BAHAYA FITNAH
الحمد لله الذي يهدي من يشاء إلى صراط المستقيم أحمده سبحانه وهو الرب الكريم العظيم اَشْهَدُ اَنْ لاَ الــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ اما بعد فيا ايها الناس اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia ,
Bertaqwalah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taqwa , dan janganlah kita tergolong dari mereka yang suka menyebarkan fitnah. Jauhkanlah diri kamu dari gejala-gejala fitnah, kerana yang demikian itu boleh membawa kamu kepada kesesatan yang lebih jauh. Fitnah adalah satu perkataan yang tidak asing lagi bagi masyarakat kita. Boleh dikatakan rata-rata kita dapat memahami bahawa fitnah itu adalah juga merupakan suatu perbuatan atau tindakan atau perkhabaran atau berita yang boleh mengakibatkan sesuatu yang keji. Ini adalah di sebabkan pendustaan serta sikap tidak jujur dan tidak amanah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan perbuatan, tindakan atau penyebaran berita dan perkhabaran kepada masyarakat umum atau sesiapa sahaja samada berbentuk perseorangan mahu pun jemaah ramai. Tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap satu sama lain boleh juga menimbulkan fitnah, mengikut kamus bahasa معجم من اللغة karangan Al-Sheikh Ahmad Redha mentakrifkan fitnah ialah :
مَا يَقَعُ فِيْهِ النَّاسُ مِنَ اْلِأخْتِلَافِ أَوِ اْلَحرْبِ وَالقِتَالِ
Yang bermaksud :
Suatu yang boleh menimbulkan perselisihan faham atau pergaduhan atau peperangan dan pembunuhan .
Islam amat tidak meretui segala bentuk fitnah yang dilakukan oleh umat manusia, apatah lagi umat Islam sendiri . Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 25 :
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Ertinya :
Dan jagalah diri kamu daripada (berlaku) dosa yang membawa bencana fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (bahkan akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab siksanya .
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Membiarkan perbuatan-perbuatan maksiat berkembang dalam masyarakat akan lebih membawa bencana fitnah, bukan sahaja kepada orang-orang yang berdosa dan zalim itu sahaja, bahkan juga kepada masyarakat umum, oleh sebab itu setiap muslimin bukan sahaja diwajibkan menjauhi dirinya daripada perbuatan yang dilarang oleh Allah S.W.T, tetapi juga lebih dari itu, iaitu berkewajipan pula mencegah perbuatan itu dari merebak di dalam masyarakatnya. Sesungguhnya perbuatan menaburkan fitnah dalam masyarakat adalah suatu perbuatan yang boleh memesongkan iman seseorang, bertindak menabur fitnah dengan berita yang dipalsukan atau yang telah diubah suai dari hakikat dan kenyataan sebenarnya memanglah mudah, tetapi kesan dari fitnah itu amat merbahaya sekali, kerana itulah Allah SW.T mengingatkan kita dengan firmannya :
اَلْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ
Ertinya : Fitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh.
Awaslah sesungguhnya bangkai gajah itu bukan sahaja tidak dapat ditutup dengan nyiru, tetapi bau busuknya itulah yang mendedahkan rahsia segala-galanya. Firman Allah dalam surah al-Buruj ayat 10 :
إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ
Ertinya :
Sesungguhnya yang menaburkan fitnah untuk memesongkan orang mukmin lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana mereka tidak bertaubat).
Oleh yang demikian sebagai seorang muslim yang melakukan sembahyang, puasa, sedekah dan amar makruf nahi munkar umumnya, hendaklah berhati-hati supaya tidak terjerumus ke dalam lembah fitnah yang merbahaya ini. Setiap perkataan yang diucapkan, setiap langkah dalam tindakan dan setiap berita yang disiarkan, hendaklah dijauhi dari semua bentuk fitnah, kerana kiranya berlaku fitnah bukan orang lain sahaja akan mendapat bencana, tetapi juga berucap, yang bertindak dan yang menyebarkan berita-berita itu sendiri juga akan turut sama menghadapi kutukan dan kemurkaan Allah S.W.T. Sabda Nabi Muhammad S.A.W :
ِفْتنَةُ الرَّجُلِ فِىْ أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَنَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاةُ وَالصَّوْمُ وَالصَّدَقَةُ وَاْلَأمْرُ بِالْمَعْرُوْفِ وَالنَّهْيُ عَنِ الْمُنْكَرِ
Maksudnya :
Fitnah seseorang lelaki pada keluarganya, hartanya, anak-anak dan jiran tetangganya, semua itu akan dihapuskan dosanya oleh amalan-amalan sembahyang, puasa, sedekah dan amalan kebajikan amar makruf nahi munkar (yang telah dikerjakan).
Untuk memelihara perhubungan yang harmoni dan kemesraan yang sejati di kalangan semua anggota masyarakat muslim, maka kita semua sama-sama bertanggungjawab menjadikan peraturan dan disiplin Islam itu sebagai landasan hidup. Perlaksanaan dan kepatuhan kepada disiplin itu tidaklah seharusnya didasarkan kepada bangsa dan warna kulit, tinggi atau rendahnya status orang itu dalam masyarakat adalah hak semua orang, terutama masyarakat Islam. Islam tidak merestui sesebuah mahligai dibina di atas runtuhan umat Islam yang lain. Sabda Nabi Muhammad S.A.W :
ِسبَابُ اْلمُسْلِمِ فُسُوْقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ وَحُرْمَةُ مَالِهِ كَحُرْمَةِ دَمِهِ
Maksudnya :
Menghina dan memaki hamun seseorang muslim itu menyebabkan fasik, bertindak membunuhnya adalah kafir dan pengharaman hartanya (tidak boleh dibahagikan) adalah seperti mana juga pengharaman darahnya . (Hadis Riwayat Thobroni)
Kaum Muslim Yang Berbahagia,
Bagi mengelak bahaya-bahaya fitnah ini supaya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat itu, maka tindakan yang berhati-hati dan lebih hormat sangat-sangat diperlukan, terutamanya dalam menerima perkhabaran yang datang kepada kita . Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dengan firmannya dalam surah al-Hujarat ayat 6-7 :
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ(6)وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِي كَثِيرٍ مِنَ الْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الْإِيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُولَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ
Ertinya :
Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya) supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya, sehingga menjadikan kamu menyalahi apa yang telah kamu lakukan.Ketahuilah bahawasanya ada kamu ada Rasulullah ( Maka janganlah kemahuan kamu mendahului pentadbirannya) kalaulah dia menurut kehendak kamu dalam kebanyakkan perkara tentulah kamu akan mengalami kesukaran, akan tetapi (Rasulullah) tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya (Dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman satu perkarta yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan derhaka pula perkara-perkara yang kamu keji. Mereka yang bersifat demikian ialah orang yang tetap berada di jalan yang lurus.
Keharmonian, kemesraan dan perpaduan adalah impian oleh semua umat manusia walaupun ia terdiri dari seorang pencuri dan perompak yang ganas, namun ia tidak merelakan hartanya pula dicuri dan dirompak oleh orang lain. Oleh itu hindarilah dari angkara fitnah. Firman Allah dalam surah Yunus 75-76 :
فَقَالُوا عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ(85)وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Ertinya :
Kepada Allah jualah kami bertawakkal, Ya Allah janganlahengkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim dan selamatkanlah kami dengan rahmatmu dari angkara kaum kafir.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Disediakan Oleh :
As-Sheikh Mohamad Nor Bin Mansor Al-Hafiz
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Perak