ILMU DAN IMAN ASAS KESEMPURNAAN AMAL
الحمد لله الذي قال : يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Saudara Sidang Jumaat Sekalian,
Suatu pekerjaan atau amalan yang tidak berdasarkan ilmu itu seringkali menghadapi kebuntuan atau kegagalan. Sebaliknya ilmu yang tidak diamalkan itu tidak mendatangkan faedah malah sia-sia sahaja. Barangkali tuan-tuan pernah mendengar sebuah peribahasa arab yang berbunyi :
اَلْعِلْمُ بِلاَ عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلاَ ثَمَرٍ
Maksudnya : Ilmu tanpa amal laksana pokok tidak berbuah.
Oleh kerana itu sebagai orang Islam khususnya diwajibkan menuntut ilmu pengetahuan.
Saudara Sidang Jumaat Sekalian,
Banyak ayat al-Quran memperkatakan kebesaran Allah dan keesaanNya di samping menyerukan setiap orang yang berakal fikiran sihat supaya memperhati kejadian langit dan bumi dengan segala isi kandungannya, tentang pertukaran siang dan malam beredar dengan teratur dan tetap, tidak terganggu. Kesemuanya itu, tidak mungkin terjadi dengan sendirinya, bahkan tentu ada yang menjadikannya dan mentadbirkannya. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 190 :
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلآفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ ِلأُولِي الأَلْبَابِ
Maksudnya :
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada peredaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan, dan kekuasaan rahmat Allah bagi orang-orang yang berakal.
Saudara Kaum Muslimin Sekalian,
Asas keimanan bagi seseorang itu ialah ilmu pengetahuan dan amalan. Jikalau seseorang itu tidak pernah mengenal harimau maka dia tidak tahu akan bahayanya. Kalau seseorang itu tidak mengenal ular berbisa, dia tidak akan tahu akibatnya. Kalau seseorang manusia itu tidak mengenal tuhannya, tentu ia tidak akan mengenal rasa takut kepada tuhannya. Oleh sebab itulah wahai saudara-saudara sekalian, orang-orang yang mengetahui dan arif tentang sesuatu hakikat itu, dia akan lebih takut dan berhati-hati. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T dalam surah al-Fathir ayat 28 :
وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالأَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
Maksudnya :
Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambanya hanyalah ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Apabila seseorang itu mengenal hakikat dirinya, bahawa dirinya makhluk yang serba kekurangan dan berkehendak kepada pertolongan, maka dia akan mengenal tuhannya, dan imannya makin mendalam kepada Allah tuhan yang wajib disembah. Dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat apabila menyebut perkataan orang-orang beriman (…الذين ءامنوا ) disusuli dengan perkataan (وعملوا الصالحات). Ini dapat difahamkan bahawa ilmu atau iman seseorang tanpa amal itu belumlah sempurna lagi. Iman itu bermaksud menyebut dengan lidah, percaya dalam hati dan beramal dengan anggota. Islam menyuruh kita berfikir memerhati dan meniliti kejadian alam, kejadian langit, bumi, laut. Kita disuruh melihat segala itu, betapa indahnya pemandangan dan kejadiaannya. Disuruh manusia memerhati kejadian dirinya sehingga manusia itu sendiri berpuas hati dengan apa yang dilihat dan kejadian benar-benar merupakan kejadian Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Esa. Untuk menetapkan iman dan keyakinannya kepada wujudnya Allah. Al-Quran menegaskan dalam al-Quran dalam surah al-Waqiah ayat 58-59 :
أَفَرَأَيْتُمْ مَا تُمْنُونَ (58) ءَأَنْتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُون َ(59)
Maksudnya :
(Mengapa kamu masih berdegil? ) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan ( ke dalam rahim ?) Adakah kamu yang menciptakannya atau kami yang menciptakannya ?.
Sidang Jumaat Sekalian,
Keimanan seseorang Islam tidak akan menjadi kuat dan kukuh jikalau tidak berdasarkan ilmu pengetahuan, dan ilmu pengetahuan itu tidak akan berguna sekiranya tidak dibuktikan dengan amal. Oleh kerana itulah dikatakan ilmu dean amal itu menjadi asas keimanan dan iman seseorang itu kadangkala berkurangan dan kadangkala bertambah. Ini telah dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Anfal ayat 2 :
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ ءَايَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ(2)
Maksudnya :
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatnya, menjadikan mereka bertambah beriman dan kepada tuhan mereka jualah mereka bertawakkal.
Di dalam dunia ini, mungkin dari dahulu lagi hingga ke hari ini, terdapat banyak manusia mendakwa dirinya berilmu. Jikalau kita mengatakan dia jahil, dia akan marah untuk mengetahui samada benar atau tidak, marilah kita mendengar firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 179 :
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ والاِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌ لاَ يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالاَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ(179)
Maksudnya :
Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami ayat-ayat Allah, dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya bukti keesaan Allah dan mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat) mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang yang lalai.
Dengan keterangan ayat tersebut tadi sebanyak mana pengetahuan yang dimiliki seseorang itu dan setinggi mana fikiran dan kemajuan yang dicapainya, selagi dia tidak beriman kepada Allah dan beramal dengan perintahnya, selagi itulah dia jahil dan bodoh.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Disediakan Oleh :
Al-Ustaz Nazruddin Mat Zain
Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Perak