Sasterawan Kaum India Dalam Sastera Bahasa Malaysia
         

Sasterawan bermakna orang yang menghasilkan karya sastera seperti puisi, cerpen dan novel. Istilah Sastera Kebangsaan merujuk pada karya sastera yang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan negara ini. Mengikut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), “Sasterawan bererti penulis yang menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia(Sumber: http://dbp.gov.my/2000/penulis/asn.htm)

Apabila bercakap mengenai sasterawan, kita sering merujuk pada penulis kaum Melayu. Sebenarnya, terdapat beberapa sasterawan dari kalangan penulis muda kaum India yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia. Malah, mutu karya mereka sudah diakui setanding karya sasterawan kaum Melayu di negara kita.

Saroja Theavy Balakrishnan merupakan seorang guru Bahasa Malaysia. Beliau meraih hadiah pertama Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia 2000. Selain itu, beliau juga pemenang Hadiah Cerpen Maybank-DBP bagi tahun 1988, 1989, 1991, 1994/95 dan 1996. Kumpulan cerpen persendirian beliau berjudul Gemerlapan. Kumpulan cerpen kedua sedang dalam proses penerbitan.

Uthaya Sankar SB adalah seorang pensyarah Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia di kolej swasta. Karya beliau pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP pada tahun 1992, 1993 dan 1996. Hadiah lain yang diterima termasuk Hadiah Cerpen Esso-Gapena pada tahun 1996 dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97 dan 1998/99.

Buku-buku Uthaya Sankar SB adalah Siru Kambam, Orang Dimensi, Surat Dari Madras, Yang Aneh-aneh, Nayagi, Sasterawan Pulau Cinta, Hanuman: Potret Diri, Panchayat, Nari! Nari! dan Munis Dengan Harimau. Kesemuanya karya Bahasa Malaysia.

M. Mahendran pula merupakan penulis muda kaum India yang mampu menghasilkan cerpen Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil. Beliau juga beberapa kali menang Hadiah Cerpen Maybank-DBP.

Antara penulis yang sedang meningkat dalam penulisan puisi Bahasa Malaysia ialah Raja Rajeswari Seetha Raman. Guru ini sering dijemput membaca puisi dalam pelbagai acara sastera. Puisi beliau juga tersebar di ruang siber.

Retna Devi Balan pula sentiasa cuba menerapkan budaya, pemikiran dan kritikan terhadap masyarakat India dalam rencana, cerpen dan puisi yang dihasilkannya. Manakala S. G. Prabhawathy merupakan guru Bahasa Inggeris yang kini mula aktif menulis cerpen Bahasa Malaysia.

Semua ini membuktikan bahawa penulis kaum India telah berjaya mencipta nama dalam bidang penulisan sastera Bahasa Malaysia. Maklumat terperinci mengenai para penulis kaum India serta isu berkaitan cabaran kumpulan penulis berkenaan boleh dibaca di laman http://www.geocities.com/uthayasb2001 iaitu laman yang diselenggarakan oleh Uthaya Sankar SB.

Sekumpulan sasterawan kaum India bergabung dalam Kavyan iaitu Persatuan Penulis Kaum India Malaysia. Mereka turut menerbitkan surat berita dalam talian (online) bertajuk Kavya. Surat berita dwibahasa (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris) ini terbit setiap awal bulan.

Kavyan turut mengendalikan Bengkel Karyawan Muda untuk membimbing remaja dan pelajar yang berminat menghasilkan karya sastera. Apa yang menarik, peserta terdiri daripada remaja pelbagai kaum dan agama.

Turut diwujudkan e-Kavyan yang terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira batas kaum, agama, warganegara dan sebagainya. Jadi, kumpulan penulis kaum India di Malaysia tidak bersikap ‘tertutup’. Sebaliknya mereka mahu berinteraksi dengan semua pihak tanpa mengira batas.

Pada masa yang sama, penulis terbabit sentiasa sedar bahawa kehadiran mereka bukan sekadar untuk mengisi ruang sebagai ‘penulis kaum India’ tetapi sebaliknya perlu menghasilkan karya bermutu setanding – atau mengatasi – karya rakan-rakan penulis Melayu untuk memperkayakan khazanah sastera negara.

Beberapa penulis yang disebutkan dalam tulisan ini sudah berjaya meletakkan martabat yang tinggi bagi mutu karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan penulis kaum India. Jadi, penulis baru yang muncul harus meneruskan serta membaiki kedudukan tersebut bagi terus membuktikan bahawa penulis pelbagai kaum yang berjiwa Malaysia mampu menghasilkan karya Bahasa Malaysia bermutu tanpa mengira perbezaan bahasa ibunda.

_________________________

Disiarkan dalam Risalah Online ArahKiri (Disember 2002). Maklumat bagi artikel ini dikumpul dari laman Kavyan dan Kavya. Tulisan ini turut dimuatkan dalam Kavya, Januari 2003.

Hosted by www.Geocities.ws

1