Penyusunan Semula Struktur Organisasi JUPEM

ke arah sebuah organisasi yang mantap, dinamik dan mesra pelanggan

Berikutan dengan peranan JUPEM yang semakin penting dan mengikut perkembangan semasa, satu kertas cadangan bagi penyusunan semula struktur baru telah dikemukakan ke Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi pada 25 Mei 2001.

Lanjutan daripada itu, beberapa siri taklimat dan lawatan oleh pihak Bahagian Pembangunan Organisasi Jabatan Perkhidmatan Awam telah diadakan di Ibu Pejabat, Pulau Pinang dan Kota Bharu.

Seterusnya pada 19 Februari 2002, pihak JPA telah membentangkan cadangan penstrukturan baru JUPEM di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Mengkaji Jawatan-jawatan Tertinggi (JKTT) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Berkuatkuasa mulai 16 Mei 2002, JUPEM telah melaksanakan penyusunan semula struktur barunya yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Waran Perjawatan Bil:E 20 Tahun 2002 mengikut Seksyen 15(a) Akta Prosedur Kewangan 1957.

Struktur baru ini menggantikan struktur yang dilaksanakan sejak tahun 1994 berikutan pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB). Ini merupakan penstrukturan kali ke dua sejak pelaksanaan SSB dan ianya adalah di antara jabatan kerajaan yang terawal melaksanakannya di abad baru ini. Pelaksanaannya adalah lebih menjurus kepada pengembangan perkhidmatan, penyediaan dan penyebaran maklumat geospatial yang efisien dan berkesan. Namum begitu, JUPEM terus mengekalkan objektif dan fungsi utama dalam dua aktivitinya iaitu kadaster dan pemetaan.

Di bawah struktur baru ini, JUPEM dibahagikan kepada tiga program iaitu Pejabat Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan, Bahagian Pemetaan dan Bahagian Kadaster.

Konsep penyusunannya adalah berdasarkan ‘zero base’ di mana penekanan dibuat kepada kehendak fungsi program utama JUPEM. Ia dirancang sedemikian supaya tiada pertindihan tugas sama ada di peringkat program ataupun seksyen-seksyen di bawahnya.

Sementara itu, seksyen-seksyen yang terletak di bawah Pejabat Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan adalah berperanan dalam melaksanakan dasar pengurusan dan pembangunan secara keseluruhan.

Pelbagai sudut dan aspek serta beberapa elemen baru telah diambil kira dan dimasukkan ke arah menjadikan sebuah organisasi yang mantap, dinamik dan mesra pelanggan.

Penyusunan semula ini telah menyebabkan pertambahan bilangan kakitangan daripada 4433 kepada 4972 iaitu pertambahan kakitangan sebanyak 539 dan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM 10.853 juta setahun. Selain itu, 1 jawatan Penasihat Undang-undang telah diwujudkan dan diletakkan terus di bawah seliaan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan.

Terdapat satu perubahan besar dalam penstrukturan semula ini di mana JUPEM akan melaksanakan dengan sendiri urusan yang melibatkan perkhidmatan dan kewangan Sebelum ini, urusan perkhidmatan dan kewangan dilaksanakan oleh kementerian.

CARTA ORGANISASI BARU

CARTA ORGANISASI LAMA

Hosted by www.Geocities.ws

1