Ramli 'gentar' nyanyi depan ayah

Hendak menyanyi depan ayah, menggigil lututnya. Maklumlah, ayahnya ketika itu seorang guru agama.

Pendek kata, Ramli Sarip mengakui semasa zaman remajanya, beliau tidak berani menyuarakan keinginannya untuk menceburi bidang nyanyian di hadapan arwah
ayahnya, Allahyarham Sarip Sham.

"Masa dulu, saya malu hendak menyanyi depan ayah kerana saya segan dan hormatkannya sebab arwah dulu mengajar agama. Tetapi dalam pada itu ayah tahu minat saya terhadap seni.

"Maka arwah nasihatkan saya kalau hendak menyanyi
juga buat betul-betul jangan hangat-hangat tahi ayam. Caranya itu bukan pula menyuruh ataupun menghalang, semuanya terpulang kepada saya," luahnya dalam laporan
akhbar Harian Metro.

Peristiwa itu berlaku 35 tahun lalu tetapi kini Ramli yang
dikenali sebagai Papa Rock disegani ramai dalam industri
muzik kerana ketulenannya dalam berkarya.

Malah, suara serak basahnya yang dulu dikecam kini menjadi igauan.

Ramli yang ditemui pada pelancaran album kompilasi, Roh Zaman, baru-baru ini, sempat mengenang kembali perjalanan seninya sejak remaja sehingga sekarang.

Apa yang dilaluinya ketika itu berbeza berbanding hari ini.

Apakan tidak, remaja sekarang mendapat sokongan keluarga, lebih-lebih lagi jika menyertai rancangan realiti televisyen yang menjadi kegilaan ramai sekarang ini.

Tapi bagi mereka yang mengikuti perkembangan penyanyi itu pasti sedar setiap lagu nyanyiannya bukan ilham kosong tetapi ada cerita yang boleh dikongsi bersama pendengar.

Ambil sahaja contoh album kompilasinya itu yang memuatkan 30 lagu popular dan terbaik dari zaman Ramli bersama kumpulannya, Sweet Charity, sehingga kemunculannya secara solo.

Antara lagunya termasuk Teratai, Kamelia, Sejuta Wajah,
Nyanyian Serambi, Warisan Alam, Syair Laila Majnun (Jamal Abdillah), Doa Buat Kekasih (Kathy Ibrahim) dan lain- lain.

Jikalau Berkasih boleh dikatakan lagu `berhantu' kerana
ia popular sejak zaman Ramli bersama Sweet Charity. Apabila dirakamkan semula dan dimuatkan dalam album solonya, ia tetap `meletup'.

"Album itu berjaya dijual melebihi 25,000 unit. Tak tahulah sama ada peminat membeli album itu kerana Ramli Sarip ataupun Sweet Charity," katanya lagi.

Di samping itu, Ramli tidak mahu menilai sumbangannya kepada dunia sebaliknya meminta peminat menjadi juri
menilai pembabitannya selama 35 tahun dalam industri seni.

"Saya tidak layak untuk menilai hasil kerja sendiri. Saya
bagi kepada peminat untuk melihat sejauh mana perjalanan
dan pencapaian kerjaya saya selama ini.

"Selain itu saya juga membiasakan diri saya untuk hidup
sendiri. Sebab itu saya tidak terlalu bergantung kepada syarikat rakaman kerana mereka pun ada masalah jadi saya dan syarikat kena tolong-menolong," katanya.

 

" Masa dulu, saya malu hendak menyanyi depan ayah kerana saya segan dan hormatkannya sebab arwah dulu mengajar agama.Tetapi dalam pada itu ayah tahu minat saya terhadap seni.

Maka arwah nasihatkan saya kalau hendak menyanyi juga buat betul-betul jangan hangat-hangat tahi ayam. Caranya itu bukan pula menyuruh
ataupun menghalang, semuanya terpulang kepada saya.

- Ramli Sarip.

Article from Berita Harian, 13 September 2005.
... go back ...

Hosted by www.Geocities.ws

1