Rock Perlu Kelainan

Bercerita tentang album barunya ini, Ramli memberitahu, walaupun konsepnya bercorak pop dan etnik tradisional, namun unsur-unsur rock tetap ada, Ramai dikalangan masyarakat hanya memandang rock itu sebagai satu muzik yang keras. Namun jika dinilai secara telus, rock sebenarnya mempunyai pelbagai rupa dan warna. Ada slow rock, folk rock dan sebagainya. Justeru masyarakat perlu memahaminya. "Rock & Roll tetap menjadi pilihan saya". Ujar Ramli. Tambahnya, "walaupun saya dikenali sebagai penyanyi rock, namun saya tetap memperjuangkan lagu yang berbentuk kesusasteraan kerana lagu seperti ini perlu diperjuangkan memandangkan kini terlalu banyak pengaruh dari luar. Memang tidak dinafikan pengaruh tu perlu tapi jangan sampai kita dipengaruhi". Ujarnya serius.

Tambahnya lagi, "konsep sebegini memang sesuai untuk festival-festival muzik antarabangsa. Baru- baru ni saya ada mengadakan persembahan di Festival Muzik Antarabangsa di Langkawi dan penerimaan peminat luar nampaknya begitu memberangsangkan".

Kata Ramli Album Kalam Kesturi mengandungi 10 lagu dan diterbitkan sendiri oleh Ramli Sarip. Lagu nyanyian Serambi kini semakin popular dan mula mendapat tempat di arena 'mainstream' muzik tempatan. Lagu lain yang terdapat dalam album ini adalah seperti Rindu Damai Dunia, Qhasidah Kampungan, Pernyataan, Joget Selangkah Rindu, Wasilah Kau Dan Aku dan Ufuk Nurani.

Sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni, pastinya banyak susah payah yang pernah dilaluinya. Tapi menurut Ramli Sarip, apa yang berlaku kepada dirinya dianggap satu pengajaran dan pengalaman hidup. "Rasanya saya tak rasa ia suatu kesusahan kerana saya anggap setiap perkara yang berlaku itu ada pengajaran. Kita perlu sentiasa bersyukur atas apa yang berlaku. Kalau asyik nak rasa susah saja, jangan masuk 'line' ini. Kalau main bola pun, takkan asyik nak menang je, nak 'cup' jer, kalah mesti ada beb.

Selain tu, kalau boleh tak perlu ada rasa kecewa bila kita masuk 'line' ni. Kita perlu ada keyakinan diri. Jangan ada keluh kesah. Rileks. Macam kalau kena kutuk ke, album tak jual ke, kita kena hadapinya. Dalam lagu 'Rindu Damai Dunia' tu, ia sebenarnya menceritakan tentang luahan hati saya", terang Ramli.

Bercerita tentang muzik pula, menurut Ramli perjalanannya masih jauh lagi. Baginya selagi dikurniakan ide untuk berkarya, dia akan terus berbuat demikian.

"Saya. anggap 'journey' saya masih panjang lagi. Muzik tak boleh habis sebenarnya. Kita kena sentiasa belajar. Benda jauh lagi nak jalan, walaupun saya dah ada 25 atau 26 album, tapi saya anggap ianya sesuatu benda yang baru. 'Everytime' kita kena 'learn' benda yang baru, barulah ada 'improvement' dalam muzik kita. Kalau ada peluang untuk kita 'improve', kita 'improve' lah, macam konsep album baru saya ni. Rasanya susah kalau nak cari album yang berkonsep begini di 'market'. Khalayak pendengar kini bijak menilai. Mereka memang mahukan kelainan. Kalau dulu orang kenal saya dengan lagu-lagu rock, kini saya tampilkan kelainan dalam album Kalam Kesturi ini. Saya yakin konsep sebegini akan diterima ramai. Sampai bila kita asyik nak buat benda yang sama saja. Kalau rock tak semestinya kita kena 'heavy'. Kenalah kita pelbagaikannya". Ujar Ramli Sarip yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik. Dia bukan sahaja dikenali sebagai seorang penyanyi tetapi dia juga dikenali sebagai penerbit, pencipta lagu dan mahir bermain muzik.


Article from Media Hiburan , 16 - 22 Nov 2002.
... go back ...

Hosted by www.Geocities.ws

1