KHUTBAH 8

KEISTIMEWAAN NABI MUHAMMAD S.A.W SEBAGAI RASUL

    اَلْحَمْدُِلله  الْقَائِل   

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ وَكَانَ اللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا 

اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,

          Sesungguhnya kita perlu bersyukur kepada Allah, yang telah memilih kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. Kita bersyukur kepada Allah kerana Nabi Muhammad S.A.W bukan sahaja semata-mata sebagai nabi yang terakhir tetapi adalah rasul yang terpilih dan rasul yang teristimewa. Dengan sebab keistimewaan Nabi Muhammad S.A.W menyebabkan kita sebagai umat Muhammad S.A.W dikira sebagai umat yang teristimewa.

 

Sidang Jumaat Sekalian,

          Ada di antara kita yang tidak memahami kebangkitan martabat Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi pilihan Allah sebagai rasul yang terakhir ini. Mereka menganggap jika Allah Taala memilih Nabi Muhammad S.A.W menjadi rasul, Allah Taala akan memilih orang lain sebagai rasul. Mereka seolah-olah cuba merendahkan martabat dan kedudukan Nabi Muhammad S.A.W di sisi Allah dan kedudukan Nabi Muhammad S.A.W di sisi umat Islam.

Sidang Jumaat Sekalian,

          Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W menjadi rasul kerana dipilih oleh Allah Taala dan Allah Taala berhak memilih sesiapa yang di kehendakiNya untuk menjadi rasul, tetapi keputusan Allah Taala memilih Nabi Muhammad S. A.W menjadi rasulnya telah disebut dan diputuskan oleh Allah Taala sejak zaman nabi-nabi terdahulu bermula Nabi Adam A.S lagi. Bukankah al-Quran sendiri menceritakan kepada kita bahawa para rasul terdahulu telah diberitahu oleh Allah Taala bahawa nabi akhir zaman ini ialah Muhammad S.A.W dan mereka diperintahkan agar memberitahu berita ini kepada umat mereka. Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 146 :  

الَّذِينَ ءَاتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ (146)

Ertinya :

Orang-orang yang kami berikan kepadanya kitab (Yahudi dan Nasrani) mengenali Nabi Muhammad S.A.W sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri, dan sesungguhnya sebahagian dari mereka menyembunyikan kebenaran itu, sesunguhnya mereka mengetahui.

 

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,

          Daripada manakah ahli kitab mengetahui sifat-sifat Nabi Muhammad S.A.W  ini ?  Tentulah daripada rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah kepada mereka, di mana rasul-rasul mereka itu mendapat berita daripada Allah sendiri. Dan daripada ayat ini juga menunjukkan bahawa tiada orang lain yang layak menjadi rasul akhir zaman melainkan Nabi Muhammad S.A.W.  Firman Allah Taala dalam surah al-Shaff ayat 6 :

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَابَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ

Ertinya : 

Dan berkata Isa anak Maryam; “ Wahai Bani Israil sesungguhnya aku ini Rasul Allah yang diutuskan kepada kamu untuk membenarkan apa yang ada sebelumku daripada kitab Taurat dan memberi khabar gembira tentang seorang rasul yang datang selepas ku yang bernama Ahmad yakni Nabi Muhammad S.A.W.

 

          Sesungguhnya percaya kepada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menjadi sebahagian daripada kalimah syahadah. Tidak percaya bahawa Nabi Muhammad S.A.W  adalah pesuruh Allah Taala atau ragu-ragu terhadapnya menyebabkan seseorang itu keluar daripada Islam atau dengan kata lain menjadi murtad. Tugas Nabi Muhammad sebagai rasul ini disebutkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran dalam surah al-Shaff ayat 9 :

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

Ertinya :

Dialah tuhan yang mengutuskan rasulnya dengan membawa pertunjuk dan agama yang benar supaya memenangkannya ke atas agama-agama lain seluruhnya , walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin.

 

 

          Di antara tugas kerasulan ini adalah sebagai penjelasan terhadap al-Quran. Melalui sunnah dan hadis Rasulullah S.A.W menjelaskan mengenai hukum hakam yang tidak dapat difahami di dalam al-Quran. Tanpa penjelasan ini maka sudah tentulah al-Quran yang merupakan kalam Allah tidak akan difahami  oleh umat Islam. Oleh yang demikian percaya dan beramal dengan hadis dan sunnah adalah wajib. Tidak percaya dan tidak mahu  beramal denagn hadis akan menyebabkan rosaknya iman dan terkeluar daripada ajaran Islam.

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

          Pandangan inilah yang dipegang oleh golongan anti hadis yang menolak hadis Rasulullah S.A.W sebagai sumber hukum Islam.  Mereka mahu memakai al-Quran sahaja. Mereka berkata; apabila sudah ada al-Quran maka hukum yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W tidak diperlukan lagi. Sedangkan al-Quran sendiri menjelaskan setiap perkataan daripada Rasulullah S.A.W atau perbuatannya atau takrirnya yakni yang disahkan oleh Rasulullah S.A.W bahawa sesuatu itu harus atau tidak dilakukan adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib diterima, kerana ianya juga datang dari Allah Taala. Allah Taala berfirman dalam surah al-Hasyr ayat 7 :

وَمَا ءَاتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Ertinya :

Apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W maka hendaklah kamu terima , dan apa-apa yang dilarang olehnya hendaklah kamu tinggalkan.

 

Sidang Jumaat Sekalian,

          Dengan sebab ketinggian martabat rasul di sisi Allah Taala, maka kita bukan sahaja dilarang mempersendakan Nabi Muhammad S.A.W dalam perkara-perkara wajib malah dalam perkara harus dan sunat seperti memotong kuku, menyimpan janggut dan menjilat jari selepas makan, kerana ini sebahagian daripada ajaran Islam yang sekiranya dilakukan boleh memberi pahala. Mereka yang mempersendakan perkara itu bukan sahaja berdosa besar malah boleh menyebabkan terjejas akidah dan keimanannya. Oleh yang demikian adalah lebih baik kita mendiamkan diri daripada kita memperkatakan sesuatu yang kita tidak benar-benar pasti mengenai agama.

 

Sidang muslimin sekalian,

          Hendaklah kita berhati-hati pada zaman yang penuh dengan fitnah ini, fitnah sebelum datang dajal yang sebenarnya, tetapi dipenuhi oleh dajal-dajal yang kecil yang cuba merosakkan iman umat Islam. Wajib ke atas kita umat Islam belajar tentang Islam untuk menangkis kekeliruan yang timbul dalam urusan agama dan kekeliruan yang sengaja ditimbulkan oleh musuh Islam. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Ertinya :  

“Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan kepada Allah dan balasan akhirat, serta mengingatkan Allah dengan banyak”.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ   وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

 

Disediakan Oleh :

Zahrimfuddin Bin Ahmad Zubir

Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan agama Islam Perak

Hosted by www.Geocities.ws

1