Bercinta bukan lagi sesuatu yang pelik di kalangan pelajar dan remaja. Ramai yang menyalahkan pengaruh filem dalam hal ini. Apa pula pandangan golongan remaja mengenai soal percintaan di kalangan pelajar?

Berikut pandangan yang dikumpul oleh Jordan, Sre Murugan, Lesle, Thinesh dan Logeswaran (Kelab Kavyan) daripada rakan-rakan mereka.

     

Jordan: Pada pandangan saya, bercinta semasa masih bersekolah hanya merugikan masa. Lagi pun, kita tidak akan dapat menumpukan perhatian pada pelajaran.

Manimaran: Pasti menimbulkan banyak masalah sebab tidak boleh tumpukan perhatian pada pelajaran. Asyik memikirkan kekasih sahaja.

Yoke Peng: Membazir masa dan wanglah!

Hari Prakash: Ia mungkin mendorong remaja berkenaan melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Nanti timbul pula macam-macam masalah sosial. ‘Stress’ pun bertambah.

Lesle: Golongan pelajar masih belum faham makna sebenar cinta. Mereka sekadar mencuba. Sebab itulah timbul masalah dan perasaan kecewa.

Nirosyha: Cinta sangat bermakna dan tidak ternilai. Cinta tidak boleh dihalang oleh sesiapa. Jadi, cinta di kalangan pelajar juga tidak boleh dikatakan salah.

Thinesh: Perasaan kasih sayang mestilah mendalam dan berkenalan. Keikhlasan juga penting. Kalau tidak boleh setia pada kekasih, janganlah bercinta!

Khoo Chien Chien: Bercinta membuatkan seseorang memiliki fikiran yang lebih dewasa dan matang. Kematangan ini sangat penting dalam pelajaran. Jadi, kalau bercinta secara bermoral, tak salahlah.

Nimalan: Memang ada kebaikan dan ada keburukan. Tapi kalau cinta itu cinta sejati, tentu akan berjaya.

Gopala Nair: Jangan salah gunakan cinta untuk membuat perkara-perkara yang tidak baik. Nanti, remaja dan keluarganya yang menanggung malu.

Vimalan: Cinta kadang-kadang menyebabkan saya berasa gembira dan kadang-kadang menyebabkan saya berasa sedih. Itulah lumrah percintaan.

Abegail Noel Kostka: Cinta menjadikan seseorang lebih romantik dan lebih memahami perasaan orang lain. Boleh juga menghilangkan rasa tension dan sedih. Tentu gembira kalau dapat kekasih yang romantik dan baik hati!

Sre Murugan: Ada orang yang jatuh cinta kerana mementingkan kekayaan dan wang. Akhirnya timbul masalah. Sepatutnya, bercinta bukan untuk wang tapi kerana keikhlasan.

Rubendran: Bercinta boleh menyebabkan pelajar menghadapi masalah dengan ibu bapa. Ada pula yang lari dari rumah. Semua ini tidak baik.

Premnath: Sepatutnya tunggulah sehingga berumur 20 tahun supaya fikiran lebih dewasa dan matang. Barulah boleh membuat pilihan yang bijak dan boleh menjadi kekasih yang setia sehingga berkahwin.

Viknesvathy: Percintaan semasa remaja adalah sesuatu yang sangat biasa. Tapi biasanya remaja tidak serius dalam bercinta. Untuk suka-suka sahaja. Lebih baik tumpukan pada pelajaran. Setelah habis belajar, bolehlah bercinta dan berkahwin.

Mani: Apalah gunakan usia remaja kalau tidak bercinta? Kalau tahu membahagikan masa, tentu tidak jejaskan pelajaran. Jangan pula melampau sehingga kekasih mengandung!

Yuwa: Cinta menyebabkan remaja mengabaikan pelajaran. Ini adalah suatu kesilapan besar. Kalau kekasih tinggalkan kita, boleh cari lain. Kalau gagal dalam pelajaran, tak boleh diganti lagi.

Loges: Apa yang remaja dan pelajar panggil sebagai cinta sebenarnya hanyalah “puppy love” atau “cinta monyet”. Mereka tidak setia dan berfikir untuk bercinta dan akhirnya berkahwin. Jadi, mengapa perlu bercinta? Lebih baik tumpukan pada pelajaran.

Rajesh: Tak salah bercinta. Perasaan cinta memang tak boleh dihalang. Tapi harus ada batasan. Jangan terikut-ikut cara orang barat bercinta iaitu seks pun dianggap sebagai mesti ada kalau bercinta. Itu adalah salah.

Geetha: Remaja yang bercinta selalu mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan seorang anak. Sepatutnya, cintai keluarga dan pelajaran. Itulah yang akan menjamin masa depan.

Yugana: Cinta adalah sesuatu yang menarik dan mengagumkan. Tapi kalau putus cinta, sangat menyeksa dan menyedihkan.

Sharu: Cinta hanyalah satu beban yang akan mengganggu pelajaran.

Ramani: Sibuk dengan pelajaran di sekolah dan kelas tuisyen. Jadi, macam maca pula remaja ada masa untuk bercinta?

Suzana Thomas: Cinta adalah sesuatu yang suci. Ia dicemar oleh orang yang tidak tahu makna cinta. Remaja juga terpengaruh dengan cara bercinta yang salah. Sebab itulah timbul segala masalah.

Loges: Remaja perlu sedar bahawa cinta adalah seperti cermin. Kalau pecah atau retak, ia tidak boleh dibaiki lagi. Jadi, berhati-hatilah sebelum bercinta.

 

Nila, 15 Jun 2003

Hosted by www.Geocities.ws

1