|
'Tak
Perlu Rasa Kecewa Bila Libatkan Diri Dalam Bidang Seni'
Ramli
Sarip
Perjalanan
seninya memang panjang. Siapa sangka, beliau terus bertahan sebagai 'legend'
dalam industri seni tanah air. Bermula dengan band Sweet Charity, dia
kemudiannya memilih untuk mengharungi 'mainstream' muzik secara solo.
Suara seraknya memang unik dan tiada tandingan. Artis-artis sezamannya
kini hilang tanpa berita, namun Ramli Sarip tetap teguh dengan muzik 'Rock
& Roll'. Sehingga kini walaupun usianya telah melewati 50 an, dia tetap
meneruskan perjalanan hidupnya sebagai insan seni dengan visi yang tinggi.
Setiap apa yang disampaikan dalam lagu-lagunya mempunyai maksud yang mendalam.
Jika
dahulu muzik rock yang sedikit keras menjadi pilihan, kini dia beralih
pula kepada muzik pop dan etnik tradisional tetapi tetap mempunyai ciri-ciri
Rock & Roll. Perubahannya itu bukan bermakna irama rock sudah tidak bertakhta
di jiwanya. Namun, ia adalah sebahagian pencarian terhadap sesuatu dalam
kehidupannya. Pencarian terhadap sesuatu yang abadi, yang lahir daripada
emosi dan jiwanya.
Selepas album studio Adam dan Hawa serta album kompilasi Raja Rock, Ramli
Sarip kini muncul dengan album terbaru berjudul Kalam Kesturi. Lagu Nyanyian
Serambi menjadi Hit dalam album ini. Keunikan serta adaptasi lirik yang
penuh dengan unsur nasihat dan realiti kehidupan menjadikannya mudah diterima
dan 'senang' didengar. Umum mengetahui, pelancaran album ini telah berlangsung
dengan jayanya di Planet Hollywood. Persembahan 'live'nya selepas itu
memang diakui mantap dan bertenaga. Ramai perminat serta 'die hard fans'
rockers ini menantikan persembahan 'live'nya. Dengan suksesnya pelancaran
album Kalam Kesturi di ibu kota Kuala Lumpur, Ramli Sarip kemudiannya
mengorak langkah mempromosikan album barunya di Sarawak pula. MH berpeluang
mengikuti promo 'tour' Ramli Sarip yang mendapat tajaan dari Holiday Inn
Kuching, Cats FM Warner Music dan Air Asia.
Bertemu kali pertama di KLIA dengan 'Papa Rock', memang dia seorang yang
peramah dan mudah mesra. Penampilannya yang sederhana menunjukkan dia
seorang yang 'low profile'. Apa saja soalan yang diajukan padanya, dijawab
dengan penuh kesungguhan. Selepas berkumpul di KLIA, rombongan kami bertolak
ke Sarawak dan tiba di sana pada jam 10.00 pagi. Selepas 'check in' di
hotel. Tibalah masanya untuk berehat sebentar. Sepanjang berada di Sarawak,
Ramli Sarip telah ditemu ramah oleh Radio Cats FM dan Radio RTM Sarawak
untuk sesi interview. Selain itu, diadakan juga sidang akhbar majlis pelancaran
album Kalam Kesturi bagi kawasan Sarawak di Tribes Music Restaurant &
Pub, Holiday Inn Kuching. Pasti ramai yang 'familiar' dengan kelab ini.
Manakan tidak, artis-artis kita sering mengadakan persembahan di situ.
Di sini juga, Ramli Sarip akan mengadakan persembahan live malam nantinya.
Sebelum sidang akhbar dijalankan, Ramli Sarip terlebih dahulu di interview
oleh radio swasta popular Sarawak, Cats FM. Menurut Ramli, banyak juga
soalan yang ditujukan kepadanya sepanjang sesi interview tersebut. Situasi
sedemikian turut berlaku pada sidang akhbar pelancaran album Kalam Kesturi
selepas itu. Apabila emcee membuka sesi soal jawab, tidak putus-putus
soalan ditujukan padanya.
|