Utusan Malaysia - hiburan
 hiburan

Mengenali penyanyi Kadim Al Sahir

Oleh ROSLI MANAH

APABILA menyebut Iraq ingatan seseorang tentunya akan terlintas wajah Saddam Hussein dan perang yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat ke atas bumi itu.

Dalam dunia hiburan, Iraq sebenarnya memiliki seorang `duta' iaitu penyanyi terkenal Kadim Al Sahir. Penyanyi ini bukan sekadar terkenal di negara-negara Arab malah di kalangan peminat muzik Barat.

Terbaru beliau berduet bersama penyanyi Sarah Brightman menerusi lagu, The War Is Over.

Tentu sekali lagu itu mengisahkan peperangan di negaranya yang telah mengorbankan sekian banyak nyawa. Ini jugalah kesempatan Kadim menggunakan popularitinya untuk melaungkan suara hatinya.

Bagi peminat seni di Malaysia, mereka juga berpeluang untuk mengenali dan mendengar lagu-lagu Kadim apabila penyanyi itu mengadakan persembahan Kadim Al Sahir Live In Malaysia di Arena of Stars, Genting Highlands, 10 Julai ini.

Menariknya, tiket yang dijual dengan harga daripada RM90 hingga RM480 mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat lagu-lagu Arab.

Kadim yang telah menghasilkan 11 album adalah salah seorang penyanyi pop lelaki yang terkenal dan memiliki banyak himpunan lagu-lagu popular. Album-album tersebut telah terjual melebihi 31 juta unit.

Dia pernah merakam lagu duet bersama penyanyi rock, Lenny Kravitz berjudul We Want Peace. Ini sesuai dengan jiwanya kerana majoriti lagu-lagu Kadim menyentuh hasratnya yang ingin melihat dunia yang aman.

Kadim sering digelar Elvis Presley dan Luciano Pavaroti Arab kerana mempunyai latar belakang muzik klasikal yang digarap dengan muzik pop.

Bagaimanapun, cita-cita untuk terus maju mungkin tidak kesampaian selagi dia berlokasi di Iraq. Maka, Kadim meninggalkan tanah kelahirannya. Dia tidak lagi kembali ke Iraq sejak meninggalkan negaranya selepas perang Teluk pada 1991. Lagunya yang berjudul The Betrayal bertujuan mengkritik perang Iran-Iraq.

Kadim pernah menetap di Paris, Perancis dan merakam album di Kaherah, Istanbul dan Los Angeles. Dia yang terlibat dalam bidang muzik sejak kanak-kanak lagi dan mula mempelajari muzik pada usia 10 tahun kini memiliki kewarganegaraan Kanada dan tinggal di negara itu.

Pada usia 12 tahun dia mula pandai menulis puisi untuk dilagukan sebelum mengikuti sekolah muzik di sebuah akademi muzik berprestij di Baghdad.

Kadim mencipta lagu untuk penyanyi lain terlebih dahulu sebelum merakam album dengan tujuan mencipta identiti. Indentitinya adalah menghasilkan lagu dengan mengadunkan muzik tradisional Arab dengan muzik Barat.

Pada tahun 1994 semasa menetap di Kaherah, dia mendapat tempat untuk muncul di stesen televisyen di sana.

Populariti Kadim memberi ruang kepadnya muncul dalam banyak festival seperti Jerash (Jordan), Kirtaj (Tunisia), Festival Lagu Arab (Mesir) dan banyak lagi di samping pernah berlakon dalam siri televisyen, Al Musafir.


� UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
Hosted by www.Geocities.ws

1