Berikut adalah petikan kenyataan yang ditanda tangani oleh 185 remaja/belia pelbagai kaum sebagai menafikan kenyataan penulis makalah  “Sikap Endah Tidak Endah Bahasa Merugikan Siapa?” (Pelita Bahasa, Ogos 2003, hlm. 14-15). Kenyataan ini telah ditunjukkan oleh Presiden Kavyan kepada Editor Pelita Bahasa. Mana-mana pihak yang berminat meneliti fail yang mengandungi kenyataan serta tanda tangan dipersilakan datang ke Pejabat Kavyan.

     

Kami adalah golongan pelajar, remaja dan generasi muda yang sentiasa berminat membaca bahan bacaan dalam bahasa kebangsaan. Majalah Pelita Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menjadi pilihan kami bukan sahaja untuk membantu kami membaiki penguasaan bahasa kebangsaan tetapi juga lataran rasa cinta kami terhadap bahasa kebangsaan.

Walau bagaimanapun, kami tersentak membaca tulisan bertajuk “Sikap Endah Tidak Endah Bahasa Merugikan Siapa?” (Pelita Bahasa, Ogos 2003, hlm 14-15). Bahagian-bahagian yang khusus mengganggu dan menyentak intelektualiti kami adalah seperti berikut:

(1) “… bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi di Malaysia tidak mendapat tempat dalam sanubari rakyat peribuminya sendiri, khususnya dalam kalangan penutur bukan Melayu.”

(2) “Malangnya rakyat Malaysia, khususnya penduduk bukan Melayu, tidak memiliki semangat patriotik terhadap bahasa kebangsaan mereka.”

(3) “Jelas terbukti bahawa golongan bukan Melayu, khususnya pelajar, yang telah meninggalkan alam persekolahan dan telah melangkah ke alam pekerjaan tidak lagi berdamping dengan bahan bacaan dalam bahasa kebangsaan.”

(4) “Buku, majalah, dan bahan bacaan dalam bahasa kebangsaan tidak akan didampingi oleh mereka [penutur bukan Melayu di Malaysia] kerana mereka tidak pernah mempunyai minat terhadap bahasa kebangsaan.”

Kami rasa terkilan kerana tulisan berkenaan menjatuhkan imej rakyat bukan Melayu di Malaysia. Pelita Bahasa dibaca juga oleh “kalangan penutur bukan Melayu” seperti kami yang dituduh oleh penulis artikel berkenaan sebagai “tidak pernah mempunyai minat terhadap bahasa kebangsaan”.

Mengenai “program Bulan Bahasa Melayu di sekolah” yang disebut oleh penulis berkenaan, hakikat itu mungkin benar di sekolah di mana penulis telah/sedang belajar/mengajar. Jika begitu halnya, penulis sepatutnya telah menulis “program Bulan Bahasa Melayu di sekolah saya” supaya tidak menjelaskan imej pelajar bukan Melayu di sekolah-sekolah lain di seluruh negara.

Secara keseluruhan, kami amat kecewa membaca artikel berkenaan kerana kami sebagai generasi muda “penutur bukan Melayu di Malaysia” sebenarnya memiliki “semangat patriotik terhadap bahasa kebangsaan”.

Ditanda tangani 185 orang

Hosted by www.Geocities.ws

1