Pendahuluan

Kertas kerja ini memberi penjelasan mengenai acara membaca naskhah cerpen berterusan selama 96 jam 32 minit yang berjaya dianjurkan oleh Kavyan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor serta The Malaysia Book of Records.

 

Nama Acara

Baca Cerpen Kavyan

 

Penganjur

Kavyan (Persatuan Penulis Kaum India Malaysia) dengan kerjasama padu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Selangor serta The Malaysia Book of Records.

 

Objektif

1        Mencipta rekod membaca naskhah cerpen secara berterusan (tanpa henti) sekurang-kurangnya selama 96 jam untuk dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai The Longest Readathon 

2        Memupuk minat membaca dan menghayati karya cerpen di kalangan masyarakat pelbagai kaum; membudayakan baca cerpen

3        Memberi peluang orang ramai mendengar naskhah cerpen dibacakan; memasyarakatkan sastera

4        Membuka peluang untuk penulis cerpen menyampaikan naskhah cerpen secara audio untuk dinikmati khalayak

5        Membuka peluang kepada peminat sastera membaca naskhah cerpen yang mereka minati

6        Mengumpulkan kelompok penulis cerpen, peminat sastera dan orang awam untuk saling berinteraksi

7        Mendaulatkan dan memartabatkan Bahasa Malaysia

 

Tarikh

29 Ogos - 2 September 2003 (Jumaat - Selasa)

 

Masa

Bermula TEPAT pukul 5:00 petang pada 29 Ogos 2003 (Jumaat)

 

Tempat

Galeri Shah Alam, Persiaran Tasik, Shah Alam, Selangor

 

Jumlah Pembaca

Seramai seratus enam puluh enam (166) orang telah menawarkan diri secara sukarela. Penyertaan terbuka kepada rakyat Malaysia yang berminat dan mampu membaca naskhah cerpen dengan gaya persembahan yang sesuai untuk persembahan di khalayak. Kelompok penulis, sasterawan, remaja, pelajar dan orang awam tanpa batas kaum, umur, taraf sosial dan profesion telah mengambil bahagian. Lihat Senarai Peserta.

   

Menarik Diri

Beberapa peserta telah menarik diri atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Lihat Senarai. Bagaimanapun, para Urus Setia serta beberapa peserta telah tampil mengisi kekosongan yang wujud.

    

Bahasa

Naskhah cerpen yang dibaca adalah karya Bahasa Malaysia. Acara turut dikendalikan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia. Langkah ini bagi menegaskan kepada umum bahawa Kavyan menerima dan menghormati Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan; serta memartabatkan sastera Bahasa Malaysia dalam era globalisasi.

 

Jumlah Naskhah Cerpen

Sejumlah tiga ratus lapan puluh empat (384) naskhah cerpen Bahasa Malaysia telah dibaca oleh sejumlah 166 peserta sepanjang acara ini. 

 

Tempoh Masa

Acara bermula tepat pukul 4:00 petang, 29 Ogos 2003 dan berakhir tepat pukul 5:32 petang, 2 September 2003. Maka acara telah berlangsung tanpa henti selama 96 jam 32 minit.

 

Naskhah Cerpen

Peserta telah diberi kebenaran memilih naskhah cerpen yang diminati. Bagaimanapun, cerpen yang dipilih mestilah cerpen Bahasa Malaysia yang sudah tersiar di akhbar, majalah atau buku (media cetak). Cerpen di internet tidak diterima. Cerpen-cerpen yang dipilih mestilah tidak mengandungi unsur-unsur negatif yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Pembaca telah dinasihatkan supaya bijak memilih cerpen yang panjangnya sekitar 15 minit sahaja.

 

Cara Pengesahan

Pengesahan pembacaan naskhah cerpen secara berterusan dilakukan dengan melantik sejumlah saksi yang bertindak sebagai penjaga masa. Mereka juga telah memastikan acara pembacaan dibuat mengikut syarat yang ditetapkan oleh pihak The Malaysia Book of Records. Saksi utama bagi acara ini ialah Sasterawan Negara Datuk Dr A Samad Said. Wakil The Malaysia Book of Records, Cik Cherry Heng turut hadir sebagai saksi. Selain itu, rakaman audio dilakukan dari awal hingga akhir acara untuk dijadikan bukti dan rujukan pihak The Malaysia Book of Records.

 

Liputan Media

Penganjur telah menjemput pihak media untuk membuat liputan acara ini. Kerjasama pihak media amatlah dihargai. Wartawan beberapa akhbar telah hadir membuat liputan. Laporan acara ini juga disiarkan dalam beberapa akhbar dan majalah utama serta di ruang siber.

 

Promosi

Promosi bagi acara ini dilakukan melalui media cetak (akhbar, majalah), media elektronik (televisyen, radio) dan internet (laman web, risalah online, surat berita dalam talian). Terima kasih kepada semua pihak media yang memberi kerjasama padu. Terima kasih juga kepada setiap individu yang membantu mempromosi acara ini.

    

[PROMOSI]

Penutup

Acara Baca Cerpen Kavyan berjaya dilaksanakan dan berjaya pula dicatat dalam The Malaysia Book of Records sebagai The Longest Readathon (Ruj. MBR: Kavyan/CH/562/03) berkat kerjasama orang ramai. Kerjasama berbentuk sokongan, sumbangan dan tajaan daripada semua pihak juga telah membantu menjayakan acara ini. Kavyan akan meneruskan tradisi BCK dalam usaha "membudayakan baca cerpen", "memasyarakatkan sastera" dan "memartabatkan Bahasa Malaysia".

   

Disediakan oleh

Uthaya Sankar SB

dengan kerjasama Urus Setia BCK

16 September 2003

   

  

KEMBALI KE LAMAN UTAMA

Hosted by www.Geocities.ws

1