.:: sELAmaT dATanG kE LAmaN wEB eBit IraWAn ::.

 
     

Mimpi Rasulullah

Mimpi adalah sesuatu yang sering dialami oleh setiap manusia terutamanya di
waktu sedang tidur. Adakala mimpi itu buruk dan ada pula yang baik. Apabila
bermimpi sesuatu yang baik seperti sedang membaca Al-Quran,solat, disanjung
orang dan seumpamanya, ucapkanlah syukur dan memuji Tuhan. Sebaliknya jika
ia mengerikan dan menakutkan sehingga membuat kita keluh kesah, segeralah
mengucap istighfar dan keampunan kepada Allah SWT.

Kadang-kadang mimpi itu akan menjadi kenyataan dan kadang-kadang ianya
mainan tidur. Ulama-ulama dan wali Allah sering dapat melihat alam ghaib
seperti suasana di dalam kubur (seksa dan nikmat) melalui mimpi. Petikan
dari sebuah hadis yang telah disebut oleh Imam As Sayuthi, Al Tabrani, Al
Hakim At Termizi dan Al Isfahani dalam kitab mereka yang bermaksud:

Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi yang ajaib malam kelmarin. Aku telah
melihat seorang dari umatku telah didatangi oleh Malaikat Maut untuk
mengambil nyawa, maka malaikat itu telah terhalang oleh ketaatannya kepada
kedua ibu bapanya.

Aku melihat juga seorang dari umatku telah disediakan untuk menerima seksa
kubur, maka dia telah diselamatkan oleh kesan wuduknya.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh
syaitan-syaitan, maka ia telah dibebaskan dari bahayanya oleh berkat
zikrullah.

Aku melihat juga seorang dari umatku diseret oleh Malaikat Azab maka segera
muncul solatnya serta melepaskannya dari azab tersebut.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang ditimpa dahaga yang teramat
sangat, setiap kali ia mendatangi sesuatu perigi, dihalang untuk
meminumnya, maka segera datang puasanya serta memberinya minum hingga ia
merasa puas.

Aku melihat juga seorang dari umatku yang mengunjungi kumpulan para nabi,
yang ketika itu sedang duduk berkumpul-kumpul, setiap kali dia mendekati
mereka, dia diusir dari situ, maka menjelmalah mandi junubnya sambil
memimpinnya ke kumpulan itu seraya menunjukkan supaya duduk di sisiku.

Aku melihat juga seorang dari umatku dikabusi oleh suasana gelap, di
hadapannya gelap, di kanannya gelap, di kirinya gelap, di atasnya gelap, di
bawahnya juga gelap, sedang ia dalam keadaan bingung. Maka datanglah pahala
haji dan umrahnya, lalu mengeluarkan dari suasana gelap-gelita itu lalu
memasukkannya ke dalam suasana terang-benderang.

Aku melihat juga seorang dari umatku berbicara kepada Mukminin, akan tetapi
tidak seorang pun dari mereka yang mahu berbicara dengannya, maka
menjelmalah silaturrahimnya seraya menyeru orang-orang itu, katanya: Wahai
kaum Mukminin sambutlah bicaranya, lalu mereka pun berbicaralah dengannya.

Aku melihat seorang dari umatku sedang menepis-nepis bahang api dan
percikannya dari mukanya, maka segera datanglah pahala sedekahnya lalu
melindungi muka dan kepalanya dari bahaya api itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang diseret oleh Malaikat Zabaniah
ke merata tempat, maka menjelmalah Amar Makruf dan Nahimunkar seraya
menyelamatnya dari cengkaman neraka serta menyerahkannya pula kepada
Malaikat Rahmat.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang merangkak-rangkak, antaranya
dengan Tuhan dipasang tabir, maka menjelmalah budi pekerti seraya
memimpinnya sehingga dibuka pemisah tadi dan masuklah ia ke hadrat Allah
Taala.

Aku melihat juga seorang dari umatku terheret ke sebelah kiri oleh buku
catatannya, maka menjelmalah perasaan kasih kepada Allah menukarkan tujuan
buku catatan itu ke arah kanan.

Aku melihat juga seorang dari umatku terangkat timbangannya, maka
menjelmalah anak-anaknya yang mati kecil lalu menekan timbangan itu
sehingga menjadi berat.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang berdiri di pinggir Jahanam,
maka menjelmalah perasaan gerunnya terhadap seksa Allah Taala lalu membawa
jauh dari tempat itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku terjerumus ke dalam api neraka, maka
datanglah air matanya yang mengalir kerana takut kepada Allah Taala lalu
menyelamatkanya dari api neraka itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti sirat manakala seluruh
tubuhnya bergoncang seperti bergoncangnya dedaun yang ditiup angin, maka
menjelmalah baik sangkanya terhadap Allah Taala lalu mententeramkan
kegoncangan itu lalu dengan mudah meniti hingga ke hujung titian itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang meniti atas titian sirat,
kadangkala ia merangkak dan kadangkala ia meniarap, maka menjelmalah solat
menyeru kepadaku lalu aku memimpin tangannya dan mengajaknya berdiri dan
meniti hingga ke penghujung titian itu.

Aku melihat juga seorang dari umatku sedang hampir tiba di pintu syurga,
tiba-tiba pintu-pintunya ditutup, maka menjelmalah penyaksiannya bahawa
tiada Tuhan melainkan Allah lalu membukakan pintu-pintu syurga itu untuknya
sehingga ia boleh memasukinya.

Aku melihat ada ramai orang yang digunting-gunting lidahnya, maka aku
bertanya kepada Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka
itulah orang-orang yang suka 'membawa mulut' ke sana ke mari.

Aku melihat juga orang-orang yang digantung dengan lidah-lidah mereka, maka
aku bertanya Jibril siapakah mereka itu, maka Jibril menjawab: Mereka
itulah orang-orang yang melempar tuduhan terhadap kaum Mukminin dan
Mukminat dengan tuduhan tanpa bukti dan palsu.


 

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1