|
Kesenian Islam di Konsert Nur Bagaimanakah agaknya bentuk konsert yang boleh di anggap sesuai dengan kesenian Islam? Apakah artis wanita dan lelaki tidak boleh berkongsi sebuah pentas dan alat-alat muzik elektronik bertali langsung tidak boleh dipakai? Jawapannya akan diteroka menerusi Konsert Nur: Riwayat Kalbu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, dalam pementasan yang berlangsung selama lima malam dari 8 hingga 12 Oktober ini. Artis-artis Singapura yang diundang menjayakan konsert itu ialah Ramli Sarip dan Rahimah Rahim. Mereka akan menyertai artis Malaysia dan Indonesia seperti kumpulan Debu, Raihan, Ruhil Amani, Brotherz & Friends, Fauziah Nawi, Al-Ajiba, Bahizal Abu Bakar, Fatin Adibah dan Jack Dzul. Ketua Pengarah Istana Budaya dalam kenyataan akhbarnya berkata konsert yang julung-julung kali diadakan itu akan bertolak kepada konsep nilai estetik sejagat dan berlandaskan falsfah kesenian Islam. Bukan setakat nyanyian, persembahan juga dibuat dalam bentuk deklamasi puisi, sketsa bertema, pantomim, selingan klip video dan persembahan instrumental. Dengan langkah yang digembleng dan diadun ini - antara kepakaran kreatif seni pentas dan berilmu dengan falsafah agama - pihak penganjur berharap konsert itu akan memberi definisi baru kesenian berunsur Islam dan menjadi contoh kepada dunia hiburan sejagat. "Konsert Nur yang dirangka sebenarnya adalah impian dan doa setiap insan di dunia dalam keadaan tidak menentu ketika ini. "Inilah impian suci yang masih belum tercapai yang diamanahkan kepada kita semua untuk menjayakannya," kata Dr Hatta sambil melahirkan harapan konsert serupa itu akan bertapak sebagai sebuah pementasan tahunan yang berprestij dan menjadi landasan kepada perkembangan dunia kesenian Islam, sebagaimana negara-negara lain terkenal dengan festival-festival kesenian anjuran mereka. Penonton Singapura yang ingin menonton konsert itu boleh mendapatkan tiket terhad berharga RM70 (atau $26 selepas diskaun 15 peratus) daripada Cik Juria Banding menerusi telefon 6392-2747. Tiket-tiket
lain berharga RM50, RM70, RM100, RM150 dan RM200 boleh ditempah terus
di Box Office Istana Budaya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur melalui telefon
03-4026-5558 atau menerusi lelaman <www.istanabudaya.gov.my>. |
Article from Berita Harian
, 6 October 2004.
... go back ...