Sweet Charity bagai diserbu lepas "Gua caya lu...." Oleh Nani Mohd tersiar di Berita Harian pada 26/10/01 Penyanyi AJ naik ke pentas dan meneriak... "Gua caya luuuu..." Para peminat Sweet Charity yang berkumpul di gelanggang lumba motosikal menyambut dengan sorakan yang riuh dan bergemuruh, seolah-olah mereka mahu menyerbu ke pentas... mahu kembali de zaman 70-an ketika Ramli Sarip dan kumpulan muzik berambut panjang itu dalam zaman kegemilangannya. Walaupun irama muzik Ramli Sarip telah bertukar kepada yang berunsur etnik dan Timur Tengah, ternyata para peminat masih dahagakan lagu rocknya. Mahu tak mahu, Ramli terpaksa memberi. Begitu juga Sweet Charity yang masih mampu mempertahankan cara persembahan mereka dengan mantap, terutama pemain gitar Rosli Mohalim. Umur bukan penghalang untuk Rosli bermain seperti zaman remajanya. Konsert yang berlangsung pada Sabtu, 20th October 2001 ini sempena Malaysian Grand Prix 2001 di Sepang, telah mencatatkan sejarahnya sendiri apabila ribuan peminat membuktikan bahawa Sweet Charity bukanlah kumpulan yang diminati oleh rockers 70-an yang tentunya ramai sudah bergelar ibu dan ayah hari ini. Sebaliknya, sebahagian besar mereka yang datang merupakan anak muda yang mungkin lahir selepas era Sweet Charity. Mereka memberikan reaksi yang cukup memberangsangkan terhadap suara garau Ramli serta takjub dengan kemahiran Rosli menggentel gitarnya. Inilah untungnya apabila syarikat rakaman Warner Music mengeluarkan kembali album-album dan koleksi lagu-lagu popular Sweet Charity dalam bentuk cekara padat hari ini. Konsert itu telah dibuka dengan persembahan penyanyi Hattan yang membawa lagu Gerhana ciptaan mentornya, M Nasir. Nampaknya, Gerhana yang dicari, gerhana jugalah yang menimpa Hattan ketika beliau membawa lagu Biso Bonar. Lampu terpadam dan bekalan elektrik terputus, Bok Lokman cuba menenangkan peminat, tetapi mereka nampaknya lebih bimbang jika konsert ini akan dibatalkan. Sebab itulah, apabila Sweet Charity naik ke pentas dan memberi "gula gula" persembahan mereka dengan petikan gitar solo Rosli, para penonton terus menjadi histeria. Cukup menggerunkan. Konsert ini dimulakan dengan lagu Hanya Rock 'n' Roll dari album Berita Gempa dalam 1985. Lagu itu dicipta bersama oleh Ramli dan Rosli. Dengan sistem bunyi dan gitar amplifier yang kurang memuaskan, Sweet Charity terkial-kial pada awal persembahan kerana tidak dapat bunyi yang baik dari alat muzik yang mereka mainkan. Tetapi penonton tidak memperdulikan keadaan itu kerana mereka menantikan lagu-lagu yang lebih poplular termasuk Kamelia, yang sengaja Ramli aturkan sebagai penutup konsert. Peka dengan kehadiran penonton bukan Melayu yang datang untuk perlumbaan motosikal, Ramli menyelitkan dua lagu Inggeris dari kumpulan rock "Deep Purple" iaitu lagu Lazy dan Black Night. Ahamd Jaffar (AJ) yang hanya diundang untuk mendendangkan lagu hit Bagaikan Bermimpi dan Terharu dari album Pelarian, benar-benar terharu dengan sambutan peminat-peminat muda yang menyanyi bersamanya. Persembahan padat dua jam ini sangat berkesan sebagai penawar sakit rindu yang kental. Mereka akur dan berundur dengan rasa puas bila konsert berakhir dengan lagu Inggeris Knocking on Heaven's Door sebagai penutup tirai.
|
Article from Berita Harian
, 26 Oct 2001.
... go back ...