Kaki Dirantai, Berwajah Khinzir
Seorang wanita tua berkongsi pengalaman beliau tentang
sebuah kisah menyayat hati yang disaksikan suatu ketika dahulu.
Cerita tersebut aneh dan menginsafkan kerana ia tentang seksaan
Allah terhadap seorang anak yang derhaka kepada ibunya sendiri.
Ia diceritakan olehNek Mariam. Begini ceritanya:
Jamilah 20an, (bukan nama sebenar) adalah seorang isteri
yang malang. Beliau telah ditinggalkan suami sebaik sahaja
melahirkan anak sulung mereka. Jamilah terpaksa akur dengan
nasib yang menimpanya itu. Mujurlah beliau masih mempunyai
ibu bapa yang mengambil berat akan dirinya.
Itulah yang dikata kasih sejati seorang ibu. Tiada tolok
bandingannya walhal semenjak kita dalam kandungan lagi kasih sayang
sudah dicurahkan sepenuh jiwa dan raga. Setelah Jamilah bergelar
janda, Jamilah kembali ke rumah ibunya. Walaupun Jamilah
tidak mendapat kasih sayang seorang suami namun beliau
bertuah kerana masih mendapat kasih sayang dari ibu sejati.
Jamilah dan anak kecilnya dijaga dan diberikan kasih sayang
dengan sempurna. Soal makan dan minum Jamilah dan anaknya
tidak menjadi masalah kerana Jamilah masih mempunyai bapa
yang masih kuat mengerjakan ladang dan sawah. Bapa Jamilah
keluar bekerja awal pagi dan pulang lewat petang. Manakala
ibunya tidak banyak aktiviti di rumah hanya memberi makan
haiwan ternakan sahaja. Adik-beradiknya semua sudah berkahwin
dan membawa haluan masing-masing.
Jamilah merupakan anak bongsu dalam keluarga, mengenangkan
nasib malang Jamilah, sudah tentu perasaan sayu dan kasihan
dari ibunya membuak-buak bila melihat anak dan cucu kecilnya
tidak terbela. Usia Jamilah masih remaja walaupun bergelar
janda. Zaman remajanya masih lagi belum puas dikecapi tambahan
pula fikirannya masih belum matang dalam erti hidup. Jamilah
terasa dirinya begitu bebas dan terlepas dari belenggu ketika
hidup bersuami dahulu. Jamilah tidak merasa sebarang kekurangan
pada dirinya malah bertambah yakin kerana beliau masih muda dan
masih kelihatan cantik. Segala urusan anak kecilnya diserahkan
kepada ibu dengan alasan tidak biasa dengan karenah anak kecil.
Sebenarnya Jamilah malas untuk menguruskan anak kecil yang merimaskan.
Pada mulanya, ibu Jamilah tidak perasan, maklum sahaja cucu sendiri,
tentu tidak terasa bebannya. Hari berganti hari hidup Jamilah bertambah
selesa. Beliau hidup di bawah jagaan yang sempurna. Semua soal
makan minum, mengasuh anak kecil dan kerja rumah tangga semuanya
diambil alih oleh ibu dan bapanya. Jamilah hanya menolong ala
kadar sahaja agar tabiat malasnya tidak nampak ketara.
Perangai Jamilah semakin menjadi-jadi. Melaram dengan pakaian- pakaian
fesyen terkini serta bersolek agar sentiasa cantik. Suatu hari,
Jamilah telah menyampaikan hasratnya ingin ke pekan untuk mendandan
rambut dengan fesyen terkini. Namun ibunya melarang kerana menurut
orang ramai, kandungan bahan mendandan rambut ketika itu diperbuat
dari bahan haram yakni lemak babi. "Ala, bukan nak makan babi tu,
hanya sapu atas kepala agar rambut lebih hitam dan berkilat....
"Jamilah memberi alasan agar permintaannya ditunaikan. Namun
begitu ibunya tetap melarang. Maka berlakulah satu pertengkaran
antara Jamilah dan ibunya sehingga beliau tergamak mengeluarkan
perkataan kesat sambil menyumpah-nyumpah ibunya. "Binatang babi!
Binatang anjing!" kata Jamilah semakin berani setelah melihat
ibunya mendiamkan diri sambil menitiskan airmata.
Jamilah masih berdegil, nafsunya untuk kelihatan cantik dan bergaya
semakin meluap-luap hingga tidak kira lagi soal halal dan haram.
Matlamatnya supaya ramai lelaki melihat dirinya cantik macam primadona.
Sekaligus saham dirinya akan naik mengatasi anak-anak dara sunti
di kampung itu. Petang itu, bila Jamilah baru pulang dari pekan
mendandan rambut, tiba-tiba beliau terdengar suara anak kecilnya
menangis kuat teresak-esak. Hati Jamilah naik radang kerana beliau
sangka ibunya sengaja membiarkan anaknya begitu kerana ingin membalas
dendam. Dengan bengis, Jamilah terus naik ke rumah dan jadi seperti
orang yang dirasuk syaitan, terus meluru ke bilik anaknya yang menangis
itu.
Anaknya diambil dan diletakkan di satu sudut di dapur dan terus menuju
ke bilik ibunya untuk bertindak sesuatu. Mulutnya tidak henti-henti
mengomel sambil menyumpah-nyumpah.
Sebaik sahaja beliau masuk, kelihatan ibunya sedang mengerjakan solat.
Kerana terlalu marah, dikala ibunya sedang sujud, beliau bertindak
menendang ibunya sambil berkata "Oi babi,anjing, beruk! Tak boleh harap
....
menyusahkan orang, celaka!" Ibunya yang jatuh tersungkur di hadapan
sejadah
bangun mengaduh dan terpinga-pinga. Beliau tidak tahu apa sebabnya
Jamila tiba-tiba naik angin. Setelah beberapa lama berlinanganlah
airmata ibunya apabila menyedari perkara sebenar. Sebenarnya bukan
niat ibunya membiarkan cucunya itu menangis keseorangan, ketika itu
beliau sedang bersembahyang, maka terpaksalah membiarkan budak itu
sebentar. Sudah seberapa daya beliau menyegerakan solatnya setelah
sedar cucunya menangis kuat, namun belum sempat selesai solat,
Jamilah terlebih dahulu datang menyepak punggungnya. Hati ibu
mana yang tak hancur remuk mengenangkan anaknya yang sampai
hati dan tergamak melakukan sebegitu terhadapnya berbanding
kasih sayang yang telah dicurahkan secukupnya demi anak tercinta.
Ibu mana yang tidak sayangkan anak....dalam keadaannya yang sakit
seluruh sendi akibat tersungkur atas tikar sembahyang tadi, beliau
telah berdoa pada Allah agar dapat diampun dosa anaknya itu. Dengan
takdir Allah, tiba-tiba Jamilah berteriak dari arah dapur.
Macam sesuatu yang telah berlaku pada Jamilah mahupun cucunya. D
engan lemah longlai, tergesa-gesa beliau pergi mendapatkan Jamilah.
"Jeritannya sungguh kuat hingga jiran berdekatan dapat mendengarnya.
Tambah terkejut apabila kami semua menyaksikan seutas rantai besi
tiba-tiba sahaja keluar memecah lantai dapur dan melilit dan merantai
kaki Jamilah dengan kuat. Jamilah menjerit kesakitan dan anak yang
dikendong terlepas dalam dakapannya. Ibu Jamilah separuh pengsan melihat
keadaan Jamilah sebegitu....," jelas Nek Mariam yang merupakan salah
seorang yang menyaksikan keajaiban Allah yang maha esa itu.
Maka berduyun-duyunlah orang kampung datang untuk membantu melepaskan
cengkaman rantai besi yang melilit kemas di kedua-dua kaki Jamilah.
Bertungkus-lumus orang cuba memotong besi itu namun tidak berjaya.
Jamilah meraung sekuat-kuat hati kerana terlalu sakit. Akibatnya darah
tidak henti mengalir membasahi lantai dapur. Setelah beberapa jam berlalu,
rantai besi yang mempunyai kekuatan luar biasa itu masih juga tidak boleh
dileraikan dari kaki Jamilah. Akibat pendarahan yang banyak,
Jamilah meninggal di situ juga dengan riak muka yang amat menakutkan.
Ibu Jamilah terpaku tidak mampu melakukan apa-apa. Beliau sedar
itulah balasan Allah terhadap anaknya, cuma beliau tidak menyangkakan
secepat itu. "Anehnya, sebaik sahaja Jamilah meninggal, rantai itu
terurai dengan sendiri lalu masuk kembali ke dalam tanah. Kami semua
begitu terpegun dan berasa insaf dengan apa terjadi. Itulah balasan
Allah terhadap seorang anak yang derhaka," sambung Nek Mariam sambil
menitiskan airmata.
Jenazah Jamilah diuruskan seperti biasa dan dikebumikan.
Upacara membaca ayat suci Al Quran di atas kubur selama 7 hari memang
sering dilakukan oleh masyarakat di Pantai Timur dan menjadi satu
upacara kebiasaan kepada sesiapa yang baru dikebumikan. Semasa
orang-orang kampung bergilir- gilir membaca Al Quran, maka satu
lagi petunjuk dari Allah terjadi. "Pada waktu hampir subuh, mereka
terdengar satu suara yang meraung- raung dari arah liang lahat.
"Mak ooiii.....!! Ayah ooiii!! Tolonglah...! Allah Tuhanku....
minta tolong...! Mak...ayah...tolonglah!" suara mendayu-dayu
itu sungguh menyeramkan dan tidak henti-henti," cerita Nek Mariam lagi.
Salah seorang dari mereka bertindak memberitahu pada ibu Jamilah
akan suara itu yang mereka syak datang dari arah liang lahat. Dengan
bantuan jiran-jiran berdekatan, mereka segera ke kubur Jamilah untuk
menggali kubur itu kerana mereka sangkakan Jamilah masih hidup.
Setelah digali, alangkah terkejutnya bila melihat jasad Jamilah yang
kaku dan berbalut itu telah bertukar rupa. Kepalanya menjadi kepala
seekor babi! Masya Allah.... Ramai orang menyaksikannya ....satu lagi
keajaiban yang sengaja Allah ingin memperlihatkan pada hamba-hambanya.
Bertambah sedih dan sayu hati ibu Jamilah melihat keadaan anaknya begitu....
Malam itu beliau bermimpi, Jamilah datang kepadanya dengan keadaan yang
amat buruk dan daif sambil berkata: "Tak payahlah ibu mengadakan kenduri
arwah untuk saya, kerana saya telah terkeluar daripada Islam...."
menyedari
hakikat itu ibunya begitu terkejut dan tak henti-henti menangis sambil
berdoa
kepada Allah agar mengampuni dosa anaknya itu. "Maka tiadalah kenduri
arwah
dibuat untuk Jamilah. Itulah cerita tentang balasan Tuhan terhadap
hambanya
yang berdosa. Dosa pada Tuhan mungkin dapat diampunkan jika kita bertaubat
nasuha, tetapi dosa pada manusia, lebih-lebih lagi kepada kedua ibu-bapa,
harus kita sendiri memohon ampun dan maaf....Jika tidak tanggunglah dosa
itu dan akan dikira dan dibalas setimpal di akhirat kelak..." Nek Mariam
mengakhiri ceritanya yang penuh keinsafan sesuai untuk kita semua.
|