KHUTBAH 24

ANCAMAN BAHAN LUCAH DAN KUMPULAN BLACK METAL

 

الحمد لله القائل : زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ أَشْهَدُ اَنْ لااِلهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ. اما بعد, فيا عباد الله اِتَّقُوْا الله وَاُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 

Muslimin Sidang Jumaat Sekalian,

Marilah sama-sama kita mendengar satu hadis yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

Dua kaki seorang hamba itu akan tetap (berada di padang mahsyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan : tentang umurnya, di manakah dihabiskan tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan, tentang hartanya, bagaimana diperolehi dan bagaimana digunakan dan tentang amalannya, apakah yang diamalkannya.

 

Di antara keempat-empat soalan tersebut, terdapat satu soalan yang Allah akan tujukan kepada setiap manusia semasa berada di Padang Mahsyar iaitu berkaitan dengan usia muda. Kita akan disoal bagaimana kita menghabiskan masa muda kita, adakah dengan melakukan ketaatan kepada Allah atau disia-siakan zaman muda kita dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Sebahagian besar golongan pemuda Islam pada hari ini sudah tidak lagi mentaati Allah. Ini dibuktikan dengan tingkahlaku mereka yang melakukan berbagai maksiat seperti meninggalkan sembahyang. Mereka merasakan bahawa ibadat sembahyang itu sangat membebankan mereka seolah-olah lebih payah daripada mendaki gunung yang tinggi. Suasana yang parah hari ini di mana pergaulan bebas di kalangan muda-mudi tanpa ikatan perkahwinan yang sah begitu ketara hingga menyebabkan berlaku gejalanya sosial yang dahsyat seperti berzina, jenayah rogol dan membuang anak yang lahir daripada perbuatan zina tersebut . Ini semua kebanyakannya adalah akibat dari pengaruh filem-filem lucah dan majalah-hajalah lucah yang kini dijual secara terbuka.

 

Sidang Jumaat Sekalian,

Adakah kita sedar atau tidak bahawa kita sekarang ini sedang berada diambang kegawatan budaya dan nilai hidup yang amat teruk dan membimbangkan. Lihatlah sekeliling kita, apakah yang sudah terjadi kepada anak bangsa kita yang beragama Islam? Kelihatan di mana-mana sahaja sudah berlaku berbagai-bagai peristiwa yang menyayat hati seperti gadis bertudung dirogol pemandu bas, remaja merogol dan membunuh rakan sekelas dan berbagai kes yang tidak pernah tergambar akan dilakukan oleh seorang Islam . Ini dapat kita lihat di dalam akhbar-akhbar tempatan dimana saban hari ada sahaja kes sedemikian berlaku sehingga melibatkan kanak-kanak di bawah umur yang sebahagiannya tidak memahami langsung apa yang dialaminya. Alangkah sedihnya ibu bapa mereka. Apakah punca semuanya ini? Kajian pihak yang berwajib mengenal pasti beberapa sebab antaranya :

 

* Kemunculan vcd-vcd lucah, majalah-majalah lucah yang amat mudah didapati di semua premis perniagaan sehinggakan pelajar-pelajar sekolah pun begitu senang mendapatkannya malah turut mengedarkannya, bagai menjual pisang goreng panas di tepi jalan, MasyaAllah ………

 

* Kurangnya didikan agama yang berpunca dari ibu bapa yang jahil tentang agama di mana dapat kita lihat kehidupan sesebuah keluarga yang tidak berpendidikan agama atau kurangnya didikan agama. Maka kekacauan berlaku apabila anak-anak boleh menonton vcd lucah bersama keluarga dan akhirnya berlaku sumbang mahram, bersekedudukan antara anak dan bapa akibat pengaruh bahan-bahan lucah tersebut. Anak-anak yang kurang didikan agama amat mudah terpengaruh dengan sogokan rakan sebaya yang mengajak menonton tayangan yang berunsur lucah dan akhirnya timbul perasaan ingin mencuba. Akibatnya perempuan yang lemah menjadi mangsa lantaran bisikan syaitan yang sentiasa mengajak manusia ke arah kesesatan dan kemurkaan Allah.

Sanggupkah kita melihat anak-anak kita atau adik perempuan kita menjadi mangsa kekejaman manusia yang bertopengkan syaitan dan kekejaman itu bukan sahaja berlaku di kalangan remaja bahkan di kalangan mereka yang berusia lanjut. Fikirkanlah akibatnya jika langkah pencegahan tidak diambil terhadap penjual bahan-bahan lucah yang sedang bermaharajalela mengutip keuntungan atas kebiadapan terhadap tatasusila Islam sendiri dan nantikanlah azab dan balasan dari Allah sebagaimana firmannya dalam surah Al-Rum ayat 41 :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ(41)

Maksudnya :

Telah nyata kerosakan di darat dan di laut di sebabkan kerana perbuatan manusia, sehingga Allah merasakan sebahagian dari perbuatan mereka agar mereka kembali .

Tidak habis dengan isu bahan lucah, isu black metal pula bermaharajalela. Golongan ibu bapa, tokoh-tokoh agama, pemimpin dan semua lapisan masyarakat hendaklah bersama-sama berkongsi kerunsingan kerana isu black metal ini adalah melibatkan maruah Islam dan umatnya. Black Metal adalah aliran muzik yang berfahaman anti ketuhanan dan memuja syaitan. Semenjak penubuhan kumpulan itu pada lewat tahun 60an dipercayai sudah beribu-ribu judul album yang memuatkan lagu-lagu menentang ketuhanan dan memuja syaitan telah dihasilkan dan diedarkan keseluruh dunia tanpa sekatan termasuklah negara kita Malaysia.

Kumpulan yang menjadi sasaran perangkap black metal ini adalah golongan remaja dan belia yang terdiri dari kanak-kanak sekolah, lepasan sekolah dan yang berumur belasan tahun. Mereka ini lebih mudah terpengaruh kerana hiburan menjadi alat kepada kumpulan ini mengembangkan fahaman mereka dan sudah tentulah anak-anak muda mudah terjebak dengannya kerana hiburan dan anak muda adalah dua perkara yang sentiasa bersama dan sukar dipisahkan atau dengan kata lain hiburan dan anak muda adalah sinonim.

Di antara cara mengenali kumpulan ini ialah mereka memakai pakaian serba hitam, memakai baju lambang salib dan bintang berbucu lima terbalik sebagai menunjukkan tanda penentangan mereka terhadap agama. Pengembangan black metal dan budaya negatif yang lain yang lain seperti hiburan berbentuk rock serta liar dan melampaui batas-batas agama di mana terdapat upacara pembukaan konsert dengan meminum darah, membunuh binatang, melakukan seks bebas dan kencing di atas al-Quran. Apakah kita tidak merasa tercabar dengan perbuatan-perbuatan mereka semua itu? Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk melemahkan umat Islam dan mereka menjadikan remaja-remaja Islam sebagai sasaran utama bagi menjayakan hasrat mereka dan apa yang sedang kita perhatikan sekarang ini maka ternyatalah usaha-usaha mereka telah berjaya dan bersoraklah mereka meraikan kejayaan yang telah dirancang sekian lama dan kita umat Islam tersentak kerana kejutan yang dahsyat itu sambil menyesali diri apa yang telah berlaku. Firma Allah dalam surah al-Baqarah ayat 120 :

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ(120)

Ertinya :

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada mu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) sesungguhnya pertunjuk Allah (Agama Islam) itulah pertunjuk yang benar dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya pengetahuan kepada mu (tentang kebenaran) maka tiada engkau akan perolehi daripada Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu .

 

Begitulah sebahagian daripada contoh kerosakan perangai dan akhlak di kalangan muda-mudi hari ini. Siapakah yang bersalah dalam soal ini ? Seseorang itu tidak boleh menuduh orang lain melainkan mereka hendaklah bersama-sama membuat perhitungan sendiri. Tiada seseorang yang terkecuali daripada tanggungjawab yang besar ini bermula dari individu, keluarga, masyarakat dan negara. Marilah kita sama-sama membentuk diri kita menjadi seorang yang patuh kepada Allah Taala.

 

 

 

Saudara Sidang Jumaat Sekalian,

Telah sekian lama kita membiarkan syaitan bermaharajalela. Telah sekian lama kita hanya mementingkan kebendaan hingga lupa kepada agama. Telah sekian lama kita membiarkan maksiat berlaku di hadapan kita hinga segala maksiat dianggap biasa. Walau sehebat manapun undang-undang yang ada tidak akan ada maknanya jika tidak dikuatkuasakan. Biarlah kesilapan yang lalu dengan membiarkan segala bahan lucah, bahan-bahan yang merosakkan aqidah dan hiburan-hiburan yang melampau kita tebus dengan usaha-usaha yang bersunguh-sungguh dalam membasmi dan menghalang penyebarannya di kalangan masyarakat.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

 

 

Disediakan Oleh :

Al-Ustaz Zahrimfuddin Bin Ahmad Zubir

Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Perak

Hosted by www.Geocities.ws

1