KHUTBAH 9

ALLAH MEMILIKI SEKELIAN ALAM

الحمد لله القائل : خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ  اَشْهَدُ اَنْ لاَ ِالــهَ اِلاَّ الله وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الــِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ.

عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekelian,

          Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita terhadap Allah S.W.T kerana kita semua masih bertuhankan Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat. Nyatakanlah juga kesyukuran kita terhadap Allah S.W.T di atas segala nikmat hidup yang telah dilimpahkan kepada kita semua. Sesungguhnya nikmat yang telah dilimpahkan oleh Allah S.W.T adalah terlalu banyak sehinggakan tidak terhitung oleh kita. Ketahuilah bahawasanya kehadiran kita berkumpul beramai-beramai di dalam rumah Allah pada waktu ini juga tiada lain semuanya adalah kerana limpah perkenan dan restu Allah S.W.T terhadap kita.

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah sekalian,

          Seterusnya saya ingin menyeru tuan-tuan dan diri saya sendiri untuk bertakwa kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar takwa. Dan marilah setiap daripada kita yang hadir di  dalam rumah Allah pada hari ini mengkaji, merenung  dan menghayati apakah yang telah dilakukan oleh kita sebagai persiapan untuk menemui Allah S.W.T, tuhan yang menakluki keseluruhan alam. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Hasyr ayat 18 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya :

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu semua kepada Allah dan hendaklah setiap jiwa memerhatikan apakah yang telah dilakukan sebagai persiapan untuk hari esok dan bertakwalah kamu semua kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui segala apa yang kamu lakukan.

 

Daripada ayat yang dibacakan tadi, ingatlah dengan ingatan yang sebenar-benarnya bahawa semua kita akan mati dan semua kita akan berhadapan dengan Allah tuhan Rabbul Jalil  di hari perhitungan nanti. Maka bertanyalah kepada diri masing-masing, bagaimanakah keadaan yang kita mahu apabila kita berhadapan dengan Allah nanti ? Apakah kita mahu menjadi manusia yang mendapat kemuliaan pada hari itu atau apakah kita mahu menjadi manusia yang mendapat kehinaan daripada Allah pada hari tersebut ?

Ketahuilah oleh kita semua bahawasanya di kalangan manusia di atas muka bumi Allah ini, ramai yang kaya raya dengan wang dan harta benda tetapi menjadi miskin dan papa kedana di Hari Penghisaban nanti. Ramai di kalangan manusia yang asyik ketawa, bergembira dan bersuka ria tetapi menangis dan hina di hari perhitungan kelak. Ketahuilah ramai di kalangan manusia yang bongkak dan sombong dengan kedudukan masing-masing tetapi menjadi kecut dan malu yang sehina-hinanya di hari perhimpunan nanti.

Oleh itu, cukuplah dengan segala bentuk keingkaran yang telah kita lakukan selama ini. Tinggalkanlah segala kehidupan kita yang dahulunya yang penuh dengan kejahilan dan kemungkaran. Dan binalah kehidupan baru yang bercahaya denagn ilmu, iman dan amal salih. Dengan yang demikian barulah kita berpeluang untuk merubah kehidupan di dunia dan lebih-lebih lagi di Hari Akhirat.

 

Sidang Jumaat Sekalian,

          Di dalam kesempatan Khutbah Jumaat pada minggu ini, saya ingin mengajak kita semua supaya menghayati alam Allah yang terbentang luas di hadapan kita. Lihatlah kepada langit yang tidak bertiang, lihatlah bumi yang dianugerahkan kepada kita yang penuh dengan segala bentuk kenikmatan yang tidak terhingga, nikmat yang kita sedang nikmati sekarang ini.           Tatkala ini tidakkah kita dapat merasai betapa indahnya alam ini? Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa alam yang terbentang di hadapan kita ini sangat-sangat indah. Tetapi yang lebih lagi apakah kita dapat melihat di sebalik keindahan tersebut ?

          Tidakkah kita terasa untuk mengetahui siapakah gerangan yang mencipta alam ini dengan begitu indah sekali? Soalan ini memang mudah dijawab kerana sekiranya ditanya kepada kebanyakan manusia di atas muka bumi ini siapakah yang mencipta alam ini, tentulah sekali mereka menjawab Allah ! Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 61 :

 

 

 

 

 

 

Ertinya :   Dan sesungguhnya jika engkau bertanya kepada mereka , siapakah yang menjadikan langit dan bumi , yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk) sudah tentu mereka menjawab Allah. Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsu daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahnya )  ?.

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Ertinya :

Dan sesungguhnya jika engkau bertanya kepada mereka siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan memudahkan matahari dan bulan. Pasti mereka menjawab, Allah. Maka bagaimanakah mereka boleh diberpalingkan.

 

          Benar ! Jawapan yang diberikan oleh manusia itu memang benar, tetapi jawapan itu terhenti setakat itu sahaja. Kenapakah manusia berhenti setakat itu sahaja ? Sedangkan sekiranya manusia itu terus menyuluh dan mengkaji, merenung dan menghayati sudah tentu manusia itu akan mendapati bahawa yang mencipta alam ini adalah Allah yang Maha Pencipta, yang Maha Mengetahui, yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa. Begitu mudah bagi Allah untuk mengadakan sesuatu kerana di atas kuasa mutlak baginya. Allah itu berbuat sesuatu sekehendaknya. Di atas kalamnya “jadi” maka jadilah sesuatu. Tidak ada sesiapapun yang dapat mencabar dan menandingi kuasanya kerana dialah Allah yang Maha Esa, dan dengan keesaannya itulah menjadikan dia itu raja yang menakluki keseluruhan alam dunia dan juga alam akhirat.

 

Saudara Sidang Jumaat Yang Dihomati Sekelian,

          Dengan keterangan-keterangan yang telah disebutkan sebentar tadi, saya ingin menyeru setiap daripada kita yang hadir pada hari ini supaya mentauhidkan Allah dengan sepenuh hati kita dan jangan sesekali kita mensyirikkan Allah di dalam apa jua bentuk sekali. Apalah maknanya bagi golongan yang hanya pandai melafazkan kata-kata bahawa Allah itu yang Maha Esa, yang Maha Besar, yang Maha Mulia, yang Maha Kuasa dan yang Maha Sempurna. Sebaliknya perjalanan hidup mereka jelas menunjukkan keingkaran sekaligus penafian terhadap hak dan kuasa mutlak bagi Allah, satu-satunya tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini.

          Kalau kita mengatakan Allah itu adalah tuhan yang Maha Esa, di manakah kenyataannya apabila manusia itu terus bertuhankan hawa nafsu, wang ringgit, harta benda, pangkat dan kedudukan ? Kalaulah kita mengatakan Allah itu adalah tuhan yang Maha Besar, di manakah kenyataannya apabila manusia itu terus menerus membesarkan akan diri masing-masing? Kalaulah kita mengatakan Allah itu adalah tuhan yang Maha Mulia, di manakah kenyataannya apabila manusia itu sentiasa mempertikaikan hukum dan peraturan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas mereka ?

          Begitulah manusia, pendustaan demi pendustaan mereka lakukan terhadap Allah yang Maha Mengetahui . Apakah yang telah terjadi kepada manusia? Bukankah manusia itu sebaik-baik ciptaan Allah? Bukankah Allah telah mencipta dan mengurniakan akal kepada manusia untuk mereka berfikir dan menilai yang mana itu kebenaran dan yang mana itu kebatilan. Namun segala-galanya disia-siakan oleh manusia.

Kenapakah manusia berpaling daripada kebenaran Allah ? Apakah dik kerana Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang lantas menjadikan manusia mengambil kesempatan dengan berlengah-lengah di dalam ketaatan terhadap Allah ? Apakah dik kerana Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat lantas menjadikan manusia itu menjadi golongan yang tidak malu dan tidak takut untuk melakukan pelbagai keingkaran terhadap Allah?

 

 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

          Walau apapun yang dilakukan oleh manusia terhadap Allah, ketahuilah bahawasanya Allah tetap Allah, sedikit pun tidak berubah lantaran itu Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. Bahkan manusialah yang memerlukan pertolongan Allah di dalam semua lapangan hidup. Oleh itu jangan sesekali kita mensia-siakan kehidupan kita di dunia ini dengan melakukan keingkaran demi keingkaran terhadap Allah yang sentiasa berlaku baik terhadap kita. Firman Allah S.W.T :-

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ  بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ  اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا  وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ  ِليْ وَلَكُمْ وَ لِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

 

Disediakan Oleh :

Mohd Yusuf Bin BadBadray

Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah

Jabatan agama Islam Perak

Hosted by www.Geocities.ws

1