Kucari Kasih Ibu Di Sini

Wartawan: Gayathry

Penulis: Uthaya Sankar SB

     

“Mari, nak. Mari emak suapkan nasi.”

Begitulah suara kasih seorang wanita menyuap nasi ke mulut 60 kanak-kanak. Tentu ramai yang hairan bagaimana ada 60 anak untuk seorang wanita. Tapi itulah gambaran yang ada di Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Rita, Kapar, Selangor.

Rencana yang disiarkan dalam majalah NILA, 1 April 2003

Kunjungan wakil NILA ke pusat penjagaan ini mendapati apa yang ada di sini adalah suasana sebuah keluarga besar. Bukan seperti sebuah pusat penjagaan kanak-kanak cacat.

“Saya macam emak mereka semua. Saya bukan bos tetapi saya melihat mereka semua macam anak saya sendiri,” kata Rita sambil menggaul nasi dalam dulang besar untuk disuap ke mulut ‘anak-anak’ beliau.

Rita mengasaskan pusat penjagaan ini pada tahun 1998. Pada mulanya ada sepuluh kanak-kanak di sini. Tetapi sumbangan daripada orang ramai terlalu kurang sehingga makanan tidak mencukupi.

“Lama-kelamaan, orang ramai mula tahu mengenai pusat penjagaan ini dan mula memberi sumbangan. Orang yang tahu mengenai pusat ini mula beritahu rakan-rakan dan saudara-mara. Syukurlah kanak-kanak di sini tidak menghadapi masalah makanan,” Rita menjelaskan.

Bagaimana beliau mula terlibat dalam kerja amal seperti ini?

“Saya telah banyak menderita. Saya berkahwin pada tahun 1982. Setahun kemudian, suami saya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Saya kehilangan teman hidup,” kata Rita sambil mengimbau masa lalu.

“Lepas itu, saya mula dilayan dengan teruk oleh ibu mentua. Kerana tidak tahan, saya keluar dari rumah itu dan bekerja di beberapa pusat penjagaan kanak-kanak,” tambah beliau dengan sayu. “Masa itulah saya mula merasakan hidup lebih kosong kerana saya tidak ada anak sendiri.”

Akhirnya, pada tahun 1998, beliau memulakan Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Rita. Kalau dulu, beliau sedih kerana tidak ada anak, kini ada 60 ‘anak’ yang memanggilnya ‘emak’.

Rita dibantu oleh Encik Maran untuk mengendalikan pusat penjagaan ini. Beliau sudah berkeluarga dan hidup bahagia. Tetapi beliau juga ada cerita sedih.

“Kakak saya seorang cacat. Jadi, saya tahu macam mana perasaan orang cacat. Saya mahu membantu mereka. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang sangat memerlukan kasih-sayang,” kata Encik Maran.

“Selama ini, pusat penjagaan kami menggabungkan tiga buah rumah teres. Tapi oleh kerana ada 60 kanak-kanak, saiz pusat penjagaan ini sudah tidak sesuai,” Encik Maran menjelaskan sambil membawa wakil NILA melawat bangunan berkenaan.

Kanak-kanak di pusat penjagaan ini mempunyai bermacam-macam latar belakang. Ada yang cacat tubuh badan dan ada yang terencat akal. Ada juga kanak-kanak yatim-piatu. Malah ada kanak-kanak yang ditinggalkan di pusat ini kerana ibu bapa terlalu miskin untuk menjaga mereka.

“Saya ada emak tapi emak tak sayang saya,” kata Mohanadas, kanak-kanak berumur sembilan tahun dari Sungai Buloh. “Saya tinggal dengan chitti (adik pada emak) tapi dia dera saya. Chitti ada hubungan sulit dengan seorang lelaki. Jadi, dia dera dan bagi amaran supaya saya tutup mulut.”

Mohandas menceritakan kisahnya dengan sedih. Pengalaman dan penderaan yang dilaluinya sungguh menyentuh hati.

Chitti calar kepala saya dengan pisau. Saya rasa sangat sakit dan menangis. Saya tak tahan sakit,” katanya dengan linangan air mata. “Akhirnya saya lari dari rumah. Jabatan Kebajikan hantar saya ke sini.”

Adakah Mohanadas mahu pulang kepada emaknya?

“Tak mau! Tak mau! Saya sangat gembira di sini. Saya ada amma yang sangat sayangkan saya,” katanya dengan pantas sambil memeluk Rita.

Apakah kanak-kanak itu memahami kesukaran yang dihadapi oleh Rita dan Maran untuk menguruskan pusat penjagaan ini? Orang ramai juga perlu faham bahawa mereka memerlukan bantuan kewangan. Menjaga 60 kanak-kanak bukannya mudah. Bangunan yang lebih besar juga diperlukan.

Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Rita akan mempunyai bangunan baru yang lebih besar tidak lama lagi.

“Sejumlah RM19,000 diperlukan untuk membina bangunan baru ini. Kami mahu memberikan kemudahan yang selesa kepada semua kanak-kanak di sini,” kata Rita. “Peletakan batu asas sudah pun dibuat. Kami benar-benar mahu membina bangunan ini.”

Masalah yang dihadapi sekarang adalah masalah kewangan. Bantuan orang ramai sangat diperlukan untuk meneruskan pembinaan bangunan baru ini.

“Kalau tidak, entah timbul masalah … sebab bangunan yang ada sekarang tak cukup untuk 60 orang,” jelas Rita. “Saya tidak sangguh berpisah dengan mereka.”

Walaupun terdapat 60 kanak-kanak di pusat ini, Rita mengasihi kesemua mereka. Kanak-kanak di sini juga berjaya dalam pelajaran. Misalnya, Rajasegaran adalah pelajar contoh di sekolah.

Kanak-kanak berumur sepuluh tahun ini yatim-piatu. Berikutan dorongan dan kasih-sayang Rita, dia cemerlang dalam pelajaran. Rajasegaran menjadi kebanggaan rakan-rakannya di pusat penjagaan ini.

Seorang lagi kanak-kanak yang selalu kelihatan di Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Rita adalah anak kecil berumur lapan tahun. Namanya Astika. Dia adalah kanak-kanak normal. Jadi, apa yang dia buat di pusat penjagaan ini?

“Saya ikut bapa saya ke sini,” kata Astika iaitu anak Encik Maran. “Saya juga mahu membantu kanak-kanak di sini. Kalau cuti, saya suka datang dan bermain dengan kanak-kanak di sini. Saya gembira dan mereka pun gembira.”

Kenapa Astika tidak pergi bersiar-siar semasa cuti sekolah?

“Saya tak mahu bergembira seorang diri. Saya mahu gembirakan kanak-kanak di sini,” kata Astika yang petah bercakap.

Seorang kanak-kanak berumur lapan tahun sedar betapa kanak-kanak di pusat penjagaan ini memerlukan bantuan. Bagaimana pula dengan orang ramai?

“Kami sangat mengharapkan bantuan daripada masyarakat. Kami merayu sumbangan demi untuk kanak-kanak kurang bernasib baik yang tinggal di pusat ini,” kata Rita dengan penuh mengharap sambil memeluk kanak-kanak yang dianggapnya sebagai anak sendiri.

NILA, 1 April 2003

Majalah NILA terbit pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan. Harga: RM1.50. Hubungi [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai majalah dwibulanan ini.

Hosted by www.Geocities.ws

1