“Cukupkah wang untuk membeli barang dan membayar upah pekerja?” tanya Chellam dengan perasaan risau.

Kavitha tidak segera menjawab. Dia memendang emaknya dengan pandangan kosong. Kemudian dia memandang adik-adiknya. Selepas itu dia mengeluh.

“Rasa-rasanya tak cukup, mak. … Sia-sialah harapan saya dan impian saya untuk mengubah suai rumah ini,” kata Kavitha dengan sedih.

Karpagam menghampiri kakaknya dan memegang bahu gadis berumur lapan belas tahun itu.

“Janganlah kakak cepat putus asa. Sudahkah kakak lupa semua peribahasa Tamil yang kita belajar di sekolah dahulu?” tanya Karpagam sambil memandang tepat ke mata Kavitha.

“Kita boleh menukar nasib dengan akal …,” Kogila menegaskan sambil menghampiri Kavitha.

“Betul, kakak. Kita boleh menukar nasib kita kalau kita menggunakan akal,” ulang Kannama pula.

“Ya … Kita mesti lakukan sesuatu tanpa berputus asa,” kata Kavitha pula dengan penuh semangat. “Saya sudah tahu bagaimana kita boleh mengubah suai rumah ini dengan wang yang sedikit!”

Lalu Kavitha menceritakan rancangannya kepada emak dan adik-adiknya. Mereka sebulat suara menyokong usul Kavitha. Kemudian mereka pergi bertemu seorang lelaki warga Indonesia yang tinggal di kawasan mereka. Dia dan rakan-rakannya adalah buruh binaan. Mereka memang pakar membina rumah.

“Bolehkah bapak dan rakan-rakan bapak membuat kerja-kerja ubah suai di rumah saya?” tanya Kavitha selepas menjelaskan tujuan kedatangannya.

Lelaki yang bernama Somad itu menerima tawaran Kavitah dengan hati yang gembira. Kebetulan, selama seminggu itu dia dan rakan-rakannya tidak ada kerja.

Lalu Kavitha membincangkan kos membeli barangan dan upah pekerja dengan teliti. Setiap sen diambil kira supaya tidak melebihi belanjawan yang disediakan.

Pada kesokannya, Kavitha dan Kogila pergi bersama-sama Somad ke kedai untuk membeli bumbung dan beberapa peralatan yang diperlukan. Kedua-dua gadis itu tidak terus membeli barangan yang diperlukan. Sebaliknya mereka meninjau harga di beberapa buah kedai. Mereka juga menawar harga barangan.

Akhirnya mereka berjaya membeli semua barangan yang perlu dengan harga yang lebih rendah daripada harga asal yang dijangkakan oleh Somad pada hari sebelumnya. Kavitha dan Kogila terasa bangga. Somad pula terasa kagum dengan kehebatan dan kemampuan kedua-dua gadis itu tawar-menawar harga barangan.

“Wah! Kalaulah bapak ada orang seperti ini bersama bapak, tentu bapak boleh untuk besar dalam kerja bapak sebab boleh beli barangan dengan harga cukup murah,” kata Somad dengan rasa bangga.

Mereka bertiga meminta tuan punya kedai menghantar semua barang yang dibeli ke rumah mereka. Apabila barangan sudah sampai, kerja-kerja membaik pulih pondok buruk mereka pun bermula.

Somad hanya membawa seorang pekerja untuk membantunya. Memang itulah arahan Kavitha. Dia hanya sanggup membayar upah bagi dua orang tukang. Dia tidak mahu membazir wang dengan mengupah ramai pekerja.

“Kalau hanya dua orang bekerja, tentu susah sikit,” rungut Somad sambil memulakan kerja-kerja menukar bumbung.

Pada waktu itu, Kavitha keluar dari rumah sambil memakai seluar panjang. Kogila, Kannama dan Karpagam juga berpakaian begitu.

“Eh! Kamu semua mahu pergi mana?” tanya Somad dengan hairan.

“Kami mahu membantu kerja bapak,” jawab Karpagam.

Somad terasa sangat hairan. Pada mulanya dia sangka anak-anak gadis itu sedang bergurau. Tetapi kemudian dia nampak gadis-gadis berkenaan mengambil alat-alat tukang kayu dan benar-benar mula bekerja.

“Wah! Kamu semua anak-anak yang terpelajar. Tak usahlah buat kerja-kerja yang tak baik macam ini,” kata Somad dengan segera cuba menghalang mereka.

Kavitha hanya tersenyum. Kogila, Kannama dan Karpagam juga saling berpandangan dan tersenyum.

“Janganlah kata begitu, bapak. Tak ada undang-undang mengatakan orang yang berpelajaran tak boleh buat kerja seperti ini,” kata Kavitha.

“Lagi pun, kami sedang tolong bapak mengubah suai rumah kami sendiri. Bukahkah itu tugas kami?” sampuk Karpagam pula.

“Aduh! Tapi janganlah kotorkan tangan kamu semua. Biarlah saya dan pekerja saya sahaja yang buat semuanya,” Somad cuba memujuk mereka.

Kavitah dan adik-adiknya tetap berkeras. Akhirnya Somad terpaksa mengalah. Dia membenarkan mereka membantu kerja-kerja mengubah suai rumah Chellam. Mereka bekerja keras tanpa menghiraukan panas matahari.

Chellam duduk melihat keligatan anak-anaknya bekerja. Sambil itu, dia terkenangkan kisah yang berlaku hampir empat belas tahun dahulu. Kejadian lama tergambar di hadapan matanya bagaikan tayangan sebuah filem.

Pada waktu itu, Chellam, Selvam dan tiga anak mereka baru sampai di Kuala Lumpur. Mereka telah dihalau oleh emak Selvam semasa Chellam sedang mengandungkan anak keempat.

Apabila sampai di kawasan setinggan, Selvam dan Chellam memutuskan untuk membina sebuah rumah papan. Lalu Chellam telah mengumpul papan dan kayu serta atap terbuang. Dia bertungkus-lumus membina sebuah pondok buruk untuk mereka sekeluarga berteduh.

Kavitha, Kogila dan Kannama yang masih kecil pada waktu itu tidak boleh membantu. Mereka hanya bermain-main di sekitar rumah dan menangis apabila lapar. Selvam pula memang tidak boleh diharap. Dia langsung tidak membantu Chellam yang bersusah-payah membina sebuah rumah setinggan.

Kini, rumah setinggan yang sama sedang diubah suai oleh Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam. Chellam pula hanya duduk melihat mereka bertungkus-lumus bekerja bersama-sama Somad dan seorang lagi pekerja warga Indonesia.

Apakah hidup Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam juga akan sama dengan kisah hidup Chellam? Adakah sejarah akan berulang? Chellam terasa amat risau dan takut memikirkan soalan-soalan itu.

... bersambung dalam keluaran akan datang

         

Cerita Bersiri Perjuangan Berterusan disiarkan dalam majalah NILA mulai keluaran 15 April 2003 dan dalam surat berita Kavya mulai keluaran Mei 2003. Majalah NILA terbit pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan di mana Uthaya Sankar SB bertindak sebagai "agen sastera" untuk menyalurkan karya bakat-bakat baru. Hubungi [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai majalah NILA atau layari laman web www.neela.cjb.net

Hosted by www.Geocities.ws

1