Ukur Barometer

 

Merupakan satu kaedah penentuan beza tinggi di antara dua titik berturutan dengan peralatan barometer.  Konsep asas - tekanan atmosfera berkadar songsang terhadap ketinggian.  Alat barometer digunapakai untuk mengukur variasi tekanan udara di antara titik yang terletak secara berturutan.  Oleh kerana tekanan udara bergantung kepada ketinggian sesuatu titik di atas purata aras laut, altitud titik-titik boleh diperolehi berdasarkan variasi tekanan udara.

Kaedah pengukuran ini sesuai untuk kawasan yang mempunyai beza tinggi yang ketara, seperti kawasan berbukit bukau atau semasa membuat kerja-kerja peninjauan.

Tekanan atmosfera dipermukaan laut adalah 1 kg/sm persegi, dan berkurang relatif dengan pertambahan altitud.  Perbezaan tinggi raksa sebanyak 1 sm adalah sepadan dengan perbezaan altitud sebanyak 108 m.

 


JENIS BAROMETER

Terdapat dua jenis barometer, iaitu barometer mercury dan barometer aneroid.

Barometer mercury - mengandungi tiub kaca sepanjang 76 sm dan diletakkan mercury.  Tekanan atmosfera diperolehi melalui ketinggian turus mercury dengan bantuan skala vernier untuk membolehkan bacaan sehingga 0.1 mm di baca.  Peralatan ini boleh digunakan pada station tetap, tetapi jarang digunapakai keranan mudah pecah, sukar memindahkan alat dari satu stesen ke stesen lain dan memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan bacaan terutama apabila keadaan atmosfera berubah-ubah.

Barometer Aneroid - mengandungi kotak hampagas (vacuum) dengan diameter 8 - 12 sm.  Alat ini kurang tepat berbanding barometer mercury tetapi kerap digunakan dalam kerja-kerja ukur.  Bahagian atas kotak mengandungi bahagian anjal yang membolehkan perubahan tekanan disampaikan kepada bahagian dalam alat untuk tujuan perekodan.  Alat ini mengandungi dua skala, bahagian luar untuk altitud dan bahagian dalam untuk turus mercury.  Beza altitud boleh diperolehi pada ketepatan 6 - 15 m.

 


KAEDAH PENGUKURAN

Terdapat dua kaedah yang boleh digunapakai, iaitu kaedah cerapan tunggal dan kaedah cerapan serentak.

Kaedah cerapan tunggal - hanya satu barometer digunakan.  Barometer dibawa daripada satu stesen ke stesen lain, dan berakhir pada station permulaan.  Pada setiap stesen, hanya satu bacaan diambil.  Waktu cerapan dan suhu juga di ambil.  Kaedah ini banyak dipengaruhi oleh kesan ralat atmosfera kerana perubahan atmosfera di antara satu-satu cerapan (stesen berlainan) yang dilakukan.

Kaedah cerapan serentak - memerlukan penggunaan 2 barometer.  Kedua-duanya di bandingkan sebelum digunakan.  Salah satu barometer diletakkan pada stesen permulaan dan yang satu lagi di bawa ke stesen-stesen hendak diukur.  Bacaan barometer pada stesen permulaan dan stesen dikehendaki dibaca serentak untuk menghapuskan ralat disebabkan perubahan atmosfera.  Waktu cerapan dan suhu juga diambil.  Perubahan suhu mempengaruhi ketepatan sehingga 3 m atau lebih.  Dengan prosidur yang ditetapkan, ketepatan boleh diperolehi sehingga 1.5 m.


ALTIMETER

Altimeter adalah barometer yang direkabentuk untuk mendapatkan beza tinggi, bukannya ketinggian sebenar.  Ia diubahsuai untuk memberikan ketepatan sehingga 0.6 - 1.5 m.  Altimeter yang kerap digunapakai ialah American Paulin System Altimeter dan Wallace and Tiernam System Altimeter.

Hosted by www.Geocities.ws

1