Ulasan Puisi: Pe(r)juang(an) Bahasa & Pe(r)juang(an) Bahasa II

Karya: Uthaya Sankar SB

Laman Web: Komuniti Penyair

Tarikh: 26 Disember 2002

Pengulas : Nakhoda

      
Ulasan

Kerana kekaguman saya kepada penulis Bukan Melayu ini serta keterpikatan saya kepada bakat semula jadinya, lantaran sajak-sajak beliau yang dua bersambungan (sama pada mesej dan temanya) menjadi pilihan untuk diberikan ulasan.

Sajak Pe(r)juang(an) Bahasa dan Pe(r)juang(an) Bahasa II, sekilas melihat pada tajuknya, saya terkesan ada huruf yang terkurung (r) dan (an), manakala ‘Pe’ dan ‘juang’ bebas terlepas. Tetapi, kalau saya cantumkan ‘Pe’ dan ‘juang’ maka jadilah suatu perkataan lengkap iaitu 'Pejuang' dan nyata pada tajuk sajak ini sahaja sudah terbetik kekreatifan penyajak ini.

Kerana saya lebih terpikat kepada ceritanya terlebih dahulu; maka itu yang saya cari dari belukar mimpi dan hutan ilusi. 'Pejuang Bahasa' adalah watak protagonisnya manakala 'Pengkhianat Bahasa' adalah watak antagonisnya pula. Semacam ada perlawanan antara kedua-duanya. Mereka yang terdidik oleh bahasa ibunda dan terpelajar oleh bahasa kebangsaan pasti kental semangat patriotisme dan nasionalisme mereka.

Kalau sudah sebati pelajaran dan sehati pengajaran, kecintaan untuk mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan akan berterusan. Biarpun dirinya ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi hari: “biar siapa menentang / jangan diam terus cabar”.

Kerana bahasa itu maruah sesuatu bangsa, protagonis Sang Pejuang Bahasa akan berbuat sesuatu yang di luar dugaan, 'Pengkhianat Bahasa' wajar diajar: “buru penghalang cinta / bunuh petualang bahasa / bahasa menunjukkan bangsa / hilang bahasa, di mana kita?”

Setiap 'perancangan jahat' oleh Pengkhianat Bahasa wajarlah diselongkar, ditumpaskan sebelum menular dan membesar. Walaupun, perjuangan hingga ke penghujung titiss keringat dan sisa semangat, matlamat tidak dibiar tersekat oleh lelah penat: “bongkar perut bumi / dedah apa yang hakiki / berjuang hingga semput nadi / kemenangan bakal dimiliki”.

Sajak Pe(r)juang(an) Bahasa II adalah bukti kesinambungan perjuangan Sang Pejuang Bahasa berusaha memperkasakan bahasa dan memperkayakan kedaultannya dalam visi yang hakiki, tidak berbelah-bahagi kepada pertiwi. Segala jerih-perih perjuangan membuahkan hasil (berterusan sepanjang zaman) dan raikanlah setiap 'kemenangan' dengan rasa  kesyukuran': “kuraikan kejayaan / menumpaskan petualang / kusambut kemenangan / menewaskan dalang”.

Namun, protagonis Sang Pejuang Bahasa wajar berwaspada, seandainya ada lagi saki-baki Pengkhianat Bahasa yang bersembunyi (menukar identiti), atau berpura-pura (berlakon di hadapan kita) hendaklah pengkhianat jenis ini didedahkan identiti mereka yang sebenar dan 'wabak ideologi' atau 'gejala buruk' anutan atau bawaan mereka hendaklah diperhati dan diawasi lantas didedahkan kepada masyarakat, dan biar 'suara ramai' menentukan hukuman ke atas mereka (Pengkhianat Bahasa) ... “nescaya ada lagi / dalang dan talam cuba mencabar / kita cabar ia di muka pentas / buktikan siapa benar, siapa bertopeng”.

Apabila segala-galanya sudah benar-benar 'bersih' dan 'pulih' barulah 'kejayaan kemenangan' boleh disambut: “ayuh kita raikan kejayaan / ayuh kita sambut kemenangan / petualang bahasa sudah tumpas / dalang bahasa sudah tewas”.

       

Kesimpulan

Ternyatalah kedua-dua sajak Pe(r)juang(an) Bahasa dan Pe(r)juang(an) Bahasa II sederhana garapannya dan punya mesej yang tepat dan berkesan, iaitu mengenai perjuangan seorang protagonis (Aku) dengan semangat juangnya yang membara dan agresif sifatnya; ternyata cintakan Bahasa Malaysia. Kepada penyajak muda ini, nukilan yang sebegini rapi dan berani, sudah cukup menyentuhi nubari kecintaan terhadap pertiwi. Beliau mengerti peri Visi Sebuah Generasi!

© www.communityzero.com/penyair

Hosted by www.Geocities.ws

1