Nama saya Chellam. Sebelum ini, anda telah membaca kisah saya ditulis oleh orang lain. Kali ini, saya sendiri akan menceritakan kisah saya kepada anda. Saya harap anda akan lebih memahami penderitaan dan perjuangan saya dalam hidup ini.

Pada waktu siang, saya menyapu jalan. Pada sebelah malam pula, saya mencuci pinggan-mangkuk di sebuah kedai makan kepunyaan sebuah keluarga Cina. Memang saya penat bekerja tetapi saya sanggup berkorban demi masa depan keempat-empat anak saya.

“Emak, lihatlah keputusan UPSR saya,” kata Kavitha suatu hari sambil berlari-lari pulang dari sekolah.

Hati saya berdebar. Apakah keputusan yang diterima oleh anak sulung saya? Kalau keputusannya baik, tentu Kavitha akan menjadi sumber inspirasi kepada adik-adiknya. Akan tetapi, jika keputusannya kurang baik, apa yang boleh saya lakukan?

Sambil cuba mengawal perasaan berdebar-debar, saya melihat kertas yang dihulurkan oleh Kavitha. Secara tiba-tiba sahaja, air mata saya mula mengalir. Tulisan pada kertas keputusan UPSR itu menjadi kabur kerana mata saya digenangi air. Namun, saya dapat melihat dengan jelas tanda “A” yang tercatat pada kertas keputusan itu. Ada tujuh “A” semuanya.

Saya kehilangan kata. Saya terus memeluk Kavitha dan menangis sepuas-puas hati. Kogila, Kannama dan Karpagam pula terpinga-pinga melihat kelakuan saya. Agaknya mereka tidak faham mengapa saya menangis dan mengalirkan air mata.

“Emak sangat bangga dengan keputusan kamu, Kavitha. Emak memang tahu bahawa kamu seorang pelajar yang bijak. Kamu membuatkan emak dan adik-adik kamu sangat bangga,” kata saya selepas mengelap air mata di pipi.

Kavitha cuba tersenyum. Akan tetapi, dia juga sedang menangis. Tentu sahaja anak sulung saya turut tidak dapat mengawal perasaan gembira kerana pengorbanannya membawa hasil. Kavitha mendapat 7A dalam UPSR. Sejuk hati saya menatap kertas keputusan itu.

“Bukan kita sahaja yang bangga, emak,” kata Kogila. “Guru besar dan semua guru di sekolah juga sangat gembira. Semua orang memuji kakak. Mereka juga memuji emak kerana berjaya membimbing kakak sehingga berjaya dalam UPSR.”

Kejayaan Kavitha mendapat 7A dalam UPSR memang merupakan satu kejayaan peribadi kepada diri saya. Semasa saya remaja, saya memang seorang pelajar yang bijak. Akan tetapi, pelajaran saya merosot setelah mula bercinta dengan Selvam. Akhirnya saya langsung tidak berminat dalam pelajaran. Saya hanya memikirkan soal bercinta dengan Selvam.

Bagaimanapun, sudah terbukti bahawa keputusan yang saya ambil adalah salah. Saya telah kahwin lari dengan Selvam. Akibatnya, saya dihina oleh masyarakat. Saya juga menjadi mangsa cacian emak mentua saya. Anak-anak saya turut dihina kerana kesemuanya perempuan.

Selvam pula telah berubah selepas kami berkahwin. Hanya selepas menjadi isterinya saya mendapat tahu bahawa dia kaki botol dan penagih dadah. Setelah kami datang ke Kuala Lumpur, dia masih tidak berubah. Sebaliknya, keadaannya menjadi semakin teruk. Dia langsung tidak mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak.

“Apa guna kalau dia pandai belajar?” tanya Selvam apabila saya menunjukkan kertas keputusan UPSR kepadanya. “Akhirnya dia akan kahwin lari dengan budak lelaki.”

Sakit hati saya mendengar kata-kata itu. Sampai hati Selvam bercakap begitu mengenai anak sendiri. Akan tetapi, saya sedar bahawa saya tidak berhak berkata apa-apa kerana saya sendiri telah lari dari rumah.

“Oh, Tuhan! Kenapalah nasib buruk terus menghantui keluarga saya?” tanya saya dalam diri. “Tidak cukupkah saya dihina? Mengapa kini anak-anak saya juga turut dihina semata-mata atas tindakan bodoh saya di masa lalu?”

Walau bagaimanapun, apalah gunanya saya menyesal sekarang. Sepatutnya saya telah berfikir secara bijak sebelum lari dari rumah hampir tiga belas tahun dahulu. Siapa sangka tindakan bodoh lebih sepuluh tahun lalu akan tetap menjadi bahan kutukan pada masa sekarang.

Ah! Kisah lampau saya adalah kisah yang sudah berlalu. Tidak ada gunanya saya berfikir lagi mengenainya. Sebaliknya, saya perlu memikirkan masa depan anak-anak saya. Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam perlu berjaya dalam hidup. Untuk itu, saya mesti memberi mereka pelajaran. Saya sanggup berkorban untuk memastikan mereka pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin.

... bersambung dalam keluaran akan datang

         

Cerita Bersiri Perjuangan Berterusan disiarkan dalam majalah NILA mulai keluaran 15 April 2003 dan dalam surat berita Kavya mulai keluaran Mei 2003. Majalah NILA terbit pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan di mana Uthaya Sankar SB bertindak sebagai "agen sastera" untuk menyalurkan karya bakat-bakat baru. Hubungi [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai majalah NILA atau layari laman web www.neela.cjb.net

Hosted by www.Geocities.ws

1