![]() |
![]() DR. NIK NASHRUDDIN |
Teknologi Remote Sensing atau penderiaan jauh merupakan teknologi yang menggunakan satelit untuk merakam gambar sebarang aktiviti alam dan manusia di bumi. Ia mula diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) untuk tujuan ketenteraan terutama semasa peperangan.
Pada 1972 AS turut menggunakan teknologi itu untuk mengintip keluasan tanaman gandum Russia. AS berbuat demikian untuk menganggarkan keluaran gandum Russia sekali gus AS dapat menentukan harga gandum itu di pasaran dunia. Malah di Thailand, teknologi itu digunakan untuk mengesan tanaman pokok ganja iaitu popi yang terletak di kawasan pedalaman.
Di negara kita teknologi itu lebih ditumpukan terhadap usaha memantau keadaan alam sekitar. Antaranya mengesan jika ada tumpahan minyak di laut, tanah runtuh, kebakaran hutan atau pembalakan hutan secara haram di samping membantu nelayan mengesan kawasan laut yang mempunyai banyak ikan. Menurut Pengarah Pusat Remote Sensing Malaysia (Macres), Dr. Nik Nasruddin Mahmood, teknologi berkenaan menggunakan satelit khas yang mengorbit bumi.
Satelit itu terletak kira-kira 600 sehingga 900 kilometer daripada permukaan bumi iaitu lebih dekat dengan bumi berbanding satelit komunikasi. Satelit remote sensing yang pertama di digelar LandSat-1 milik AS tetapi pada masa ini terdapat lebih 10 satelit sedemikian di angkasa lepas. Ia dimiliki oleh AS, Kanada, Perancis dan India tetapi jangka hayat satelit itu hanyalah antara lima sehingga tujuh tahun. Negara kita menggunakan satelit milik Perancis yang diberi nama Spot dan terdapat tiga satelit Spot iaitu Spot-1, Spot-2, Spot-4 dan Spot-5.
Di dalam satelit tersebut mempunyai penderia khusus seperti kamera digital tetapi ia lebih canggih kerana dapat merakam gambar dari jarak yang jauh. Setiap kali ia melalui negara kita ia akan merakamkan gambar dan kemudian gambar-gambar itu akan diterjemahkan dalam bentuk data. Data-data itu kemudian akan dihantar ke stesen-stesen bumi apabila satelit itu melalui stesen berkenaan. Negara kita masih belum mempunyai stesen tersebut tetapi negara jiran kita seperti Indonesia, Thailand dan Singapura telah mempunyainya.
Menurut Nik Nasruddin, kita sudah membina stesen itu terletak di Temerloh, Pahang dan ia dijangka akan beroperasi pada Disember tahun ini. Oleh kerana data-data berada di stesen bumi negara jiran, selalunya maklumat yang kita peroleh agak lambat daripada masa sebenar kejadian itu berlaku. Justeru itu menurut Nasruddin, kita harus mempunyai stesen bumi sendiri supaya datanya yang diperoleh adalah dalam waktu sebenar, banyak dan murah. Walau pun data kita dihantar ke negara jiran, kita tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan mereka mengintip kita melalui data-data yang diperoleh. Ini kerana untuk tujuan ketenteraan ia memerlukan data beresolusi yang tinggi dan hanya negara seperti Russia dan AS sahaja yang mempunyainya.
Di negara kita, Macres memainkan peranan penting untuk meningkatkan penggunaan teknologi remote sensing yang menyeluruh. Macres menyediakan tenaga mahir dalam pengaplikasian dan penyelidikan terutama melibatkan data-data berkenaan. Bagi pelajar-pelajar yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang ini mereka mestilah beraliran sains dan mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi maklumat (IT). Beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan pengajian dalam bidang itu.