua tidak diberikan peranannya yang sebenar, maka manusia itu akan melalui kehidupannya dengan kelainan yang tidak berkesudahan. Firman Allah Taala dalam surah Al-Ahqaf ayat 26 :

وَلَقَدْ مَكَّنَّاهُمْ فِيمَا إِنْ مَكَّنَّاكُمْ فِيهِ وَجَعَلْنَا لَهُمْ سَمْعًا وَأَبْصَارًا وَأَفْئِدَةً فَمَا أَغْنَى عَنْهُمْ سَمْعُهُمْ وَلَا أَبْصَارُهُمْ وَلَا أَفْئِدَتُهُمْ مِنْ شَيْءٍ إِذْ كَانُوا يَجْحَدُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَحَاقَ بِهِمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

Ertinya :

Dan sesungguhnya Kami telah meneguhkan kedudukan mereka dalam hal-hal yang Kami belum pernah meneguhkan kedudukanmu dalam hal itu dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati; tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit juapun bagi mereka, karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh siksa yang dahulu selalu mereka memperolok-olokkannya.

 

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Kebelakangan ini kita dapati kekejaman dan penindasan sering berlaku dalam masyarakat di dunia. Masing-masing mendakwa punya kebenaran dan kebebasan tersendiri untuk melakukan apa sahaja yang mereka suka, walaupun apa yang mereka lakukan itu untuk merampas, menyiksa dan menipu hak orang lain, di mana undang-undang dunia sudah tidak punyai apa-apa lagi. Kerana itu semua adalah terhenti kepada sejauh mana kepetahan lidah untuk berkata-kata, ataupun berapa banyak wang yang boleh dinilai harga, semua keburukan dan kezaliman itu dapat ditebus dengan kata-kata serta longgokkan nilai wang yang punya kuasa. Kita boleh lihat ramai insan-insan di khemah pelarian menghadapi tekanan penyiksaan dengan kelaparan, bukan tidak ada yang membantu, tetapi apakah bantuan yang diberikan itu benar-benar sampai kepada mereka atau tidak ? Ataupun barangkali pula bantuan itu tidak mencukupi, kekejaman terhadap sesama berlaku di mana-mana, tetapi ternyata sudah bahawa selain dari peraturan Ilahi, tidak ada peraturan yang berupaya untuk menyelesaikan.

Di Timur Tengah terdapat jumlah yang agak besar dari orang-orang pelarian serupa ini, mereka tinggal di khemah-khemah Arab Palestin yang hidup menderita dan tersiksa akibat kekejaman dan kezaliman kaum Zionis Israel yang terkutuk. Semua itu adalah di antara contoh keganasan terhadap manusia yang semakin hari semakin menjadi-jadi, iaitu mereka membelakangi peraturan Allah. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 70-71 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا (70) يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Ertinya :

Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan katakanlah perkataan yang tepat benar (dalam segala benar). Ia akan memberi taufiq dengan menjadikan baik dalam segala amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

 

Bagi kita umat Islam, walaupun ditentukan oleh Islam supaya hidup bantu membantu mengerjakan amal saleh, tetapi kita juga diberikan oleh Allah Taala bagaiman amal saleh tersebut patut dilaksanakan, bukan ia dilakukan atau diperolehi dengan jalan yang zalim, kejam, munkar dan maksiat. Sepertimana ibadat haji itu wajib, tetapi dikutuk oleh Allah kiranya ia ditunaikan dengan perbelanjaan dari hasil haram. Sebenarnya ini semua adalah menepati maksud dan tujuan apa yang dikatakan zalim atau kejam.

وَضْعُ الشَّيْءِ في غَيْرِ مَحَلِّهِ فَهُوَ ظُلْمٌ

Ertinya : Meletakkan sesuatau tidak pada tempat adalah zalim.

Beramal dan membantah sesama manusia dengan jalan maksiat dan munkar bukan caranya yang dikehendaki oleh syarak. Bagaimana jadi sembahyang seseorang di kepala bersongkok, berserban tetapi berseluar pendek mendedahkan aurat. Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 100 :

قُلْ لَا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَاأُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya :

Katakanlah (wahai Muhammad) tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk ini menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang berakal fikiran supaya kamu berjaya.

 

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

 

Disediakan Oleh :

Sheikh Mohd Nor Bin Mansor Al-Hafiz

Ketua Penolong Pengarah

Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Perak

Hosted by www.Geocities.ws

1