.:: sELAmaT dATanG kE LAmaN wEB eBit IraWAn ::.

 
     
TANDA-TANDA KIAMAT

Hudzaifah bin As-yad al-Ghifary berkata, sewaktu kami
sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W
kepada kami lalu bertanya, "Apakah yang kamu semua sedang
bincangkan.?" Lalu kami menjawab, "Kami sedang membincangkan
tentang hari Kiamat."

Sabda Rasulullah S.A.W. "Sesungguhnya kiamat itu tidak
akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda :-

Asap
Dajjal
Binatang melata di bumi
Terbitnya matahari sebelah barat
Turunnya Nabi Isa A.S
Keluarnya Yakjuj dan Makjuj
Gerhana di timur
Gerhana di barat
Gerhana di jazirah Arab
Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke
tempat pengiringan mereka.

Dajjal maksudnya ialah bahaya besar yang tidak ada
bahaya sepertinya sejak Nabi Adam A.S sampai hari kiamat.
Dajjal boleh membuat apa sahaja perkara-perkara yang luar biasa.
Dia akan mendakwa dirinya Tuhan, sebelah matanya buta dan
di antara kedua matanya tertulis perkataan 'Ini adalah orang kafir'.

Asap akan memenuhi timur dan barat, ia akan berlaku selama
40 hari. Apabila orang yang beriman terkena asap itu,
ia akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang
kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar
dari hidung, telinga dan dubur mereka.

Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard ini
akan keluar di kota Mekah dekat gunung Shafa, ia akan berbicara
dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini akan membawa
tongkat Nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S. Apabila binatang
ini memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan
tertulislah di dahi orang itu 'Ini adalah orang yang beriman'.
Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang yang kafir, maka akan
tertulislah 'Ini adalah orang kafir'.

Turunnya Nabi Isa. A.S di negeri Syam di menara putih,
beliau akan membunuh dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan
menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W.

Yakjuj dan Makjuj pula akan keluar, mereka ini merupakan dua
golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan besar.
Yakjuj dan Makjuj itu kini berada di belakang bendungan yang
dibangunkan oleh Iskandar Zulqarnain. Apabila keluarnya mereka
ini, bilangannya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air
laut Thahatiah diminum nescaya tidak akan tinggal walau pun setitik.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Hari kiamat itu mempunyai
tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit
sahaja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah
menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak
zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan
bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak
menonjol dari ahli haq"

Berkata Ali bin Abi Talib, "Akan datang di suatu masa di mana
Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuk
sahaja, Al-Qur'an hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan
masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut Asma Allah.
Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari
mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka
juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat."

Sabda Rasulullah S.A.W, "Apabila harta orang kafir yang dihalalkan
tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan
seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar
lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya, menderhakai
ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara
lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik,
orang dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya
dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat."

 
 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1