'Semua pihak perlu untung' - Ramli

Berita Harian,
Rabu, 10/05/2000

HARGA cakera padat (CD) asli yang disifatkan masih agak mahal kini patut diturunkan sebagai usaha membanteras CD cetak rompak, sekali gus merugikan penggiat seni, syarikat rakaman dan negara.

Penyanyi Ramli Sarip, berkata cetak rompak adalah ibarat mencuri di siang hari, dan menurunkan harga CD adalah langkah yang boleh mengurangkan kegiatan itu daripada berleluasa.

"Saya setuju dengan cadangan supaya harga CD diturunkan tetapi biarlah artis, karyawan dan syarikat rakaman berunding supaya wujud keadaan `sama untung' bagi semua orang," kata Ramli yang ditemui di Kuching, Sarawak,
baru-baru ini.

Ramli berkata, sepanjang tempoh 25 tahun, iaitu sejak dia bergiat dalam bidang muzik pada 1979 dan menghasilkan 26 album termasuk berkumpulan, tiada satu albumnya terlepas daripada cetak rompak.

"Kalau tiada cetak rompak mungkin saya sudah kaya raya atau sekurang- kurangnya memiliki banglo, kereta besar dan pelbagai peralatan mahal," katanya.

Dia menjelaskan, sebagai contoh pada 1986 album Bukan Kerana Nama yang popular ketika itu juga dicetak rompak dan dijual dengan berleluasa.

"Album itu boleh dijual 200,000 unit tetapi kerana perbuatan lanun cetak rompak, hanya 50,000 kaset asli sahaja yang terjual," katanya.

Ditanya apakah dia tidak bosan dengan cetak rompak, Ramli yang mula muncul bersama kumpulan Sweet Charity berkata, semangat seni yang membara dalam dirinya mendorongnya meneruskan usaha.

"Insan seni tidak boleh putus asa tetapi selain menurunkan harga CD dan kaset, penyanyi juga harus memperbaiki persembahan atas pentas kerana jika persembahan kita bagus peminat beli CD dan kaset kita," katanya.

Mengenai masa depan, Ramli yang juga berbakat dalam mencipta dan menulis lagu berkata, dia ingin mengetengahkan lebih banyak muzik tradisional Sarawak supaya dapat dinikmati masyarakat lain dan mahu merakam lagu dalam
bahasa Inggeris. - Bernama

 

Article from www.kempen.gov.my , 10 May 2000.
... go back ...

Hosted by www.Geocities.ws

1