SENI TARIAN DI MALAYSIA

Masyarakat Malaysia kaya dengan pelbagai kesenian dan kebudayaan tradisional. Kekayaan hasil kesenian dan kebudayaan masyarakat Malaysia ini bukan sahaja dibangga-banggakan oleh masyarakat Malaysia malahan oleh masyarakat luar negara. Oleh itu sewajarnya segala hasil seni budaya Malaysia ini dipelihara sebaik mungkin supaya kekal dan tidak luput ditelan zaman.

Pelbagai usaha boleh dilakukan atas kesenian serta kebudayaan tersebut bagi memastikan minat orang ramai terhadap kesenian ini berkekalan serta lebih menarik lagi. Malaysia terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum. Penduduk pelbagai kaum ini sudah tentu mempunyai pelbagai bentuk kebudayaan. Keadaan ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa.

Di antara kebudayaan tradisional masyarakat Malaysia ialah seni tari. Seni tari mempunyai hubungan yang rapat antara manusia dan alam. Setiap kaum di Malaysia mempunyai tariannya yang tersendiri. Tarian melambangkan tradisi sesuatu kaum. Dalam kebudayaan Malaysia, tarian merupakan salah satu warisan yang masih kekal hingga ke hari ini.

Tarian merupakan sejenis seni gerak halus. Setiap tarian mempunyai pergerakan yang khusus. Disebalik gerak tari yang ditonjolkan dengan lenggang-lenggok dan ayunan tangan yang lembut terdapat cerita yang menarik. Tarian dipersembahkan pada hari-hari keramaian untuk menambahkan kemeriahan dan juga menghiburkan hati.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1