UNDANG-UNDANG TUBUH BAGI :-

 

PERSATUAN PENDUDUK SEKSYEN 9, KOTA DAMANSARA ( KD 9 ), PETALING JAYA, SELANGOR.

 

 

FASAL 1          NAMA 

 

Pertubuhan ini dikenali dengan nama  PERSATUAN PENDUDUK SEKSYEN 9, KOTA DAMANSARA ( KD 9 ) , PETALING JAYA, SELANGOR.

selepas ini disebut  ‘Pertubuhan’.

 

 

FASAL 2          TEMPAT URUSAN

 

Alamat dan tempat urusan Pertubuhan ialah  No 7 Jalan Rimba Riang 9/3, Seksyen 9, Kota Damansara, 47810, Petaling Jaya, Selangor.

 

atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat ialah No 7 Jalan Rimba Riang 9/3, Seksyen 9, Kota Damansara, 47810, Petaling Jaya, Selangor.

Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Pertubuhan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

 

 

FASAL 3          BENDERA , LOGO DAN MOTO

 

 

(a)         Bendera KD 9

 

 

 

KD 9
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Warna dan makna :-

 

Oren :                Kecerian – bermaksud ceria sesama komuniti

Merah :               Keberanian – bermaksud berani mempertahankan KD9 demi kesejahteraan  bersama.

Hijau muda :       Bermaksud kesegaran, kebersihan dan kesucian

Biru :                   Bersatu – bermaksud bersatu dan tidak berpecah-belah mahu pun bersikap individualistik.

 

Ulasan simbolik:

 

1.      Warna oren dan merah melambangkan gabungan penduduk yang tinggal di Kota Damansara Seksyen 9 .

2.      Kedua-dua warna itu disatukan oleh bentuk bujur berwarna hijau muda yang melambangkan kesegaran yang berkekalan.

3.      Manakala tulisan KD9 pula berwarna biru mewujudkan kesatuan yang jitu.

 

 

 

 

(b)         Logo KD 9 :-

 

 

 

 

 

KD 9,BERSATU BERBUDI BERAKTIVITI
 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Warna dan makna :-

 

Hijau muda :                   melambangkan kesuburan dan keindahan

Biru (pada tulisan) :        melambangkan bersatu dan tidak berpecah-belah mahu pun bersikap individualistik

 

Tangan dan dahan :   melambangkan kesatuan penduduk KD 9 tidak mengira pangkat, umur mahu pun jantina, mampu bersikap toleransi demi menyuburkan dan mengindahkan lagi KD 9.

 

Bentuk Hati :                   melambangkan kecintaan kepada semangat bersatu, berbudi dan beraktiviti sesama komuniti KD 9 samada di peringkat dalaman hingga ke peringkat antarabangsa.

 

 

                    ( c ) Moto KD 9:-

                                                                                                          

                        “ BERSATU , BERBUDI , BERAKTIVITI”

 

 

 

FASAL 4          TUJUAN DAN OBJEKTIF

 

a)        Menjalankan aktiviti-aktiviti kegiatan penduduk bagi meningkatkan semangat kejiranan di kalangan penduduk dengan tidak mengira peringkat umur, bangsa dan agama bagi melahirkan komuniti yang bersatu, berbudi dan penyayang berlandaskan prinsip hormat menghormati dan kerjasama.

b)        Menjaga kepentingan, kebajikan dan hak-hak penduduk supaya penduduk dapat tinggal dengan aman, tenteram, selesa dan harmonis.

c)        Bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa tempatan yang berkenaan dalam memperbaiki dan meninggikan segala kemudahan dan infrastruktur demi keselesaan penduduk.

d)        Menggalakkan kegiatan kebajikan masyarakat, sukan dan kebudayaan di kalangan penduduk supaya lebih mengenali jiran tetangga.

e)        Memupuk semangat bersatupadu, bekerjasama, kekeluargaan dan interaksi bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan di Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor tetapi di kalangan jiran di seluruh Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dan juga di peringkat antarabangsa.

 

 

FASAL 5          KEAHLIAN

 

(1)         Syarat-syarat keahlian:

 

i) Semua penduduk warga Negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang tinggal di Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor adalah layak menjadi ahli persatuan tidak kira kaum, agama, bangsa, keturunan samada lelaki ataupun perempuan. Tiada had bilangan ahli di dalam persatuan.

                       

 

 

 

                        (2)    Hak Ahli

 

i) Masuk bertanding, mencadang atau menyokong sesuatu pencalonan     dan mengundi dalam pemilihan persatuan.

 

ii) Mengundi, bersuara dan mengeluarkan pendapat dalam Mesyaurat Agung Tahunan.

 

iii) Mengemukakan cadangan atau aduan kepada persatuan sekiranya berbangkit sebarang masalah.

 

(3)  Kewajipan Ahli

 

Tiap-tiap ahli mesti mematuhi perkara-perkara yang berikut di bawah ini :

 

i)                    Mematuhi dan mendukung Undang-Undang Tubuh persatuan dan peraturan badan-badan yang bergabung dengannya;

ii)                   Menghormati dan melaksanakan keputusan pihak pentadbir persatuan;

iii)                 Mempertahankan maruah, kehormatan dan hasrat persatuan;

iv)                 Menghormati dan memelihara harta benda persatuan;

v)                  Menjelaskan yuran persatuan seperti yang tersebut dalam Fasal 6, seksyen 2.  

 

(4)     Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

 

(5)     Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang dinyatakan di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran bulan pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Pertubuhan dan berhaklah ia sebagai ahli.

 

(6)     Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

 

 

FASAL 6          BAYARAN MASUK,YURAN DAN BAYARAN LAIN

 

(1)         Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:-

 

Bayaran masuk  : RM10 ( Ringgit  : Sepuluh )

 

Bayaran bulanan : RM 5 ( Ringgit  : Lima )

 

(2)         Yuran bulanan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh tujuh  hari dari awal tiap-tiap bulan.

 

(3)         Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih daripada dua bulan akan menerima surat peringatan yang ditandatangan oleh atau wakil Setiausaha, dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

 

(4)         Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

 

(5)         Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

 

(6)         Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.

 

 

 

 

FASAL 7          PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

 

(1)         Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi Ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

 

(2)         Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang mencemarkan nama baik Pertubuhan boleh dipecat atau digantungkan keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

 

 

FASAL 8          MESYUARAT AGUNG

 

(1)         Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi bilangan korum untuk mesyuarat.

 

(2)         Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

 

(3)         Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb.Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:-

 

(a)            Menerima laporan jawatankuasa berkenaan perjalanan Pertubuhan di dalam tahun yang lalu;

 

(b)            Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;

 

(c)            Memilih ahli-ahli jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun akan datang;

 

(d)           Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam  

  mesyuarat itu.

 

(4)         Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu notis dan agenda mesyuarat termasuk salinan minit mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli  di alamat tempat urusan Pertubuhan.

 

(5)         Mesyuarat Agung Khas bagi Pertubuhan ini boleh diadakan:-

 

(a)         Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

 

(b)         Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.

 

(6)         Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

 

(7)         Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya         14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

 

(8)         Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

 

(9)         Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan draf minit tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

 

 

 

 

FASAL 9          JAWATANKUASA

 

(1)         Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:-

 

Seorang Pengerusi

 

Seorang Naib  Pengerusi

 

Seorang Setiausaha

 

                                 Seorang Penolong Setiausaha

 

                                 Seorang Bendahari

 

                                 Sembilan Orang Ahli Jawatankuasa Biasa.

 

(2)         Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

 

(3)         Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.

 

(4)         Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

 

(5)         Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

 

(6)         Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

 

(a)         Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa;

 

(b)         Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

 

(c)         Keputusan hendaklah dengan undi yang banyak.

 

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

 

(7)         Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

 

(8)         Jika seorang ahli jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

 

(9)         Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurusan dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

 

(10)     Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.

 

 

FASAL 10        KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

 

(1)         Pengerusi, dalam masa menyandang jawatannya, hendaklah menjadi pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

 

(2)         Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatan  Pengerusi semasa ketiadaannya.

 

(3)         Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat-menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Pengerusi dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirim penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan, 1966.

 

(4)         Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

 

(5)         Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua pekara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Pengerusi dan Setiausaha.

 

(6)         Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

 

 

FASAL 11        KEWANGAN

 

(1)         Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi peraturan ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walaubagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

 

(2)         Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada                 RM500 (Ringgit : Lima ratus ) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.

 

(3)         Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa diantara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.

 

(4)         Perbelanjaan yang lebih daripada RM1,500 (Ringgit : Seribu lima ratus) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000 (Ringgit : Sepuluh ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada / atau dan RM1,500 (Ringgit : Satu ribu lima ratus) bagi sesuatu masa bolehlah diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari.

 

(5)         Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.

 

(6)         Tahun kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb. Januari dan berakhir pada 31hb. Disember tiap-tiap tahun.

 

 

 

 

 

 

 

FASAL 12        PEMERIKSA KIRA-KIRA

 

(1)         Dua orang ahli yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.

 

(2)         Pemeriksa Kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

 

 

FASAL 13        PENGAMANAH

 

(1)         Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).

 

(2)         Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan          hakmilik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Pertubuhan.

 

(3)         Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakkan jawatan atau pembuangan bagi seseorang oleh Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung.

 

 

FASAL 14        TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

 

(1)         Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

 

(2)         Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

 

 

FASAL 15        PENASIHAT/PENAUNG

 

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Pertubuhan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuan secara bertulis.

 

FASAL 16        LARANGAN

 

(1)         Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belankai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, video game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

 

(2)         Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti yang diterangkan di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

 

(3)         Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

 

(4)         “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada mana-mana ahlinya.

 

 

FASAL 17        PINDAAN UNDANG-UNDANG

 

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

 

 

FASAL 18        PEMBUBARAN

 

(1)         Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung dipanggil khas kerananya.

 

(2)         Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Pertubuhan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat  Agung berkenaan.

 

(3)         Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

……………………………………………                    ……………………………………………

Nama: Hj Dr. Ismadi Bin Hj Ishak                                 Nama: Azmay Bin Abd Rahman

Jawatan: Pengerusi                                                      Jawatan: Setiausaha

Hosted by www.Geocities.ws

1