.:: sELAmaT dATanG kE LAmaN wEB eBit IraWAn ::.

     
     
MENAHAN LAPAR SEMALAMAN KERANA MENGHORMATI TETAMU

Berikut adalah peristiwa sehingga turunnya ayat Quran yang bermaksud,
"Dan mereka (Orang Ansar) mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas
diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan." (Al-Hasy : 9)

Seorang telah datang menemui Rasulullah S.A.W dan telah menceritakan
kepada baginda tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada
ketika itu baginda tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri
baginda mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu.

Baginda kemudian bertanya kepada para sahabat, "Adakah sesiapa
di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya
pada malam ini bagi pihak aku ?" Seorang dari kaum Ansar telah
menyahut, "Wahai Rasulullah S.A.W, saya sanggup melakukan seperti
kehendak tuan itu."

Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan
menerangkan pula kepada isterinya seraya berkata, "Lihatlah
bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah S.A.W. Kita mesti
melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala
kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan
demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang
ada di rumah kita."

Lalu isterinya menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak
ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit,
itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini ?"

Orang Ansar itu pun berkata, "Kalau begitu engkau tidurkanlah
mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka.
Apabila saya duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping
jamuan makan yang sedikit ini, dan apabila kami mulai makan
engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya
kembali supaya tetamu itu tidak akan ketahui bahawa saya tidak makan
bersama-samanya."

Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga
tersebut termasuk kanak-kanak itu sendiri terpaksa menahan lapar
semata-mata untuk membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang.

 
     
 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1