| SWEET
CHARITY Oleh Saodah Ismail Tahun depan, genap 40 tahun usia kumpulan Sweet Charity, kumpulan rock legenda Melayu unggul yang tiada tandingannya. Datanglah musim atau badai apapun, mereka tetap dengan gaya dan cara mereka. Jiwa dan cinta Melayu band ini cukup tebal. Semangat dan jati diri Melayu ada pada mereka, kerana walaupun masa berlalu mereka tetap dengan cara mereka. Semangat dan jati diri anak Melayu yang tidak pernah kenal penat dan putus asa, sentiasa mekar di jiwa. Itu kekuatan dan kekentalan yang dibina selama bergelar penyanyi berkumpulan yang tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan. Seingat saya, selama Sweet Charity bersarang di hati kita selama 39 tahun ini, belum ada sebarang cerita buruk mahupun kontroversi yang dikaitkan dengan mereka. Ia bukan kayu ukur moral tapi sekurang-kurangnya mereka tidak pernah isabitkan dengan cerita tidak manis seperti kes khalwat, dadah atau segala cerita busuk lain yang menjadi titik hitam bagi sebanyakan artis rock tempatan dan antarabangsa. "Sweet Charity hanya satu nama. Walaupun kami tidak setanding kumpulan lain, kami ada cara tersendiri, kami ada perpaduan, aman, damai, kami tidak gaduh. Kita ada asas agama, bukan alim tapi tahu tanggungjawab masing-masing. Bila masa solat kita berhenti main, solat atau tidak solat, kita berhenti kerana menghormati itu penting," kata pengasas dan sifu kumpulan ini, Ramli Sarip. Bersih dan tidak tercemar. Lantaran itu, tidak hairanlah mereka dipilih untuk persembahan meraikan Hari Bapa pada 14 dan 15 Jun ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur (PWTC). Kesempatan mengenali mereka dengan lebih dekat selama menjadi wartawan hiburan adalah satu pengalaman yang berharga buat saya. Saya antara yang sering mengikuti persembahan dan konsert mereka walaupun diadakan di luar Kuala Lumpur ketika itu. Kerana hubungan baik saya dengan promoter Ali Bakar (bekas suami Sharifah Aini) yang mengusahakan Showmasters Malaysia (sebuah syarikat yang menerbitkan banyak konsert besar dalam dan luar negara, saya tidak pernah terlepas setiap konsert utama. Semuanya dapat saya saksikan sendir, termasuk konsert terakhir mereka yang dibuat 11 tahun selepas Sweet Charity dibubarkan pada 1985. Saya sendiri berada di Stadium Merdeka ketika itu, menyaksikan betapa besarnya sambutan dan laungan penonton apabila mereka tampil di pentas dalam persembahan Konsert Reunion Sejuta Wajah pada 1996. la juga merupakan terakhir kali saya bertemu dan melihat mereka beraksi di pentas Kuala Lumpur. Rabu lalu, pada sidang media di PWTC bagi mengumumkan persembahan untuk sambutan Hari Bapa istimewa itu, saya menemui mereka sekali lagi selepas 12 tahun berlalu. Kecuali ketiadaan pemain bass, Syed Hassan Al-Attas, yang sudah meninggal dunia, kesemua yang lain tidak j auh berbeza dari dulu. Paling mahal buat saya, mereka masih mengenali saya sekalipun sudah bukan remaja lagi! Kecuali Ramli Sarip yang sering ditemui di beberapa kunjungannya di Kuala Lumpur, pertemuan dengan Rahman Sarbani (drums), Wan Ahmad (gitar), Ahmad Jaffar Jawahir atau AJ (keyboard dan vokal kedua), Rosli Mohalim, Masron Abdul Hamid adalah yang pertama selepas 1996. Masa tidak banyak merubah mereka secara fizikal kerana masing-masing berada pada usia 55 tahun dan ada yang sudah bercucu. Sesuai dengan pesona, aura dan tarikan yang ada pada mereka serta jati diri jiwa Melayu dan silaturrahim yang akrab pada mereka sehingga kini, Sweet Charity sewajarnya menjadi sajian utama Hari Bapa. Ramli berkata, setiap kali beliau mengadakan show solo, banyak permintaan terhadap Sweet Charity diterima dan ia memberikan keyakinan padanya untuk kembali beraksi bersama kumpulannya itu. "Saya harap ini bukan pusingan akhir sekalipun kami sudah kehilangan Syed Hassan, saya mahu teman-teman teruskan bidang ini bukan untuk nostalgia semata-mata. Tapi suka saya nyatakan di sini, persembahan kami bukan main-main atau buta-buta, kerana masa untuk main-main sudah berlalu. Apa yang kami tampilkan ialah silaturrahim, penyatuan hati dan disiplin. "Bagi saya ini bukan konsert, tapi satu showcase Sweet Charity, dan kami sudah sediakan lebih 20 lagu untuk semua golongan," jelasnya dan petang itu mereka sempat menyampaikan rangkaian lagu-lagu hit mereka seperti Kamelia dan Bagaikan Bermimpi. Selain Ramli yang masih bergiat aktif, anggota Sweet Charity yang lain juga masih tidak meninggalkan muzik selama ini. Ramai yang masih bermain muzik dan meneruskan kerjaya seni mereka secara sambilan ataupun sepenuh masa. Malahan ada diantara anggota ini bakal menghasilkan album solo tidak lama lagi. Sama ada kemunculan pada konsert ini bakal menemukan mereka untuk menghasilkan album Sweet Charity yang baru, kata mereka, hanya takdir yang bakal menentukan. "Pertemuan ini satu fasa yang pertama. Kalau ada bahan yang baik, sekalipun empat atau lima lagu, kami akan rakam. Tapi semua itu bergantung pada bahan kerana pada tahap ini kami tidak boleh bawa lagu seperti Jangan Tunggu Lama-Lama. Itu dulu, cinta itu perlu, tapi pada tahap ini, kami harus membawa lagu yang jauh lebih dewasa dari itu," terang Ramli. Beliau mengakui, apapun yang terbit dari penyatuan Jun ini hanya dapat dilaksanakan dengan ketulusan hubungan mereka antara satu sama lain. "Bagus macam mana pun muzik kita, kalau dalaman tidak bersatu, ketulenannya tidak akan terpancar," kata Ramli yang mengakui komitmen tinggi pada bangsa dan jiwa Melayu merupakan kunci keakraban mereka. "Mungkin permainan kami tidak sehebat dulu, tidak seberat dulu kerana yang berat itu adalah perut kami... tapi yang pasti perasaan kami lebih mendalam," ujarnya tegas dalam seloroh. Pertemuan petang itu cukup nostalgik. Malahan, mereka menyatakan sudah lama tidak berkongsi satu bilik, seperti dulu ketika mereka bergerak dari satu negeri ke satu negeri mengadakan konsert. Malahan, ketika sesi bergambar, Ramli secara berseloroh memberitahu beliau dan anak-anak buahnya tidak disuruh beraksi seperti dulu. "Tolong jangan minta kami kangkang-kangkang... zaman itu sudah berlalu!" Para peminat Sweet Charity yang mahu menyaksikan persembahan dan dihiburkan dengan lagu-lagu hit seperti Kamelia, Zakiah, Musibah, Bagaikan Bermimpi, Pelarian, Jangan Tunggu Lama-Lama dan banyak lagi, boleh membeli dan menempah tiket berharga RM503, RM303, RM253, RM183 melalui laman web www.axcess.com.my. Persembahan dua hari pada 14 Jun berlangsung mulai 8.30 malan manakala persembahan minum petang pada 15 Jun, diadakan mulai 3 petang.
|
Article from Berita Minggu,
20 April 2008.
... go back ...