Hari berganti hari dan minggu berganti minggu. Kavitha belajar di sebuah swasta sambil bekerja di sebuah syarikat. Dia belajar kursus perakaunan. Kerjanya juga dalam bidang yang sama. Jadi, Kavitha dapat menggunakan apa yang dipelajari di kolej untuk meningkatkan mutu kerja. Pengalaman bekerja pula memudahkan dia memahami apa yang dipelajari.

“Gaji dah keluar,” kata Deepamalar sambil menghampiri meja di mana Kavitha duduk membuat kerja.

Wajah Kavitha berseri. Senyuman terukir pada bibirnya. Tidak disedarinya masa berlalu begitu cepat. Terasa seperti baru minggu lalu dia mula bekerja. Kini sudah cukup sebulan.

“Wah! Gembiranya kawan kita,” tegur Preeya yang juga bekerja di syarikat yang sama.

“Mestilah, sebab kawan kita ni akan terima gaji sulung. Tentu dia ada macam-macam rancangan,” kata Deepamalar pula.

Memang kata-kata Deepa ada kebenaran. Kavitha ada macam-macam rancangan bagi wang yang diterima sebagai gaji sulung. Kalau boleh, dia mahu membelikan pelbagai hadiah untuk emak dan kedua-dua adiknya. Kalau boleh, dia mahu membawa keluarganya bersiar-siar seluruh Kuala Lumpur dan makan makanan yang paling mahal.

“Ah! Aku mesti tidak terlalu berangan-angan,” fikir Kavitha dalam diri. “Aku mesti bijak membelanjakan gaji sulung ini. Aku mesti bayar yuran kolej. Bakinya, aku mesti buat belanjawan yang bijak.”

Petang itu, apabila sampai di rumah, Kavitha menghulurkan sampul berisi wang gaji kepada ibunya. Chellam terharu menerima sampul itu. Air mata mula mengalir.

“Terasa seperti baru semalam kau masih seorang kanak-kanak. Tapi hari ini kau sudah bekerja dan memperoleh gaji sulung,” Chellam bersuara sayu.

Kavitha segera sujud di kaki Chellam dan memohon restu ibunya. Chellam segera meminta Kavitha berdiri.

“Semoga kau bahagia dan dipanjangkan umur,” Chellam merestui anak sulungnya.

“Bagaimana pula dengan kami?” sampuk Karpagam pula sambil turut sujud pada kaki ibunya.

“Ibu doakan supaya kamu semua hidup bahagia,” kata Chellam sambil memandang Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam. “Ibu sangat kagum dengan semangat dan keyakinan diri yang kamu semua miliki.”

Mereka empat anak-beranak berpelukan. Sejurus selepas itu, mata Kavitha liar memandang keliling ruang tamu.

“Apa yang kakak cari tu?” tanya Kannama.

“Kakak cari bapa, ya?” Kogila menduga.

Chellam menghela nafas dan menghembusnya dengan penuh kecewa.

“Seperti biasa, bapa kamu sudah keluar untuk bertemu kawan-kawannya di kedai menjual arak,” Chellam menjelaskan.

Kavitha tertunduk. Dia snagat kecewa dengan sikap bapanya, Selvam. Dia sedar bahawa bapanya seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Segala kejayaan Kavitha dan adik-adiknya sekarang adalah berkat usaha ibu mereka. Bapa mereka sedikit pun tidak membantu.

“Anak-anak perempuan memang menyusahkan. Entah dia ni pergi belajar di kolej atau mencari duit dengan cara yang hina.”

Pernah Selvam berkata begitu semasa Kavitha mula belajar di kolej dan bekerja sebulan lalu. Kata-kata itu amat menyakitkan hati. Kalau bukan kerana emaknya, sudah lama Kavitha putus asa untuk hidup.

Selvam selalu menghina anak-anaknya sendiri. Sebab itulah anak-anaknya tidak sukakannya. Mereka juga sedih kerana selalu dihina. Akan tetapi, Chellam selalu menasihatkan mereka supaya bersabar.

“Sabarlah. Saya doakan supaya suatu hari nanti, bapa kamu akan insaf. Dia akan sedar segala kesilapannya. Pada waktu itu, kamu semua mesti memaafkan bapa kamu,” pesan Chellam kepada anak-anaknya.

Gaji sulung yang diterima oleh Kavitha tidaklah banyak. Bagaimanapun, Kavitha tidak mahu membazir walau satu sen pun. Dia membeli sari untuk Chellam. Dia juga memberi wang tunai untuk belanja adik-adiknya. Selepas membayar yuran kolej, ada sedikit wang baki.

“Saya ada sedikit rancangan untuk wang ini,” kata Kavitha. “Apa kata kita ubah suai sedikit rumah ini?”

“Bagus cadangan tu,” pintas Karpagam. “Bumbung rumah ni bocor. Kalau hujan, air selalu mengalir masuk. Habis buku-buku basah.”

“Betullah, kakak. Susah juga nak belajar kalau hujan,” sambung Kannama.

Kavitha memandang ibunya.

“Apa pula pandangan emak?” tanya Kavitha.

“Saya biarkan kamu buat keputusan,” kata Chellam sambil tersenyum. “Tentu kamu tahu apa yang terbaik. Apa pun keputusan kamu, saya sokong. Emak tahu bahawa kamu akan ambil keputusan yang terbaik.”

“Tapi, kakak,” kata Kogila pula. “Cukupkah wang untuk membeli barang dan membayar upah pekerja?”

Kavitha terdiam. Dia merenung wajah Kogila. Kata-kata adiknya adalah benar. Tentu dia perlukan wang yang agak banyak untuk membeli barang dan juga membayar upah pekerja.

Gadis itu merenung sampul surat berisi baki wang gaji sulung yang diterima. Dia mengeluarkan wang dari dalam sampul dan mula membilang jumlahnya. Chellam, Kogila, Kannama dan Karpagam pula terdiam sambil menanti Kavitha selesai menghitung wang berkenaan.

... bersambung dalam keluaran akan datang

         

Cerita Bersiri Perjuangan Berterusan disiarkan dalam majalah NILA mulai keluaran 15 April 2003 dan dalam surat berita Kavya mulai keluaran Mei 2003. Majalah NILA terbit pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan di mana Uthaya Sankar SB bertindak sebagai "agen sastera" untuk menyalurkan karya bakat-bakat baru. Hubungi [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai majalah NILA atau layari laman web www.neela.cjb.net

Hosted by www.Geocities.ws

1